
Satu inovasi luar biasa kini membuka harapan baharu kepada komuniti yang berdepan masalah kekurangan atau ketiadaan bekalan air apabila Pertubuhan Kebajikan As-Safa Malaysia memperkenal mesin penjana air bersih berasaskan udara, tanpa memerlukan paip atau sumber air luar.
Mesin canggih yang dikenali sebagai Atmospheric Water Generator (Penjana Air Atmosfera atau AWG) itu hanya memerlukan sambungan elektrik atau penjana kuasa kecil untuk menghasilkan air minuman bersih – sejuk dan panas – terus daripada kelembapan udara di persekitaran.

Presiden Pertubuhan Kebajikan As-Safa Malaysia, Mohd Saiful Haris Mohd Yusop, berkata projek wakaf Mesin Air Bersih As-Safa ini menyasarkan agihan kepada 128 lokasi di Semenanjung Malaysia dan 50 buah pulau di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 178 komuniti penerima manfaat.
“Mesin ini bukan sekadar teknologi, ia adalah penyelamat. Kita tak perlu korek telaga atau tunggu bantuan lori air. Sambung ke elektrik, dan air minuman terus mengalir keluar – panas atau sejuk,” katanya.

Mesin Air Bersih As-Safa sangat sesuai digunakan di kawasan pedalaman, pulau terpencil dan kawasan bencana yang sukar mendapat akses air bersih.
Inisiatif wakaf ini bukan sahaja memberi manfaat kesihatan dan kehidupan lebih baik kepada penerima, malah menjadi amal jariah berpanjangan buat para penyumbang.
“Setiap sumbangan adalah pelaburan akhirat. Satu mesin, satu komuniti. Dan selagi mesin itu berfungsi, selagi itulah pahala mengalir kepada pewakaf,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang Mesin Air Bersih As-Safa boleh menghubungi pihak As-Safa Malaysia melalui talian 017-334 3381 atau 03-6148 9238. - KitaReporters
