Insan & Komuniti 02 May, 2025

Imbau kenangan zaman sekolah! Dah empat kali reunion! Tapi tak jemu! Geng Ghapit SMMNT bertemu lagi!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

KANAK-KANAK turut memeriahkan majlis reunion Sekolah Menengah Methodist Nibong Tebal (SMMNT).


ZAMAN persekolahan adalah antara momen indah dalam fasa kehidupan kita. Justeru, kenangan itu tidak pernah padam walaupun sudah berpuluh-puluh tahun kita meninggalkan bangku sekolah.

Sebaliknya, ia kerap berputar semula apabila kita teringat kawan-kawan lama, ada antaranya sudah meninggalkan kita malah kalau masih adapun, sudah lama tidak bersua muka.

Bagi sekelompok bekas murid Sekolah Menengah Methodist Nibong Tebal (SMMNT), Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, kesempatan bertemu semula pada majlis reunion di Jawi Golf Resort pada 26-27 April, 2025 lalu adalah saat yang membahagiakan.

Walaupun ini merupakan reunion kali keempat sejak pertama kali dianjurkan pada 2018 namun ternyata bekas pelajar yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai ‘Geng Ghapit Methodist’ tetap teruja bila dapat bertemu lagi kawan-kawan lama.


KEAKRABAN di bangku sekolah kekal hingga sekarang.


Keakraban yang terjalin sejak di bangku sekolah ternyata masih mampu dikekalkan meskipun selepas menamatkan persekolahan, masing-masing membawa haluan serta membina kehidupan sendiri. Malah, ada antara mereka yang sudah lama tidak bertemu.

Keceriaan jelas terbayang di wajah mereka. Gelak tawa, usik mengusik dan gurau senda menceriakan pertemuan itu. Masing-masing seronok mengimbau zaman persekolahan termasuk kisah kenakalan mereka yang memang menjadi asam garam kehidupan waktu itu.

Malah, kehadiran beberapa orang ‘muka baharu’ yang pertama kali menyertai majlis itu membuatkan reunion kali ini bertambah meriah.

Pertemuan semula itu diisi dengan majlis makan malam pada 26 April, 2025 yang dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, pertandingan karaoke, cabutan bertuah, pemilihan ‘King and Queen Of The Night’ dan pakaian beragam kanak-kanak.


OTAI masih berbisa. Persembahan nyanyian daripada peserta reunion.


Menerusi pertandingan karaoke, masing-masing cuba mengasah kembali bakat yang sudah ‘berkarat’. Ternyata ada antara mereka yang masih mempunyai ‘power’ dan layak bergelar otai masih berbisa!

Persembahan itu sudah pasti mengembalikan kenangan kepada zaman ‘kegemilangan’ mereka di bangku sekolah dahulu. Ia mengimbau pembabitan mereka dalam pelbagai acara pentas seperti ketika sambutan Hari Guru, hari ulang tahun kemerdekaan dan keraian lain.

Apa yang penting, setiap orang menunjukkan sikap ‘sporting’ dalam menjayakan persembahan pada malam itu, menjadikan ia sangat meriah dan menghiburkan.


PUTTING antara acara sukaneka.


Ia disusuli dengan acara sukaneka pada 27 April, 2025 yang menghidangkan pelbagai ragam mencuit hati terutama menerusi acara lari berpasangan dalam kain apabila ada pasangan yang terbabas dan tergolek.

Acara ‘putting’ (memasukkan bola golf ke dalam lubang) juga menjadi tumpuan kerana kebanyakan yang mengambil bahagian seumur hidup tidak pernah memegang kayu golf (club).

Justeru, jeritan kegembiraan akan kedengaran jika ada yang berjaya memasukkan bola golf seolah-olah sudah menjuarai kejohanan.


ZULKEFLI MANSOR


Bagi penaung majlis berkenaan, Datuk Zulkefli Mansor, reunion selama dua hari itu berjaya mencapai matlamat untuk menyatukan semula rakan-rakan sepersekolahannya. 

“Ini adalah kali keempat kami menganjurkannya. Ternyata, keterujaan untuk berjumpa kawan-kawan lama tetap sama. Masing-masing memang ternanti-nantikan majlis ini sehingga sanggup memandu beratus-ratus kilometer jauhnya.

“Ada yang datang dari Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur. Malah, apa yang menggembirakan, mereka turut membawa ahli keluarga yang terdiri daripada anak dan cucu.

“Untuk tahun ini, terdapat beberapa orang ‘muka baharu’, pertama kali menyertai reunion malah apa yang menggembirakan junior-junior kami juga mula berminat untuk datang,” kata Zulkefli.

Menurutnya, tradisi temu semula itu akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memastikan silaturahim yang kembali terjalin terus berkekalan. 


MOHD Sani Abu Bakar, pengerusi jawatankuasa penganjur.


Sementara itu, Datuk Mohd Sani Abu Bakar selaku pengerusi jawatankuasa penganjur ternyata berpuas hati dengan penganjuran kali ini yang dianggapnya terbaik berbanding dua majlis reunion yang diterajuinya sebelum ini.

“Ini kali ketiga saya dipertanggungjawab sebagai pengerusi jawatankuasa penganjur, yang pertama dan kedua adalah reunion kedua (2022) dan ketiga (2023).

“Berbanding dua reunion lalu, kali ini lebih meriah terutama dengan penyertaan beberapa orang peserta baharu,” katanya.

Beliau berharap, reunion kellima yang dirancang tahun depan (2026) akan dapat menarik lebih ramai peserta terutama mereka yang belum pernah menyertainya.


FAZLINA Yahya pertama kali serta reunion SMMNT.


Fazlina Yahya yang pertama menyertai majlis itu berkata dia gembira dapat bertemu semula kawan-kawan sepersekolahan apatah lagi kebanyakannya sudah lama tidak ditemui.

“Pada awalnya apabila dipelawa menyertai reunion ini, saya berasa segan kerana kebanyakan yang mengambil bahagian adalah senior-senior saya tapi bila dah berjumpa, hilang rasa malu kerana masing-masing sangat sporting,” katanya.

Fazlina bercadang mengajak lebih ramai bekas pelajar sebayanya untuk mengambil bahagian pada pertemuan akan datang.

Bagi Shuhaimi Ibrahim yang juga pertama kali mengambil bahagian, pengalaman itu akan menjadi kenangan terindah kepadanya. Dia berhasrat untuk datang lagi pada reunion seterusnya.

“Pengalaman ini sangat menggembirakan, maklumlah sudah lama tidak bertemu kawan-kawan. Dulu, kami bukan saja bersekolah bersama malah ada antaranya membesar bersama hinggalah masing-masing membawa haluan sendiri selepas tamat sekolah,” ujar Shuhaimi.

KEHADIRAN pelakon, Eyra Hazali (dua dari kanan) jadi tumpuan.


PENJAGA gol pasukan bola sepak kebangsaan, Haziq Nadzli  (tengah) turut hadir. Bain di kiri.


Turut menarik perhatian adalah kehadiran penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan, Haziq Nadzli dan isterinya, pelakon, Eyra Hazali yang merupakan anak kepada bekas pelajar SMMNT, Hazali Ramli, seorang pengarah drama.

Ternyata, walaupun berstatus selebriti, namun Haziq dan Eyra tidak kekok untuk bergaul dengan peserta reunion itu. Malah, ini merupakan penyertaan kali ketiga mereka.

Samsul Bahrin Meon atau Bain pula tetap teruja setiap kali berlangsung pertemuan itu. Dia adalah antara peserta yang tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian sejak reunion pertama pada 2018.

“Tak ada istilah jemu walaupun sudah empat kali bertemu dan mengimbas cerita yang sama setiap kali reunion. Bagi saya, zaman persekolahan itu sangat indah untuk dikenang dan dibualkan. Masing-masing ada kenangan tersendiri untuk dikongsi. Kalau diikutkan, dua hari dua malam pun tak habis bercerita walaupun diulang cerita yang sama,” katanya.

Kira-kira 100 orang terdiri bekas pelajar SMMNT serta keluarga mereka menjayakan pertemuan itu. 

Ini kali ketiga ia dianjurkan di Jawi Golf Resort dan difahamkan, untuk reunion kali kelima tahun depan, ia akan dianjurkan di lokasi lain yang belum dikenal pasti. - KitaReporters


BEKAS pelajar Sekolah Menengah Methodist, Nibong Tebal mengadakan reunion di Jawi Golf Resort, Pulau Pinang.

14
16
0
11
0
You will be interested