Kegilaan masyarakat Malaysia terhadap ayam gepuk nampaknya makin menjadi-jadi. Ke mana sahaja melangkah, pasti ada kedai ayam gepuk, daripada versi tradisional Jawa, sambal hijau, sambal bawang hinggalah sambal ‘level neraka’.
Waktu makan tengah hari, waktu malam, malah waktu hujan pun ayam gepuk tetap menjadi pilihan. Ringkas, pedas dan kononnya ‘comfort food’.
Namun, di sebalik keghairahan itu, satu perkongsian
dalam media sosial mencetuskan rasa geli yang sukar ditelan, bukan kerana pedas,
tetapi kerana sesuatu yang langsung tidak patut berada dalam pinggan makanan.
Segalanya bermula apabila seorang pengguna media sosial dengan nama akaun netizens.ss memuat naik satu ‘first thread’ yang pantas tular.
Nada tulisannya santai, namun cukup untuk membuatkan ramai pembaca berhenti mengunyah. “Tolong, geli weh!” tulisnya.

Menurut perkongsian tersebut, dia yang ketika itu terlalu lapar telah memesan ayam gepuk dari sebuah premis yang namanya turut disebut dalam hantaran asal.
Pada awalnya, semuanya kelihatan normal. Tauhu dicecah sambal, nasi disuap perlahan sehinggalah satu gigitan terasa ‘something fishy’.
“Apahal keras semacam. Kemudian anda tengoklah kuku
besar weh!”
Ayat itu sahaja sudah cukup membuatkan ruangan komen dipenuhi emoji muntah.
Lebih mengerikan, objek yang ditemui bukan sekadar serpihan asing kecil, tetapi sepotong kuku bersaiz jelas, dipercayai kuku manusia.
Serpihan yang dipercayai kuku manusia dijumpai dalam ayam gepuk.
Pemilik akaun itu mengakui dirinya penggemar ayam
gepuk, namun pengalaman tersebut terus memadamkan selera.
“Aku ni pun pecinta ayam gepuk tapi kalau macam ni
berniaga, bye bye laa.”
Tidak terhenti di situ, beberapa jam kemudian dia memuat naik kemas kini kedua. Dalam keadaan separa trauma dan loya, dia cuba mengutip dan membasuh objek tersebut untuk memastikan ia bukan silap mata.
“Baiklah, saya sudah cuba kutip dan basuh memang sah kuku. Sampai hari ni nak makan pun masih loya teringat benda ni,” tulisnya.

Perkongsian itu terus meletup. Netizen bukan sahaja geli, malah mula berdebat tentang punca sebenar objek tersebut boleh berada dalam makanan.
“Macam serpihan tulang ayam yang patah. Husnuzon lah mungkin terpelanting masa geprek ayam,” komen salah seorang netizen.

Namun, penjelasan itu terus disangkal oleh pemilik Thread yang jelas berang dengan cubaan ‘menenangkan’ situasi.
“Yang cakap serai jangan sampai aku cari kuku tu
balik dalam tong sampah. Aku dah tergigit ya boleh beza serai dengan kuku,”
sanggahnya.
Nada itu membuatkan ramai netizen mengakui, apabila sudah tergigit, memang tiada lagi ruang untuk berkompromi.

Seorang lagi netizen menambah rasa ngeri dengan pemerhatian yang lebih terperinci. “Eiii ni kuku jari kelingking, jari kecil sekali tu. Ya, Allah,” tulisnya.
Ada juga yang turut merasai apa yang dirasai oleh tukang kongsi. “Kau yang makan aku yang kembang kak. Weh, sumpah nak keluar balik apa aku makan ni,” katanya.

Di sebalik kegilaan terhadap ayam gepuk, ayam penyet dan ayam geprek, jelas bahawa makanan berasaskan ayam pedas masih menjadi ‘raja’ selera rakyat Malaysia.
Tidak dapat dinafikan, hidangan asal Indonesia ini kini mendominasi pasaran tempatan, daripada gerai kecil sehinggalah rangkaian restoran berjenama. Sambalnya pedas, konsepnya ringkas dan naratifnya mudah dijual.
Namun, dalam kita mengejar trend, wajar juga kita berhenti seketika dan menoleh ke belakang.
Sebenarnya, kita sudah lama memiliki versi tempatan yang tidak kurang hebatnya iaitu nasi kukus ayam goreng berempah. Ayamnya rangup dan beraroma, sambalnya padu, harganya pula jauh lebih mesra poket. Bezanya cuma satu, ia tidak diberi nama ‘viral’.
Nasi ayam gepuk berasal dari Indonesia dan begitu popular di Malaysia. - Kredit foto: Google Image.
Peringatan untuk para peniaga, utamakan kebersihan dan tanggungjawab dalam penyediaan makanan.
Trend boleh datang dan pergi, tetapi kepercayaan pengguna hanya datang sekali. Apabila ia tercalar, sukar untuk dipulihkan walaupun dengan sambal sepedas mana sekalipun.
Mungkin sudah tiba masanya kita kembali menghargai apa yang dekat dengan kita, yang murah, sedap dan telah lama sebati dengan lidah tempatan.
Kerana akhirnya, makanan yang baik bukan sekadar tentang rasa, tetapi juga keyakinan untuk menyuap tanpa rasa waswas. - KitaReporters
Malaysia juga mempunyai makanan hampir sama dengan nasi ayak gepuk iaitu nasi kukus ayam goreng berempah. - Kredit foto: Google Image.