Insan & Komuniti 21 Nov, 2023

Tolong kami! Bantu ibu bapa anak-anak OKU! Rayu diteruskan program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Seorang ibu kepada anak Orang Kurang Upaya (OKU), Partivi Masiran, merayu agar anaknya, Muhammad Aqiell Asyraaff Zamri, 12, agar tidak diberhentikan daripada program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Program PDK atau "Community-Based Rehabilitation" (CBR) atau pemulihan berasaskan komuniti telah dipelopori Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah terlibat secara langsung dalam penyedian manual dan seterusnya diberi peluang menilai dan mengubah suai pelaksanaan program ini. 

Antara objektif program ini ialah menggalakkan sikap prihatin, berdikari dan rasa tanggungjawab masyarakat tempatan dalam program pemulihan OKU. Program PDK berteraskan kepada tiga model iaitu home-based, centre-based dan centre-home-based.


Partivi Masiran dan anaknya, Muhammad Aqiell Asyraaff Zamri 


Justeru, Partivi menghubungi KitaReporters.com untuk mengetengahkan isu ini agar luahannya didengari. 

Menurut wanita yang menetap di Kota Tinggi, Johor Baharu ini, dia terkejut dengan keputusan JKM untuk menghentikan pelatih-pelatih (terdiri daripada golongan OKU) yang menerima bantuan sebanyak RM150 sebulan daripada JKM.

Muhammad Aqiell telah didiagnosis pelbagai masalah kesihatan seperti chronic lung deases, post VSD closure with residual PDA legation, sick uthyroid syndrome, cerebral palsy with secondary hypoxic, supra glottic stenosis gred 4, global development delay GDD dan hiperaktif.

Tegas Partivi, dia mahu pihak terbabit memberi peluang anak-anak OKU untuk terus kekal dalam PDK. Seandainya langkah pemberhentian terus dilakukan, ke manakah hala tuju anak-anak istimewa tersebut. 

Menurutnya lagi, bagi pelatih di rumah, cikgu PDK akan buat lawatan ke rumah empat kali sebulan. Dalam lawatan ini, pelatih akan belajar pemulihan cara kerja dan sebagainya. 

Manakala pelatih yang bersemuka, belajar lapan kali sebulan. Sebelum ini, setiap pelatih akan diberi elaun sebanyak RM150 sebulan.


Sambutan hari kemerdekaan antara aktiviti yang diadakan dalam PDK.


“Saya merayu agar memberi peluang anak-anak OKU dalam PDK. Saya agak terkejut kerana dimaklumkan program tersebut dan pelatih di rumah diberhentikan serta-merta bagi pelatih yang menerima bantuan bulanan daripada JKM. 

"Di mana hala tuju pelatih-pelatih yang diberhentikan ini? Apakah nasib mereka jika tidak diberi perhatian dan peluang untuk berada sama dalam pemulihan komuniti OKU?

“Di Malaysia ini, hanya ada dua institusi pendidikan bagi golongan OKU iaitu PDK dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Tidak semua anak OKU ini layak berada di PPKI atas sebab masalah kesihatan dan juga kekurangan diri (fizikal/daya fikiran).

“Jika JKM tidak cakna tentang pemulihan anak-anak OKU kami, komuniti mana lagi yang kami boleh letakkan anak OKU ini.

"Walaupun mereka dilihat tidak bermanfaat dan tidak boleh menjadi modal insan kepada negara, tetapi mereka juga ada perasaan untuk berkawan dan juga beraktiviti. 

:"Oleh itu, saya mohon kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar mengambil peduli dan memberikan peluang kepada anak-anak OKU ini untuk terus berada dan belajar di PDK. Di sinilah perkembangan mereka dapat dilihat hasil sentuhan guru-guru PDK terlatih.

“Kami ibu bapa amat mengharapkan pihak kementerian juga JKM cakna pendidikan anak-anak OKU iaitu pendidikan secara bersemuka lapan kali sebulan atau empat kali sebulan untuk pelatih di rumah.


Adik Aqiell merupakan pelatih di rumah dalam PDK.

“Jika elaun pelatih RM150 sebulan ini membebankan pihak kementerian dan JKM, kami ibu bapa rela elaun ini ditarik balik dan berilah peluang anak OKU kami terus berada dan belajar di PDK. 

"Berilah kami peluang sebagai ibu bapa kepada anak OKU ini untuk sama-sama berada dalam kelompok komuniti berkongsi rasa dan cerita setiap kali program dan aktiviti diadakan.

“Sekurang-kurangnya kami dapat raikan kebersamaan dengan anak-anak OKU ini. Bukan semua boleh menerima kekurangan anak OKU kami. Hanya PDK tempat yang sesuai untuk anak-anak kami,” rayunya.

Semoga rayuan Partivi dan ibu bapa yang senasib didengari pihak-pihak terbabit. Mereka sanggup elaun bulanan anak-anak ditarik balik tetapi tidak kalau diberhentikan daripada menyertai program PDK. - KitaReporters


Aktiviti-aktiviti seperti ini membantu pelatih bersosial.

16
12
3
9
2
You will be interested