
AGM Nest ke-8 dijalankan secara fizikal dan dalam talian bagi membolehkan lebih ramai ahli mengambil bahagian.
"PERTUBUHAN Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) mahu menjadi pemain serba boleh dengan mengambil bahagian dalam pelbagai bidang berkaitan "biodiversiti" dan enggan terikat kepada bidang avian semata-mata", kata Pengerusinya Sulaiman Salikan.
Beliau berkata, pertubuhan itu kini bergerak lebih meluas meliputi kepelbagaian biologi membabitkan aneka organisma hidup sama ada di darat, air atau hidupan akuatik. Ini sekali gus mewujudkan keseimbangan peranan NEST dalam alam sekitar dan memastikan khazanah yang sangat berharga itu terus terpelihara.
"Kini, kami memiliki kepakaran dalam biodiversiti termasuk penyelidikan, survei, pembentangan kertas kerja dan pendidikan. Elemen burung tetap menjadi keutamaan cuma kita mahu mempelbagaikan kepakaran. Sebab itu tema AGM NEST ke-8 ialah Biodiversity: The Mote Variety The Better Society.

Sulaiman Salikan
"Kita beruntung kerana ahli NEST mempunyai kepakaran bukan sahaja sebagai aktivis burung tapi dalam bidang kewangan, penerbitan video, media, penyiaran dan foto.
"Sejak ditubuhkan pada 2017, kami terbabit dalam Master Plan Urban Birding Putrajaya, Taiping Bird Week, Bird Survey bersama Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia," katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-8 dan sambutan Aidilfitri di Club House, Mutiara Oriental, Petaling Jaya, Selangor.
NEST turut berkolaborasi dengan banyak pihak bagi meminjam kepakaran mereka seperti Wild Bird Club Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Sime Darby Property, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Projek Burung Pantai Semenanjung Malaysia, Bird Group Taman Negara, Kuala Tahan, Malayan Rainforest Station dan eBird Malaysia.
Hasil kerjasama NEST dan Perbadanan Putrajaya, maka lahirlah buku Bird Haven Putrajaya pada 2019, Putrajaya Photography Bird Guide Book dan 111 Birds of Seremban pada 2021.

Sebahagian ahli NEST mendengar amanat daripada Sulaiman Salikan (kiri).
"Pada 2023, kami terbabit bersama Jabatan Perhutanan Perlis meneroka biodiversiti khazanah hutan di negeri itu dan menyediakan program “The Northern Most Bird Race Wang Kelian, Perlis 2023" di Taman Negeri Perlis dan Wang Kelian.
"Pengalaman seumur hidup apabila NEST turut berkolaborasi bersama Majlis Perbandaran Taiping, Taiping Zoo & Night Safari, Perhilitan and Taiping Birding Community memantau kehadiran burung hud-hud di Tasik Taiping yang mencetuskan fenomena di seluruh negara malah peminat burung di luar negara.
"Kami juga penerima Geran Di Bawah Dana Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) Bagi Projek 'Bird Survey: Taman Negeri And Forest Reserve Parks In Peninsular Malaysia'," katanya.
Pertubuhan itu turut membentangkan kertas kerja berkaitan penyelidikan saintifik, membuktikan NEST mendapat pengiktirafan dan pencapaian yang membanggakan selama lapan tahun penubuhannya.

Ahli NEST melihat pencapaian projek yang dijalankan pada 2024 dan awal 2025, satu pencapaian yang membanggakan.
"Untuk tahun 2024 sehingga awal tahun ini, lebih 63 projek sudah selesai dan dalam proses pelaksanaan, satu pencapaian yang kami sendiri terkejut memandangkan jumlah keahlian yang kecil dan masa yang terhad.
"Kejayaan NEST kerana kami bekerja sebagai satu pasukan dan setiap tugasan datang bersama tanggungjawab besar kerana kita perlu capai KPI yang ditetapkan pelanggan selain kepuasan diri sendiri.
"Tiada jalan pintas untuk berjaya, saya bersyukur mempunyai pasukan yang dinamik dan komited, sentiasa memastikan pencapaian di tahap terbaik, bukan sekadar untuk menyiapkan kerja," katanya.

NEST berharap mewujudkan barisan pelapis bagi memastikan perjuangan dalam bidang alam sekitar dan avian diteruskan apabila barisan lama berundur nanti.
Sementara itu, Sulaiman mengingatkan ahli supaya sentiasa berpegang prinsip asal penubuhan NEST adalah atas kapasiti komuniti, bukan kumpulan perniagaan. Tapi, sumber kewangan yang diperolehi adalah bonus.
"Usah terlalu "greedy" untuk kejar projek hingga lupakan matlamat asal NEST untuk memberi maklumat dan mendidik komuniti mengenai alam sekitar dan avian.
"Namun, saya mengakui kadangkala kami memerlukan sumber kewangan seperti geran untuk bergerak kerana dalam projek penyelidikan, kewangan perlu untuk makan makan, minum, pengangkutan, logistik dan memberi elaun kepada petugas yang mengambil bahagian," katanya.
Katanya, selepas AGM NEST ke-7 di Taiping, Perak pada 2024, pertubuhan itu terus bergerak dan tidak menoleh ke belakang lagi.
"Bagi mendepani era globalisasi, kami perlu membesarkan skop kepada perkara-perkata lain terutama penyelidikan, survei dan penerbitan buku.
"Terkini, NEST dengan kerjasama Taman Botani, Putrajaya dalam proses menghasilkan Coffee Table Book bagi mengetengahkan pelbagai spesies haiwan di Putrajaya," katanya.

Barisan AJK NEST bagi sesi 2024-2025 yang akan meneruskan misi untuk mendepani era globalisasi dalam bidang biodiversiti.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berharap NEST dapat mewujudkan barisan pelapis bagi memastikan perjuangan dalam bidang alam sekitar dan avian diteruskan apabila barisan lama berundur nanti.
Ini bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu selain faktor usia. Sebab itu, kita menerima pelatih untuk menjalani latihan praktikal di pertubuhan ini.
"NEST juga ke arah mendapatkan pejabat sendiri yang boleh beroperasi 24 jam selain SOP bagi memudahkan pergerakan dan perjalanan setiap projek kendalian kami. Insya-Allah, saya berharap dapat mengadakan perbincangan bersama ahli mengenai perkara ini," katanya. - KitaReporters
