Insan & Komuniti 07 Jan, 2026

Perlis: Pulang dari jarak dan sejarah! Antara darah, janji dan kehilangan! Bermula satu perjalanan!

@mohd fudzail mohd nor
Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan penulis bebas setelah pencen. Belajar di New Zealand, bekerja di TV3, pernah bekerja selama 18 tahun di Arab Saudi dan UAE sebelum balik ke Kelana Jaya, Selangor akibat diserang strok dan menjadi warga OKU. Emel: [email protected]

Share this

Saya melangkah ke Perlis bukan untuk menanda satu lagi destinasi pada peta perjalanan, tetapi untuk menimbang sesuatu yang lebih berat daripada jarak dan jarum kompas: darah, janji, dan kehilangan.


Dengan kembar, Fadzillah

Negeri paling kecil di Malaysia ini menjadi titik mula Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) saya, namun jauh sebelum slogan dan kempen dirancang, Perlis telah lama menjadi ruang batin -- tempat saya belajar tentang batas tubuh, batas kasih, dan batas takdir.

Kepulangan paling berat bermula pada Ogos 2018. Saya meninggalkan kehidupan di Dubai dan pulang ke Malaysia untuk menjaga ibu, yang ketika itu baru menjalani pembedahan

Ibu saya dilahirkan di Pontian, Pahang, namun seperti banyak manusia lain, hidup membawanya merantau dan akhirnya menetap di Perlis, tanah yang tidak pernah dirancang sebagai penamat, tetapi ditentukan oleh keadaan dan keluarga.

Saya pulang dengan keyakinan bahawa kasih seorang anak mampu menampung segala keletihan. Dua minggu kemudian, keyakinan itu runtuh bersama tubuh saya sendiri. Saya diserang strok dan menjadi OKU, akibat keletihan dan kurang tidur ketika menjaga ibu.

Saya pulang untuk menjaga, tetapi akhirnya saya pula yang perlu dijaga. Dunia yang saya kenal berubah dalam sekelip mata dari gerak menjadi perlahan, rencana menjadi terhad, dan masa seakan mengambil wajah baharu.

Adik-beradik saya meneruskan tanggungjawab menjaga ibu, sementara saya belajar menerima bahawa niat yang baik tidak selalu dilindungi oleh kekuatan fizikal. 

Ada kasih yang memerlukan jarak, dan ada pengorbanan yang tidak dapat disempurnakan seperti yang kita impikan. Ibu meninggal dunia di rumah Fadzillah di Perlis pada penghujung 2023. 

Kali terakhir saya menjejakkan kaki ke negeri ini sebelum kunjungan sekarang adalah untuk berada di rumah itu, rumah yang menyimpan nafas terakhir ibu, doa-doa yang bertindih, dan sunyi yang tidak mampu diterjemahkan.

Dari rumah itulah ibu dihantar ke persemadian terakhirnya. Sejak hari itu, Perlis bukan lagi sekadar sebuah negeri bagi saya; ia menjadi halaman penutup satu bab hidup yang tidak pernah benar-benar selesai.


Pasangan kembar dengan suami Fadzillah, Khairil dan isteri saya, Dr Azma.

Perkahwinan anak saudara di samping kami sekeluarga

Kini saya kembali pada 2026, bukan lagi sebagai anak yang tergesa-gesa menebus janji, tetapi sebagai manusia yang belajar menerima bahawa ada kasih yang selesai dalam diam, dan ada rindu yang tidak perlu diselesaikan dengan kata-kata.

Kunjungan ini juga adalah pertemuan keluarga. Saya datang menemui kembar perempuan saya, Fadzillah, yang memilih Perlis sebagai tanah hidupnya. Wajahnya tidak sama seperti saya dan sejak kecil orang sudah tahu bahawa kembar kami bukan cermin.

Dia berakar pada tanah dan rutin; saya pula dipahat oleh jarak dan perjalanan. 

Namun kami disatukan oleh darah dan oleh kisah kelahiran yang sering diceritakan orang: dia lahir ketika subuh di Pontian, Pahang, manakala saya ketika maghrib di Hospital Mersing, Johor. Dua negeri, dua waktu, lain jantina namun satu permulaan yang menghairankan ramai.

Fadzillah kini ibu kepada lapan orang anak, enam lelaki dan dua perempuan. Lima anak lelakinya telah berkahwin, saya dengan isteri, Dr Azma mempunyai tiga anak lelaki.

Saya hadir ke Perlis untuk meraikan perkahwinan anak lelakinya yang kelima. Majlisnya meriah di kunjungi ramai tetamu seperti negeri ini sendiri. 

Saya duduk memerhati bagaimana generasi beralih tangan, bagaimana sebuah keluarga menjadi tapak kecil kesinambungan masyarakat; di situlah masa bergerak tanpa perlu diumumkan.


Di sempadan Thai.

Dalam kunjungan ini, saya tidak mahu Perlis sekadar menjadi latar majlis keluarga. Saya menjelajah negeri kecil ini seolah-olah mahu membacanya sebagai teks yang hidup dari gua, ke kampung, ke sempadan.

Di Gua Kelam, lorong batu kapur yang dingin mengajar saya tentang masa yang tidak tergesa. Titisan air dari siling gua berbunyi seperti detik jam yang menolak kelam-kabut dunia luar. Di situ saya sedar bahawa ada proses yang hanya boleh disempurnakan oleh kesabaran.

Saya ke Kampung Y, sebuah kampung pedalaman yang tercatat dalam risalah pelancongan. Untuk masuk ke kawasan itu dengan motosikal yang diubah menjadi kereta, menyusuri jalan kecil yang sempit dan berdebu.

Di situlah saya melihat wajah Perlis yang tidak bersolek dengan sungai dan rimba. Kampung Y mengingatkan saya bahawa negara ini dibina bukan hanya oleh lebuh raya dan zon bebas, tetapi oleh kampung-kampung kecil yang sering tertinggal dalam perbincangan pembangunan.

Di Kampung Warna-Warni, rumah-rumah dicat ceria seolah-olah menolak anggapan bahawa kemiskinan mesti selalu kelabu. Warna menjadi bahasa harapan, meskipun kehidupan penduduk tetap sederhana. 

Saya singgah makan di Restoran Tepi Sawah, menyaksikan bagaimana desa dan dunia tular bertaut yang kadangkala membawa rezeki, kadangkala membawa tekanan baharu.

Di Zon Bebas Padang Besar, saya melihat denyut ekonomi sempadan dengan tawar-menawar, pergerakan barang, dan hidup yang bergantung pada garis negara yang dilukis oleh sejarah. 

Bahasa bercampur, mata wang bertukar tangan, dan identiti menjadi cair. Di sini, sempadan bukan sekadar pagar, tetapi ruang hidup.

Saya meneruskan perjalanan ke Bukit Kayu Hitam, lalu menyeberang ke Hatyai dan Songkhla dengan kereta sewa yang dipandu oleh seorang anak Pattani. 

Di sana, kesan banjir masih jelas pada dinding rumah, pada kedai yang separuh pulih, dan pada wajah manusia. Air telah surut, tetapi trauma tinggal.

Saya sedar bahawa dunia sedang bergelut bukan sahaja dengan politik dan ekonomi, tetapi juga dengan iklim yang semakin tidak menentu. 

Perbandingan jalan raya turut mencolok mata dengan lebuh raya tanpa tol di Thailand lebih teguh, berbanding jalan bertampal di banyak tempat di tanah air.


Di Songkla, Thailand.


Perlis pada 2026 sedang melalui fasa politik yang halus. Dengan Menteri Besar yang baharu, negeri ini berada di persimpangan antara harapan dan kebimbangan. 

Di warung kopi dan serambi masjid, orang tidak berbicara tentang ideologi besar; mereka berbicara tentang harga baja, hasil padi, peluang kerja anak-anak, dan masa depan sempadan. Politik di sini berwajah dapur dan bendang bukan poster dan slogan.

Sebagai negeri kecil, Perlis tidak boleh bersaing dari segi skala, tetapi boleh menang melalui kejelasan hala tuju

Cabaran mendatang bukan sekadar pelancongan bermusim, tetapi bagaimana pembangunan boleh berlaku tanpa meminggirkan petani, peniaga kecil dan warga emas.

Tahun Melawat Malaysia 2026 membuka pintu, tetapi persoalan sebenar ialah apa yang tinggal selepas pelawat pulang, adakah pekerjaan kekal, adakah alam terjaga, dan adakah anak muda memilih untuk tinggal.

Saya melihat Perlis sebagai makmal Malaysia kecil: tadbir urus yang dekat dengan rakyat, ekonomi berpaksikan komuniti, dan sempadan yang menjadi ruang kerjasama serantau. 

Namun potensi ini hanya akan hidup jika kuasa sedia mendengar, bukan sekadar mengumumkan.

Kami sekeluarga berbicara tentang ibu, tentang kehidupan di Kuala Rompin, Pahang, tentang masa lalu, dan tentang anak-anak yang akan membesar dalam dunia yang lebih rapuh. 

Kami tidak menjadi cermin, tetapi kami memahami bahasa diam yang sama, bahasa darah yang tidak memerlukan penjelasan.


Di pusara ibu

Saya menziarahi pusara ibu. Tanahnya sejuk di kaki. Saya berbisik memohon keampunan atas janji yang tidak sempat ditunaikan. 

Saya teringat bagaimana saya pernah merantau ke New Zealand, Arab Saudi, UAE, dan lebih 40 negara, mencari kehidupan yang lebih baik. Kini saya tahu: ada perkara yang wang dan perjalanan tidak mampu jaga iaitu waktu, kesihatan, dan saat terakhir orang yang kita kasihi.

Saya meninggalkan Perlis dengan langkah yang perlahan, tetapi hati yang lebih jujur. Negeri ini bukan sekadar titik mula perjalanan 2026 saya. 

Di sinilah ibu bersemadi walaupun lahirnya di Pontian, Pahang; di sinilah keluarga bertemu untuk meraikan dan meratapi; di sinilah saya melihat sebuah negeri kecil berusaha kekal manusiawi dalam dunia yang semakin rakus.

Perlis mengajar saya bahawa masa depan tidak selalu dibina dengan menjadi besar. Kadang-kadang, ia dibina dengan menjadi cukup adil, cukup berakar, dan cukup berani untuk berubah tanpa kehilangan jiwa.

Dan dari sinilah perjalanan Tahun Melawat Malaysia saya bermula dengan kereta api ETS, perlahan dan setia pada rel, seperti hidup yang kini saya pelajari semula, langkah demi langkah. - KitaReporters


Di Padang Besar.

8
16
0
7
0
You will be interested