Insan & Komuniti 25 May, 2025

Diari Mama Masscom| Pencen umur 65? Badan letih, jiwa lelah, mental stres! Budak muda nak letak mana?

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


Baru-baru ini heboh orang bercakap mengenai cadangan untuk menaikkan umur pencen ke 65 tahun. Ada yang setuju, dan tak kurang yang tarik nafas panjang tak taulah lega atau rasa terperanjat. 

Apa pun cuba kita tengok realiti pekerjaan sekarang. Rramai pekerja, terutama dalam sektor kerajaan, sudah pun terbeban dengan stres lambakan kerja, burnout, dan keletihan mental. Jadi, logikkah kalau mereka dipaksa untuk terus bekerja sampai umur 65?

Dari sudut realiti kesihatan mental pekerja, kajian dan statistik menunjuk, semakin ramai pekerja bergelut (struggle) dengan masalah mental seperti anxiety (keresahan) dan kemurungan kerana beban kerja yang melampau.  

Menurut laporan Wellness at Work 2024 oleh Employment Hero, 67%  pekerja di Malaysia mengalami keletihan melampau atau 'burnout' di tempat kerja. 

Sementara itu, kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2023 mendapati bahawa satu daripada tiga pekerja di Malaysia mengalami tekanan mental akibat pelbagai faktor seperti beban kerja berlebihan, ketidakpastian pekerjaan, dan masalah hubungan interpersonal di tempat kerja.

Manakala laporan Bernama pula menyatakan bahawa lebih daripada 20% pekerja di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. 

Statistik-statistik ini menunjukkan bahawa isu kesihatan mental di tempat kerja semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serius dari semua pihak.  



Dalam hal yang sama jika had umur pencen dinaikkan pada 65 tahun, bayangkan nak bangun pagi pun berat, terpaksa memandu redah jem melekat berjam-jam di jalan raya setiap hari, lebih parah, apatah lagi nak perform kerja dengan sepenuh hati. Bila dah umur makin meningkat, tenaga makin berkurangan, motivasi pun merosot, emosi pun haru biru. 

Ramai yang terus kerja bukan sebab semangat  nak kerja dengan penuh keikhlasan, tapi sebab nak kejar gaji. Ini bukan produktiviti, ini survival mode namanya.

Sebenarnya orang yang dah tua memang dah tak larat untuk terus bekerja. Fikirkan, dunia pun dah berubah,  tak kan nak terus buat rutin yang sama sepanjang hayat. 

Sejujurnya  orang yang dah berumur ni bukan lagi sekuat dulu. Kalau bekerja nak hadap jem pun dah menyakitkan kepala. Badan cepat penat, penyakit pun mula datang bertandang, darah tinggi, kencing manis, virtigo, lutut longgar dan lain-lain. 

Bila golongan tua ni MC atau cuti sakit, kerja ditanggung oleh budak-budak muda. Tapi bila masuk ofis, senior ni pula kadang-kadang hanya tahu mengarah. Kerja mereka dibuat oleh budak muda. 

Maka, fikirkan pula tekanan mental yang budak-budak muda ini tanggung. Silap-silap, yang muda pula yang burnout dan mengalami kemurungan.


Kredit foto: Maro Kosmo!


Mengenai struktur dalam sistem kerajaan atau awam, masalah besar ialah bukan mudah nak keluarkan staf yang tidak produktif ini. Ramai yang tidak produktif ini terus 'disimpan' sampai umur 65, walaupun sumbangan mereka sudah tahap minimal.

Sebenarnya ini bukan salah individu, tapi sistem yang adakalanya tidak fleksibel. Justeru golongan seperti ini kalau terus disimpan dan dilanjutkan umur pencen, makin tersumbatlah peluang generasi baharu dalam sektor pekerjaan.  

Dalam hal ini kasihan  kepada generasi muda. Nak naik pangkat pun tunggu yang lama pencen, tapi tak pencen-pencen. 

Kita selalu sembang pasal anak muda menganggur. Tapi bayangkan kalau kerusi kerja asyik diisi oleh golongan veteran,  bila masa anak muda nak masuk kerja? Bila pula peluang mereka nak berkembang?  

Orang lama ni bila tak reti guna teknologi baharu, tak pantas dalam kerja digital, maka banyak proses kerja akan jadi perlahan. Organisasi pula stuck dengan budaya lama. 

Penulis mengaku pernah terperangkap dalam suasana pekerjaan digital yang membuatkan produktiviti penulis merudum.  Ini pengakuan ikhlas dari seorang mantan kakitangan awam yang dah pencen 5 tahun lalu, dan sekarang sudah berusia 65 tahun.

Rasa tak adil jika kita bebankan kerja pada generasi baharu sedangkan golongan lama yang dah tak produktif ni, jadi tukang arah tukang canang dan makan gaji buta. 

Bila menyentuh mengenai usia emas, sebenarnya pada tahap umur sebegini ia bukan lagi untuk mengejar dunia dan bersaing dengan anak-anak muda. 

Masa kita dah lepas. Zaman kita dah tak sama lagi. Usia lepas 60 ini adalah umur bonus yang Allah bagi. Nabi pun meninggal pada usia 63 tahun. 

Ya! Ini bukan masanya nak kejar KPI dan berperang dengan email hari-hari. Masa ni patut dimanfaatkan untuk keluarga, untuk ibadah, untuk sumbang balik pada masyarakat secara santai dan bukan tersepit dalam rutin pejabat yang makin stressful.


Kredit foto: Maro Utusan Malaysia


Saranan yang boleh penulis berikan ialah: 

1. Umur pencen dikekalkan 60, tapi sediakan skim khas untuk yang benar-benar sihat dan masih nak kerja — contohnya “Senior Talent Pool”.

2. Bagi ruang untuk anak muda dengan polisi “career rotation” -- orang lama boleh jadi mentor, bukan kekal di jawatan operasional.

3. Fokus kepada kesejahteraan mental -- bukan semua orang boleh sustain tekanan kerja lepas umur 60.

4. Sediakan program persaraan aktif -- bantu warga emas terus menyumbang dalam komuniti tanpa perlu kerja pejabat penuh masa.

Tuntasnya pekerja bukan robot dan dunia pekerjaan bukan tempat berlumba sampai nyawa pun tinggal sekerat dan jadi mental. Kita kena fikir, pekerjaan yang sihat ialah pekerjaan yang seimbang , antara produktiviti, kesihatan dan peluang untuk semua. 

Yang dah umur 60 ke atas tu, kita bagi peluang pada golongan muda menerajui pekerjaan dan Jabatan yang pernah kita sumbang usaha kita. 

Semoga generasi muda lebih menghormati golongan tua jika kita tak berebut untuk terus duduk di kerusi Jabatan kita dan bagi peluang pada yang muda menerajui Jabatan dengan cara mereka dan zaman yang mencorakkan cara mereka bekerja. - KitaReporters

17
9
0
19
0
You will be interested