Cuti sekolah biasanya diisi dengan pelbagai aktiviti menarik yang diatur oleh ibu bapa dan pihak-pihak tertentu.
Bagi yang berduit dan berkemampuan, anak anak dibawa melancong luar dan dalam negara serta melawat tempat tempat hiburan kanak kanak dan perkelahan.
Namun bagi anak-anak yang tinggal didesa yang ibu bapa mereka kurang berkemampuan untuk membawa mereka berjalan-jalan, mereka akan membuat aktiviti yang boleh dimanafaatkan sepanjang cuti sekolah ini.
Ada yang menghabiskan cuti sekolah membantu keluarga yang susah dan ada juga yang menjalankan aktiviti cuti sekolah mengikut persekitaran mereka.
Bagi kanak-kanak di sekitar Jeram, Kuala Selangor, yang tidak berkemampuan melancong dan melawat mana-mana tempat sewaktu cuti sekolah ini, mereka mengunjungi perpustakaan awam milik Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang terletak di Batu 19 Jeram, yang mempunyai banyak buku menarik untuk dibaca dan dapat bermain permainan tradisi seperti dam ular, congkak, catur, Monopoly, Saidina dan pelbagai lagi.
Perpustakaan desa ini juga menyediakan komputer bagi mereka yang suka mencari maklumat daripada Google dan YouTube.
Bagaimanapun lebih menarik perhatian anak-anak ini ialah membaca buku-buku cerita yang berwarna warni serta bermain permainan tradisi yang dapat dikongsi bersama rakan-rakan sebaya.
Mungkin "game" pada telefon pintar sudah terlalu biasa bagi mereka memandangkan permainan tradisi ini lebih menarik minat mereka di samping memberi impak interaksi yang baik sesama mereka.
Nur Qaisara Sazali suka membaca komik
Bagi Nur Qaisara Sazali, 11 tahun, dari Taman Gelama, Jeram, beliau datang ke perpustakaan desa ini hampir setiap hari untuk membaca dan bermain serta berjumpa kawan-kawan.
Qaisara yang ditemani ibunya memberitahu, beliau suka datang ke perpustakaan ini kerana suasananya agak tenang dan sejuk. Qaisara suka membaca komik-komik lama dan buku cerita seperti Cinderella, Snow White, buku-buku kisah tauladan dan buku-buku cerita kanak-kanak. Beliau biasanya datang pada waktu petang pada jam 3 petang dan balik pada jam 5 petang.
Rezawati Mohd, petugas di Perpustakaan PPAS Jeram di Kuala Selangor
Sementara itu, bagi Rezawati Mohd yang bertugas di perpustakaan ini, beliau memberitahu, kehadiran kanak-kanak dan remaja ke perpustakaan ini tidak begitu memberangsangkan. Sehari purata kehadiran anak-anak di sekitar kawasan ini pada musim cuti sekolah, ada lebih kurang 15 orang.
Ini kerana mungkin ada antara anak anak di kawasan berkenaan yang dibawa oleh keluarga mereka melawat tempat tempat lain, juga mungkin mereka lebih selesa tinggal di rumah dengan gajet yang disediakan ibu bapa.
Bagaimanapun kehadiran kanak-kanak yang memeriahkan perpustakaan ini setiap hari memberi petanda bahawa masih ada ibu bapa yang menyedari kepentingan amalan membaca serta berinteraksi sesama rakan-rakan di luar media sosial sebagai satu cara komunikasi yang baik antara mereka.
Walaupun perpustakaan ini bukan tumpuan utama kanak-kanak dan remaja di sekitar tempat berkenaan, tetapi menurut Rezawati, jika pihak perpustakaan membuat pelbagai aktiviti da pertandingan, ramai juga yang akan menyertainya.
Beliau berharap ibu bapa dapat memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak mereka bagi menghidupkan kembali amalan membaca sebagai amalan yang mulia pada generasi masa kini.
Budaya mengunjungi perpustakaan perlu diterapkan kembali dalam kalangan generasi siber zaman ini supaya budaya membaca tidak pupus ditelan zaman teknologi ini.
Selain itu, perpustakaan boleh dijadikan tempat berinteraksi untuk mengamalkan bentuk komunikasi dalam kumpulan yang sihat dan mendidik mereka bersosial dengan lebih positif dan berhemah, kata Rezawati lagi. - KitaReporters