Insan & Komuniti 06 Jun, 2025

Terbaiklah Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichthyosis Negeri Kedah! Rai pesakit iktiosis dan keluarga!

@abd razak osman
Bekas stringer Kosmo! dan mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Menulis selagi masih hidup. Emel: razakosman1950@gmail.com

Share this

Pesakit iktiosis dengan keluarga masing-masing pada Majlis Makan Malam Amal Setulus Budi Seikhlas Hati 2025.


Seramai 17 keluarga yang mengidap sejenis penyakit kulit yang sukar dirawat diraikan dalam satu Majlis Makan Malam Amal Setulus Budi Seikhlas Hati 2025 berlangsung di Hotel Zarquest, Sungai Petani, Kedah pada 29 Mei 2025 lalu.

Mereka yang diraikan itu kerana mengidap sejenis penyakit kulit dikenali sebagai iktiosis (ichthyosis) yang menyebabkan kulit  mereka diselaputi sisik seakan-akan sisik ikan di seluruh tubuh sehingga kulit menjadi kering dan sentiasa menggelupas. Mata pesakit pula sentiasa kemerah-merahan dan berair. 

Di kawasan utara, Kedah dan Pulau Pinang ini sahaja dianggarkan ada kira-kira 300 orang pesakit tersebut.


Seorang kanak-kanak yang turut hadir pada majlis itu.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichthyosis Negeri Kedah (PERKID), Mohd Firdaus Mehat berkata, Ibu bapa yang hadir begitu ceria sekali bila melihat beberapa acara di susun, termasuk jualan teh tarik.

"Salah satu acara menarik, teh tarik yang dilakukan oleh Mohd Fakir Jamil dari Alor Setar berjaya mengumpul jualan RM200 secawan," katanya.

Menurutnya, pada masa ini, di kawasan Asia, pertubuhan PERKID begitu aktif dengan menjalankan pelbagai aktiviti untuk memajukan pesakit berkenaan.

"Sehubungan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain di negara ini boleh juga menjalankan aktiviti lain bagi memperbaiki kehidupan mereka itu," katanya lagi.


Shahanim Mohamad Yusoff (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang pesakit, Irshad Azizan. 


Sempena majlis itu, seorang pesakit, Irshad Azizan dari Siong, Baling dipilih sebagai lkon Iktiosis Kedah 2025.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff ketika merasmikan majlis itu berkata, langkah diambil oleh PERKID bagi membantu mereka yang mengidap penyakit itu dari usia awal sehingga ke tua, begitu baik sekali.

Pihaknya begitu bersimpati kerana peluang pekerjaan kurang diberikan kepada golongan itu berbanding dengan penduduk di negara maju.

"Kalau terjumpa mereka, jangan jauhkan diri, bantu apa yang mampu, rawatan dan ubat untuk mereka sangat mahal.

"Apa yang dihadapi itu adalah kehendak Allah, mereka juga berhak hidup bahagia apa bila ada sokongan daripada kita sendiri," katanya lagi. - KitaReporters


Seorang pesakit bersama Ibunya yang turut hadir di majlis tersebut. 

12
10
0
10
0
You will be interested