Insan & Komuniti 09 May, 2025

Perlukan kasih sayang! Bukan dikurung, distigma! Sakit mental tak nampak di mata tapi parah di jiwa!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


Mei adalah bulan kesedaran kesihatan mental. Sakit mental sukar diramalkan. Sesiapa juga boleh mendapat sakit mental. Namun begitu, tak ramai yang faham masalah pesakit mental dan cabaran yang dilalui penjaga pesakit mental. 

Tapi bagi penulis yang juga seorang ibu kepada anak yang menghidap skizofrenia, setiap hari adalah hari kesedaran. Tiap hari juga berharap dia akan sembuh dan kembali normal. 

Sebab realitinya, penyakit ini tak kelihatan jelas, tidak bercuti, tak bermusim, dan tak pernah rehat. Namun hakikatnya  ia melumpuhkan jiwa dan rohani yang sihat.

Anak sulung penulis, berusia 43 tahun, disahkan menghidap skizofrenia sejak berusia 24 tahun selepas tamat pengajian di universiti dalam bidang software engineering.  

Masa mula-mula doktor sebut penyakit skizofrenia penulis  tak pernah tahu itu sakit apa dan memang tidak ada ilmu tentang sakit berkenaan. Yang penulis nampak anak seperti orang kurang siuman dengan perlakuan yang sukar diramalkan. 

Orang cakap anak saya gila lah kena buatan orang lah dan macam macam lagi. Memang buntu. Tapi yang paling kuat adalah perasaan dan naluri seorang ibu untuk melindungi dia daripada dunia yang tak faham dan adakalanya kejam terhadap orang orang macam ni.



Ramai orang fikir penyakit mental ni sekadar ‘lemah iman’ atau ‘buat-buat’. Ada yang bisik-bisik belakang dan mengatakan"Anak dia gila...". Tapi mereka tak nampak malam-malam anak saya akan menangis sendirian, menjerit-jerit minta jangan diganggu suara-suara yang dia dengar, kadang dia keletihan melawan semua itu. 

Namun walau betapa kuat dia cuba melawan semua tu dia tetap kalah. Kasihan melihat perjuangan dia melawan sakit ini

Penulis juga isteri kepada seorang suami yang lumpuh akibat angin ahmar sejak 8 tahun lalu. Hidup kami bukan mudah. Terlalu banyak cabaran yang dilalui. 

Sedih adalah makanan harian kami. Tapi penulis belajar satu perkara -- kasih sayang tak perlukan alasan. Ia hanya perlu diteruskan, walau dalam apa keadaan pun. Adakalanya terasa terlalu lama melalui semua dugaan ini.

Namun bila penulis yakin setiap apa yang berlaku dalam hidup adalah perancangan terbaik Allah penulis reda dan terus kuat melalui semua ini. 



Melalui NGO yang penulis dan rakan-rakan senasib tubuhkan dua tahun lalu yang kami namakan NGO MaRMA atau dalam bahasa Pertubuhan Ketenangan Minda Malaysia, kami bertemu ramai penjaga dan pesakit yang melalui pelbagai dugaan hidup kerana ramai di luar sana tidak memahami nasib yang diperjuang oleh pesakit dan keluarga mereka. 

Cerita dan kisah mereka sangat menyedihkan dan ada yang sangat tragis. Masyarakat yang tidak berada di tempat kami tidak akan faham betapa sukarnya hidup dengan pesakit mental yang adakalanya okey dan adakalanya sangat sukar diramalkan.  

Pesakit mental tak perlukan simpati, mereka perlukan pemahaman dan peluang serta ruang untuk sama-sama menikmati hidup di bumi Allah ini. Mereka juga mahu diberi peluang untuk sembuh, untuk berdikari, dan untuk hidup bermaruah.



Bulan Mei ini, penulis mengajak semua orang  buka mata hati dan perasaan memahami apa yang dilalui pesakit mental dan keluarga mereka.  

Jangan lihat pesakit mental sebagai ‘lain’, sampah masyarakat, tak ada masa depan, ‘tak berguna’ atau ‘beban masyarakat’. Mereka adalah anak seseorang, adik seseorang, ibu atau ayah seseorang. Mereka manusia. Dan mereka juga ingin sembuh, sama seperti pesakit lain. Mereka tidak pernah minta untuk jadi sedemikian rupa.

Justeru jangan diamkan isu ini. Bantulah mereka kembali pada masyarakat. Cukup sudah mereka disorokkan, dikurung dalam stigma masyarakat yang sangat kejam yang melihat mereka sebagai golongan yang menjijikkan dan boleh dipersendakan.

Penulis bukan meraih simpati, tapi cuba untuk menyedarkan pihak-pihak tertentu khususnya dan masyarakat amnya agar dapat memberi sedikit ruang untuk golongan ini meniknati hidup sama seperti orang normal yang lain. 

Stigma sebagai pesakit mental sangat menyedihkan. Adakalanya keluarga juga mendapat kesan yang mendalam dan turut rasa sukar untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat. Mereka turut tasa dihukum. - KitaReporters


15
16
0
13
0
You will be interested