SELASA lepas (22 November 2022), artis popular Nad Zainal telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan kuman dan paru-paru berdarah.
Selepas beberapa hari, menurut cerita rakan-rakan artis yang sempat menziarahi beliau di ICU, keadaan pelakon tersebut menunjukkan perkembangan positif walaupun masih perlu menjalani rawatan buah pinggang disebabkan organ berkenaan sedikit terjejas.
Bagi menunjukkan solidariti dan membantu bebanan yang ditanggung, seorang penerbit dan pengarah bernama Shahrulezad Mohameddin telah bertindak melancarkan kempen memungut dana khas untuk Nad Zainal.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelakon Nad Zainal
“Ramai sudah maklum mengenai pelakon Nad Zainal yang masih dirawat di wad ICU sejak minggu lalu.
“Tabung Kecemasan ini adalah insiatif rakan-rakan serta peminat Nad Zainal bagi menampung kos rawatan medikalnya di hospital pakar untuk membantu meringankan beban keluarganya.
"Bagi semua yang prihatin, mari kita sama sama berganding bahu untuk bantu bersama,” ujarnya melalui satu hantaran di ruangan aplikasi Instagram miliknya.
Menurut Shahrulezad lagi, usaha ini adalah salah satu cara bagi menunjukkan inisiatif rakan-rakan artis yang sentiasa menyayangi dan mahukan Nad Zainal segera sembuh.
“Yang pastinya, jangan kita lupa titipkan doa untuk Nad Zainal agar kembali pulih sepenuhnya dan jangan lupa juga untuk kongsikan post ini agar lebih ramai dapat turut membantu,” katanya lagi.
Mereka yang ingin berhajat untuk menyalurkan sumbangan ikhlas bolehlah menggunakan CDM di mana-mana bank terdekat dan emelkan resit kepada [email protected] atau terus menghubungi pembantu kepada Nadi Zainal melalui talian 012-3458623. - KitaReporters