PENONTON siaran Berita Wilayah, di TV1 pada Rabu, 21 Disember 2022 terasa bagai bermimpi apabila menyaksikan segmen ‘cuaca’ pada jam 5.30 petang dan melihat penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 43, membaca laporan ramalan cuaca.
Malah ada penonton yang hanya mendengar siaran berita wilayah itu turut terkejut apabila mendengar segmen ramalan cuaca’ berlainan daripada kebiasaan. Suara penyampainya seperti suara Siti Nurhaliza.
Lalu ada yang meluru ke peti TV untuk mendapat kepastian. Apakah penyanyi tersohor ini sudah mengubah kerjaya?
Teruja untuk melihat Siti Nurhaliza membaca kaji cuaca, membuat ramai yang beralih ke siaran Berita Nasional, TV1 jam 8 malam kerana penyanyi tersohor itu muncul sekali lagi.
Para penonton rata-rata memuji cara penyampaian Siti Nurhaliza yang bersahaja, tenang dan suaranya merdu seperti sedang menyanyi. Siti memakai kot berwarna hitam dan tudung kelabu.
Ia membantu meningkatkan kadar tontonan Berita Wilayah dan Berita Pedana RTM. Ramai yang berharap Siti Nurhaliza akan kerap muncul dalam segmen itu.
Kemunculan Siti Nurhaliza sebagai penyampai selebriti adalah kolaborasi bersama Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keadaan semasa cuaca dan kepentingan menjaga diri ketika berlaku bencana alam.
Menerusi hantaran dalam laman Instagram, Siti Nurhaliza berkongsi rasa teruja dan terima kasih kepada pihak METMalaysia atas kerjasama strategik Cakna Cuaca dan peluang untuknya menyampaikan maklumat ramalan cuaca.
Siti Nurhaliza turut memuat naik beberapa fotonya bersama warga METMalaysia dan berharap agar kerjasama itu dapat menggalakkan orang ramai untuk mengikuti perkembangan ramalan cuaca setiap masa.
"Kolaborasi ini diharap dapat menggalakkan orang ramai mengikut laporan cuaca dan bertindak mengikut nasihat berkaitan risiko bencana seperti banjir, angin kencang dan laut bergelora," kata Siti Nurhaliza.
Dalam laporan itu, Siti juga memberi pesanan kepada individu yang tinggal di kawasan berisiko untuk sentiasa berjaga-jaga dan segera berpindah sekiranya lokasi mereka dinaiki air dan tidak bersuka ria sewaktu berlakunya air, kerana tiada yang lebih berharga daripada nyawa.
"Bagi mereka yang berada di kawasan berkedudukan rendah dan berisiko, nasihat saya simpanlah barang berharga dan dokumen penting dalam beg yang mudah dibawa. Segera berpindah ke pusat pemindahan sementara mengikut arahan pihak berkuasa," ujarnya.
/
Menjengah ruang komen, rata-rata peminat terkejut melihat kemunculan Siti dan lebih bersemangat untuk melihat laporan cuaca.
"Terkejut tengok Tokti tadi. Baru sahaja tengok laporan MET Malaysia di TV1. Baca laporan berita pun merdunya suara. Kali ini paling semangat nak layan laporan cuaca. First time rasa tak sabar nak tengok berita," tulis netizen.
Selain dalam Berita RTM, kemunculan Sti Nurhaliza dapat ditonton dalam saluran YouTube Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Menurut kenyataan METMalaysi) yang berada di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), mereka menerima kunjungan Siti Nurhaliza sempena kerjasama strategik Cakna Cuaca inisiatif Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
Mungkin ramai yang lupa atau tidak tahu behawa Siti Nurhaliza pernah muncul membaca berita untuk Astro Awani, pada 13 November 2014. - KitaReporters