Insan & Komuniti 21 Mar, 2025

Video| Kongsi rezeki sampai jadi kaya! Starun, Grup Cucu Tok Lat santuni penghuni Rumah Titian Kaseh!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

.


"BERKONGSI rezeki tidak semestinya kaya tapi biarkan kita selalu bersedekah sehingga menjadi kaya," kata Pengasas aplikasi larian maya atau virtual run, Starun (https://starun.my), Abdul Muhaimin Md Khir selepas Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Rumah Titian Kaseh (RTK), Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Majlis itu kolaborasi antara Starun dan Grup Cucu Tok Lat bagi menyantuni lebih 70 penghuni RTK terdiri dari anak-anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal dan asnaf.

Beliau berkata, falsafah itu sentiasa menjadi pegangan hidup kerana apabila kita berkongsi rezeki bersama orang memerlukan, ada satu perasaan keseronokan dan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.


Abdul Muhaimin Md Khir


"Satu kepuasan melihat mereka gembira dan tersenyum apabila kami menyantuni, berbual-bual mendengar cerita mereka dan memberi duit raya. Mereka datang memeluk seolah-olah menganggap kami keluarga mereka. 

"Ini bukan kali pertama kami menganjurkan majlis berbuka puasa di RTK, rasanya sudah tiga kali. Pada 2019, Starun memberi sumbangan RM8,500 kepada rumah ini hasil kutipan dari peserta yang mengambil bahagian dalam larian maya Starun itu sempena Ramadan.

"Alhamdulillah, tahun ini kami kembali, bergabung bersama Grup Cucu Tok Lat untuk menyantuni anak-anak yatim, ibu tunggal, asnaf dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di rumah ini," katanya.



Berbuka puasa beramai-ramai satu keseronokan kepada anak-anak penghuni RTK.


Abdul Muhaimin berkata, selain kutipan daripada peserta larian Starun, pihaknya mengeluarkan duit poket sendiri bagi menyediakan juadah berbuka puasa antaranya nasi tomato, ayam masak merah, kuih muih, air balang dan teh tarik, selain  memberikan duit raya.

"Kebetulan ahli perniagaan dan selebriti, Neelofa turut menaja minuman "fresh orange" asli untuk dinikmati bersama penghuni di sini (RTK), selain seorang hamba Allah menginfak aiskrim kepada anak-anak RTK.


Anak-anak penghuni RTK teruja untuk mendapatkan aiskrim yang diinfak oleh seorang hamba Allah.


"Insya-Allah berkat doa anak-anak dan penghuni RTK, moga kami dimurahkan rezeki untuk berkongsi program berbuka puasa di sini tahun depan (2026) dan menjadi acara tahunan.

"Saya berharap lebih ramai orang perseorangan dan korporat tampil untuk menyantuni penghuni di RTK kerana mereka bukan mahu makan sangat tapi lebih penting perkongsian kasih sayang kita kepada anak-anak di sini yang tiada ibu bapa," katanya lagi.


Pemberian duit raya sesi yang paling ditunggu-tunggu oleh para penghuni RTK.


Seorang penghuni RTK mendukung anak OKU untuk mengambil duit raya sempena Majlis Iftar 2025.


Sementara itu, beliau berharap Pengasas RTK, Sharifah Adlan kuat menghadapi ujian Allah berikutan hilang penglihatan akibat penyakit diabetes.

"Ujian berat ini kerana Allah mahu mengangkat darjah insan yang Dia pilih selain menghapuskan dosa-dosa silam. Memang kami sedih dengan perkara itu kerana dalam program sebelum ini, Mak Pah dapat melihat dan sentiasa ceria.

"Marilah kita berdoa semoga Allah berikan ketabahan dan Mak Pah sihat walafiat bagi meneruskan legasi yang dibinanya sejak 1998 bagi menjaga, mengasuh dan membesarkan anak-anak kurang bernasib baik di RTK.


Tiga anak perempuan Mak Pah (kiri, dua dari kiri dan empat dari kiri)) meneruskan legasi Mak Pah (dua dari kanan) mengendali RTK bagi menjaga kebajikan anak-anak yatim, OKU, ibu tunggal dan asnaf. 


Video version panjang.


"Justeru, kehadiran kami di sini untuk menyokong usaha-usaha Mak Pah selain mengharapkan RTK terus wujud bagi memberi khidmat ikhlas melindungi penghuni, memberi makan minum dan mendidik mereka menjadi anak-anak soleh yang berjaya," katanya.  

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi penghuni di RTK boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 564061453963 (Rumah Jagaan Titian Kaseh). - KitaReporters


Penghuni RTK dan Grup Cucu Tok Lat bergambar kenangan bersama Mak Pah selepas majlis berbuka puasa.

15
16
0
14
0
You will be interested