Insan & Komuniti 10 Dec, 2025

Diari Mama Masscom! Malaysia kian menua! Apa perlu dibuat? Jangan biar caregiver berjuang sendirian!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Menjelang tahun 2030, Malaysia akan bergelar sebuah negara menua (aging nation), apabila 15% rakyat negara ini berumur 60 tahun ke atas. 

Statistik ini nampak biasa, tetapi sebenarnya inilah perubahan besar dalam hidup kita. 


Gambar hiasan...  Bila warga emas semakin ramai, semakin banyak keluarga yang perlu menjaga ibu bapa yang uzur, yang ada penyakit kronik, atau hilang keupayaan diri. 



Bila warga emas semakin ramai, semakin banyak keluarga yang perlu menjaga ibu bapa yang uzur, yang ada penyakit kronik, atau hilang keupayaan diri.

Dan di tengah-tengah semua ini berdirilah seorang insan yang jarang disebut yang didengari suara hati mereka, dia adalah caregiver atau penjaga kepada pesakit. 

Masa ini, pasti ramai ahli keluarga terpaksa berhenti kerja untuk menjaga orang tua. 

Ada yang pendapatan terputus. Ada yang tertekan, letih, murung, dan ada juga sakit kerana beban yang berpanjangan. 

Bila caregiver jatuh sakit, siapa pula hendak menjaga pesakit? Inilah realiti “negara menua” yang sering kita terlepas pandang.


Gambar hiasan... Masyarakat jperlu berubah dan kena berhenti melihat warga emas sebagai beban.


Sebenarnya, fasa ini bukan musibah. Ia boleh jadi perjalanan yang harmoni jika negara, masyarakat, dan kerajaan sama-sama berperanan menangani masalah ini dengan baik dan bijak. 

Justeru ada beberapa saranan yang ingin penulis berikan.

Antaranya kerajaan boleh menyediakan cuti menjaga ibu bapa sakit, elaun khas caregiver, pusat jagaan harian warga emas, perumahan mesra umur, serta skim insurans sosial untuk penjagaan jangka panjang. 

Hospital dan NGO pula boleh memperkenal latihan caregiving, program rehat penjaga (respite care), dan perkhidmatan rakan sokong bagi warga emas yang sunyi.

Masyarakat juga perlu berubah. Kita kena berhenti melihat warga emas sebagai beban. Mereka bukan penghalang kemajuan, tetapi sebahagian daripada perjalanan sebuah negara matang. 

Berikan sokongan moral kepada caregiver, bagi mereka rehat sehari dua menggantikan tugas menjaga, menghantar ke hospital, atau sekadar berkongsi bahu, itu sudah cukup meringankan. 


Gambar hiasan... Golongan warga emas yang sentiasa ceria dan sihat


Negara menua bukan soal umur rakyat. Ia  adalah soal bagaimana kita menjaga orang-orang tua yang lemah yang sangat memerlukan bantuan dan kasih sayang, bagaimana menghormati yang tua, dan bagiamana memuliakan mereka yang terus mengorbankan diri di belakang tabir. 

Jika kita semua bersedia, generasi muda tidak akan terbeban, generasi tua akan hidup bermaruah, dan negara menua menjadi fasa kehidupan yang seimbang.  

Paling penting Jangan biarkan caregiver berjuang sendiri. 

Hanya 5 tahun lagi kita ke arah negara menua. Sama samalah kita rancang sesuatu yang baik untuk semua masyarakat dan memelihara keharmonian negara. - KitaReporters


Gambar hiasan... Hanya 5 tahun lagi Malaysia ke arah negara menua.

12
9
0
14
0
You will be interested