Insan & Komuniti 11 Oct, 2023

Program Sayangi Malaysiaku: Kanak-kanak belajar audit sampah! Kitar semula sampah jadi produk kraf!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023.

Share this


KANAK-KANAK yang diasuh sejak awal seperti rebung yang mudah dilentur, justeru ibu bapa khususnya dan masyarakat umumnya mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa mereka ke laluan yang betul agar tidak menyimpang di tengah jalan.

Inilah yang mahu diterjemahkan oleh IKRAM Junior Bandar Baru Bangi apabila mengadakan program Sayangi Malaysiaku, baru-baru ini. Ia diadakan di Laman Bangi, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Program itu diadakan dengan kerjasama IKRAM Junior Kajang, Wanita IKRAM Kajang dan Pertubuhan Generasi Peduli Sampah (GPS). Seramai 57 kanak-kanak termasuk ibu bapa mereka mengambil bahagian.


Sebahagian kanak-kanak-kanak dan ibu bapa mendengar penerangan mengenai pembelajaran pengurusan audit sampah daripada sukarelawan GPS.


Yang Dipertua IKRAM Bandar Baru Bangi, Mohamad Helmi Sakir, berkata program ini menjadi bukti kepelbagaian dan keharmonian masyarakat di negara ini

Beliau berkata, objektif utama adalah untuk menggalakkan kanak-kanak menjaga persekitaran agar sentiasa bersih, menyemai rasa tanggungjawab, serta berinteraksi dengan masyarakat tanpa mengenal bangsa dan agama.


Ibu bapa dan kanak-kanak mengutip sampah di Laman Bangi dalam Program Sayangi Malaysiaku.


"Antara intipati penting dalam program ini ialah pembelajaran mengenai kepentingan pengurusan sampah. Mereka belajar bahawa sampah bukan sahaja boleh dikitar semula tapi dijadikan hasil kraf yang mampu menjana pendapatan.

"Ini adalah langkah kecil tetapi amat bermakna dalam usaha menjaga alam sekitar dan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan," katanya. Turut hadir, Ketua Wanita IKRAM Bandar Baru Bangi, Suzana Zainol Abidin.


Sampah yang dikutip akan dilonggok di satu kawasan khas sebelum diasingkan untuk memilih sampah yang boleh diguna dan dikitar semula.


Katanya, selepas aktiviti mengutip sampah beramai-ramai di sekitar Laman Bangi, peserta akan berkumpul dan sampah-sampah yang dikutip akan dilonggokkkan di hadapan peserta. 

"GPS yang mengendalikan sesi pembelajaran "Audit Sampah" akan memberi penerangan kepada peserta dan membantu mereka mengenal pasti sampah yang boleh diguna dan dikitar semula selain membantu mereka mengasingkannya.

"GPS memberitahu pentingnya mengasingkan sampah, mengitarkan semula dan kesan kepada alam sekitar hadapi jika sampah tidak diuruskan dengan baik.

"Dan, mereka juga mengajar kanak-kanak dan ibu bapa bagaimana untuk menghasilkan kraf dari sampah. Hasilnya boleh dijual untuk menjana pendapatan tambahan," katanya.


Sukarelawan GPS memberi penerangan mengenai produk kitar semula, daripada sampah menjadi kraf yang boleh menjana pendapatan.


Barangan kraf yang dibawa bersama GPS pada hari itu seperti pasu adalah bukti sampah boleh dikitar semula untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.

Pada akhir sesi, kanak-kanak dan ibu bapa mengadakan permainan keluarga bagi memberi keriangan kepada mereka selepas melakukan pembelajaran yang memberi manfaat untuk menjadi bekal apabila dewasa. - KitaReporters


Antara produk kraf yang dihasilkan daripada sampah sarap yang dikitar semula.

 

 

15
13
0
13
0
You will be interested