Insan & Komuniti 14 Oct, 2025

Video| Tahu ke tak? Asal usul perkataan sengkek, kaw? Dari Hokkien ke bahasa Melayu! Betul ke?

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Hidup dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia membawa pelbagai keunikan yang tidak ternilai. Perbezaan bahasa, adat dan budaya bukan menjadi penghalang, malah mencipta satu bentuk keharmonian yang tersendiri. 



Hasil percampuran inilah melahirkan keindahan budaya rojak Malaysia daripada bahasa berwarna-warni, adat yang pelbagai, sehinggalah kepada kepelbagaian makanan yang menjadi identiti negara. 

Dalam kehidupan seharian, rakyat Malaysia sering menggunakan pelbagai perkataan pinjaman daripada bahasa lain tanpa disedari. 

Antara yang menarik perhatian ialah dua perkataan popular, sengkek dan kaw

Rupa-rupanya ia berasal daripada bahasa Hokkien, hasil pengaruh masyarakat Cina terhadap percakapan harian orang Melayu.



Menurut perkongsian pengguna TikTok @pmwang, perkataan sengkek berasal daripada perkataan Hokkien (sin khek) yang bermaksud ‘tetamu baharu’. 

Dalam sebutan Hokkien, sin khek kedengaran hampir sama dengan sengkek dan lama-kelamaan diserap ke dalam bahasa pasar Melayu.  

“Kalau ikut sebutan Hokkien, maksudnya memang logik apabila diterjemah ke bahasa Melayu,” katanya dalam video yang dikongsi. 



Sementara seorang lagi netizen pula berseloroh, “Saya ingat sengkek maksudnya kedekut!”

Ada juga yang melihat dari sudut linguistik apabila dia bertanya, “Kenapa banyak bahasa gaul orang Melayu ambil dari Hokkien, bukan Mandarin? Ramai pentutur Hokkien ke dulu?”


Penjelasan itu mencetuskan pelbagai pandangan netizen. Seorang netizen berkata, “Sengkek bukan tepat maksudnya miskin, tapi lebih kepada sangat berjimat, lokek dan tak mahu berbelanja.” 

Beberapa pengguna lain turut memberi contoh lain pengaruh bahasa Hokkien dalam Bahasa Melayu seperti perkataan ‘kuih’ atau ‘kueh’, yang kini digunakan secara meluas.

Walaupun ada yang menegaskan bahawa sengkek hanyalah bahasa pasar dan bukan perkataan rasmi, ramai bersetuju bahawa istilah ini kini sudah sebati dalam percakapan harian, terutama untuk menggambarkan situasi ‘pokai’ atau ‘tengah kering’.



Selain itu, @pmwang juga berkongsi satu lagi perkongsian menarik tentang perkataan kaw, yang sering digunakan dalam frasa seperti ‘pedas kaw-kaw’ atau ‘marah kaw-kaw’. 

Menurutnya, kaw berasal daripada perkataan Hokkien (dibaca kaw) yang bermaksud ‘tebal’ dan digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang sangat kuat, pekat atau berlebihan tahapnya. Misalnya, apabila kopi dikatakan kaw, ia bermaksud kopi itu pekat dan berperisa kuat. Apabila seseorang ‘kena marah kaw-kaw’, maksudnya dia dimarahi dengan hebat.

“Kalau cecair, orang Hokkien guna perkataan poh untuk maksud ‘nipis’,” jelasnya lagi.



Video tersebut turut meraih perhatian ramai. Ramai netizen memberi pelbagai komen. 

“Kaw-kaw deals? Macam diskaun teruk-teruk!” komen netizen. Ada juga yang mengaku sering terlupa bahawa kaw bukan perkataan asal Melayu.

“Kadang-kadang terlupa yang kaw tu bukan perkataan bahasa Melayu,” tulisnya.



Fenomena penggunaan perkataan seperti sengkek dan kaw ini membuktikan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja hidup, tetapi juga berkembang secara semula jadi hasil percampuran budaya. Penggunaan kedua-dua perkataan tersebut yang meluas dalam iklan, media sosial dan percakapan seharian menjadikan ia sebahagian daripada identiti komunikasi rakyat Malaysia, ringkas, ekspresif dan mudah difahami merentasi kaum.

Daripada sengkek yang menggambarkan keadaan pokai sehingga kaw yang menandakan sesuatu yang kuat atau berlebihan, kedua-duanya mencerminkan sejarah panjang pertembungan budaya dan hubungan harmoni antara kaum di Malaysia. 

Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi simbol perpaduan dan keindahan kepelbagaian bangsa di tanah air tercinta ini. - KitaReporters


15
11
0
9
0
You will be interested