Insan & Komuniti 20 Oct, 2025

Datang berjalan kaki! Balik tunggang motosikal! Tuah datang tak diduga! Menang cabutan bertuah!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Datang berjalan kaki, pulang menunggang motosikal. Begitulah rezeki luar jangka yang dikecapi seorang wanita Orang Asli di Kampung Ulu Juaseh baru-baru ini.


Juriah Kutoi gembira menerima hadiah motosikal yang dimenanginya melalui cabutan nombor bertuah.


Juriah Kutoi, 50, tidak pernah menyangka kehadirannya pada Program Bersama Orang Asal anjuran Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Malaysia (PKJPM) Stesen Labis pada 18 Oktober 2025 lalu akan mengubah harinya menjadi penuh makna.

Daripada hampir 200 penduduk yang hadir, Juriah diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah sebuah motosikal baharu.

Juriah menzahirkan rasa gembira dan terkejut apabila nombor yang dipegangnya diumumkan sebagai pemenang hadiah utama, sesuatu yang langsung tidak diduganya.


Sebahagian penduduk Kampung Orang Asli Ulu Juaseh, Labis, Johor yang hadir memeriahkan Prohram Bersama Orang Asal anjuran PKjPM pada 18 Oktober 2025.


“Saya memang tidak memiliki motosikal sendiri ketika ini. Hanya motosikal lama suami yang kami guna untuk ke kebun,” katanya sambil tersenyum.

Menurutnya, dengan adanya motosikal baharu ini, urusan harian mereka akan menjadi lebih mudah terutama untuk ke pekan berhampiran membeli barang keperluan atau ke klinik kesihatan.

Menurut Juriah, ketika menghadiri program sama sebelum ini, dia tidak bernasib baik dan langsung tidak memenangi sebarang hadiah. Namun kali ini, tuah nyata berpihak kepadanya.

Dia menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu rezeki besar dan hadiah paling bermakna buat keluarganya tahun ini.



Program anjuran PKJPM itu bukan sekadar cabutan bertuah, malah turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang berjaya mengeratkan hubungan antara masyarakat luar dengan komuniti Orang Asli. 

Antara aktiviti paling mendapat perhatian ialah pertandingan menyumpit yang menerima penyertaan hampir 50 penduduk lelaki dan wanita dari kampung tersebut.

Selain itu, pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai, barangan elektrik dan motosikal disediakan bagi menceriakan lagi suasana program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni.


Pertandingan menyumpit yang mendapat penyertaan hampir 50 penyertaan lelaki dan wanita memeriahkan suasana.


Tok Batin Kampung Ulu Juaseh, Dagoh Tanda, melahirkan rasa gembira serta terima kasih kepada PKJPM kerana sudi menyantuni penduduk kampung mereka.

Katanya, kehadiran pihak luar seperti PKJPM amat bermakna kerana menjadikan penduduk rasa dihargai dan tidak tersisih daripada arus pembangunan masyarakat moden.

Dalam masa sama, Dagoh turut mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan aktiviti sihat dan bermanfaat di kampung berkenaan demi kesejahteraan penduduk.

Beliau turut menegaskan agar tiada pihak luar cuba membawa pengaruh negatif ke kampung itu kerana tidak mahu keharmonian yang terjalin sekian lama diganggu.


Selain motosikal, televisyen antara hadiah cabutan nombor bertuah yang menjadi idaman penduduk kampung.


Menurut Dagoh, kampung yang dihuni hampir 300 penduduk daripada 80 keluarga itu kini menikmati pelbagai kemudahan asas termasuk bekalan air terawat, elektrik dan liputan internet yang baik.

Beliau berharap program sebegini dapat dijadikan acara tahunan kerana mampu memberi manfaat besar kepada penduduk setempat serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat luar.

“Kami sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak yang ingin datang. Datanglah untuk mengenali gaya hidup dan adat resam kami,” katanya dengan penuh harapan. - KitaReporters


Batin Dagoh menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan menyumpit.

5
8
0
8
0
You will be interested