Insan & Komuniti 24 Nov, 2025

Video| PadaMu Kubersujud! Walau tinggi di awan! Bukan halangan untuk tunaikan solat! Teladan hebat!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Dalam apa jua keadaan di darat, laut mahupun udara, kewajipan solat tetap menjadi tuntutan utama bagi setiap Muslim. Ia tidak mengenal lokasi, situasi atau taraf seseorang. 



Prinsip inilah yang dipamerkan dalam sebuah video tular memaparkan seorang kapten pesawat yang sedang menunaikan solat di dalam kokpit ketika pesawat berada pada fasa penerbangan stabil. 

Video yang dimuat naik dalam Instagram atas nama Captrafinoor itu memperlihat dua juruterbang sedang menjalankan tugas masing-masing. 

Seorang kapten, yang dikenali sebagai Kapten Rafinoor, dilihat duduk di bahagian sisi kokpit sambil melakukan tayammum sebagai ganti wuduk memandangkan kekangan ruang serta keadaan operasi penerbangan. 

Sementara itu, seorang lagi kapten meneruskan tugasan menerbangkan pesawat seperti biasa.



Aksi itu bukan sahaja menunjukkan disiplin seorang juruterbang, malah memperlihat tahap kepatuhan dan keutamaannya terhadap tuntutan agama walaupun sedang bertanggungjawab membawa ratusan nyawa di udara. 

Ketika takbir dimulakan, suasana kokpit kelihatan tenang, hanya ditemani bunyi instrumen navigasi dan gegaran ringan pesawat pada altitud penerbangan.

Tindakan itu mencetuskan rasa hormat dalam kalangan netizen yang memuji keutamaan kapten tersebut dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT.  

Rata-rata menyifatkan dia sebagai contoh teladan yang wajar dicontohi oleh umat Islam, tidak kira apa jua profesion yang digalas.



Bahagian kapsyen video menampilkan bait lagu ‘PadaMu Kubersujud’ disertakan ungkapan ringkas, “Pengingat diri sendiri”. 

Ia seakan mesej bahawa kesibukan tugas bukan alasan untuk meninggalkan kewajipan solat, walaupun berada pada ketinggian puluhan ribu kaki.

Ruangan komen dipenuhi kata-kata penuh doa dan penghargaan. Antara komen-komennya ialah:

“Masya-Allah. Alhamdulillah. Bismillah, selalu dilancarkan dalam penerbangannya pak. Salam kenal.”

“Subhanallah ya Allah. Beliau yang terbaik, masih boleh bersujud kerana Allah SWT. BarokaAllah.”

“Masya-Allah. Istiqamah ya pak. Sihat selalu. Diberi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amin YRA.”



“Masya-Allah, selama nafas masih di badan jangan pernah tinggalkan solat. Kerana saat kita berpulang, solat kitalah yang ditanya pertama kali.”

“Contoh yang baik sekali, kapten. Sihat selalu dan semoga sentiasa dalam perlindungan Allah. Amin.”

Video tersebut menerima lebih 90,000 tanda suka, termasuk daripada selebriti tempatan seperti angah_lawaking, yang turut terpanggil untuk menyatakan sokongan.



Rakaman ini bukan sekadar paparan seseorang menunaikan solat, tetapi satu peringatan halus, sehebat mana pun tanggungjawab di dunia, hubungan dengan Allah tetap menjadi keutamaan.

Dalam kesibukan mengendalikan pesawat komersial, Kapten Rafinoor membuktikan bahawa ibadah tidak pernah menjadi beban, sebaliknya menjadi sumber kekuatan untuk terus menjalankan amanah.

Alhamdulillah. - KitaReporters



13
10
0
6
0
You will be interested