Insan & Komuniti 14 Feb, 2022

Video| Syabas Wan Omar! Kecacatan bukan penghalang! OKU mampu berdikari! Urus perniagaan sendiri!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Wan Omar Weauseng (kiri) menunjukkan barangan yang terdapat di kedai miliknya di pekan nelayan Kuala Besut, Terengganu


BERKERUSI roda bukan menjadi halangan untuk membina hidup berdikari sebagai seorang usahawan kerana berbekalkan semangat ingin maju dan yakin pada diri sendiri ia akan memberi kejayaan kepada seorang. 

Pemuda Orang kelainan Upaya (OKU),  Wan Omar Weauseng, 30, dari pekan nelayan Kuala Besut, Terengganu, membuktikan meskipun dia tidak sempurna tetap berusaha untuk hidup berdikari kerana tidak mengharapkan belas kasihan dan bantuan daripada orang lain.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan OKU

Wan Omar berkerusi roda  di pintu masuk kedai miliknya


Bermodalkan RM200 wang yang diperolehi daripada Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), Wan Omar memberanikan diri menceburi perniagaan dengan menjual jam, produk kesihatan dan minyak wangi sejak empat tahun lalu

“Saya menjalankan perniagaan kerana hendak ubah nasib diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia tidak dapat berjalan sejak berumur 12 tahun yang mengakibatkan dia selepas itu kehilangan ramai sahabat yang menjauhi diri kerana dia menjadi OKU.


Pemuda OKU Wan Omar Weauseng



Katanya, jika kaki tak boleh bergerak Tuhan memberi tangan, mulut, mata, telinga dan banyak anggota lain yang boleh berfungsi untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Sebenarnya, kata Wan Omar, dia memang berminat berniaga sejak dari zaman persekolahan lagi dengan menjual gula-gula kepada kawan sekolah dengan mendapat untung antara 10 dan 20 sen daripada hasil jualan berkenaan.


Pelbagai jenama jam dijual di Wow Bisnes


“Saya tidak malu menerima nasib menjadi OKU selepas terjatuh menyebabkan tulang belakang menjadi retak dan tidak boleh berjalan,” katanya.

Malah, satu ketika dulu, katanya, ada orang mencadangkan dia supaya duduk dekat pasar tani, dekat bank atau tepi jalan dengan melakukan kerja meminta sedekah daripada orang ramai.


Kedai milik Wan Omar di pekan nelayan Kuala Besut


Menyahut cabaran dan hinaan tersebut, Wan Omar tekad untuk menjalankan perniagaan dan dengan izin Allah serta sokongan penduduk setempat perniagaan yang dijalankan sekarang sudah maju dan bertambah kukuh.

“Bermula sebagai peniaga jalanan kini saya mampu membina sebuah kedai sendiri di tanah keluarga hasil daripada perniagaan yang dijalankan,” katanya.


Wan Omar berkerusi roda  di hadapan papan tanda perniagaan beliau di Kuala Besut



Wan Omar bijak melakukan promosi perniagaan yang disertainya apabila dia menggunakan platform media sosial termasuk Facebook, Instagram, Shopee dan TikTok untuk mempromosi barangan yang dijual.

Tidak hairanlah jika ramai netizen yang mengikuti video yang sering dikongsikan dalam media sosial melihat gelagat Wan Omar ketika mempromosikan perniagaan.

Perniagaan yang dikenali dengan “Wow Bisnes” kini menjadi pilihan penduduk tempatan menyebabkan Wan Omar sentiasa senyum dengan sokongan masyarakat setempat.

“Semua barangan yang dijual di kedai saya adalah berkualiti dan mampu dibeli oleh pelbagai golongan masyarakat,” katanya. - KitaReporters


Ketika masa lapang Wan Omar seperti juga insan  lain ingin mencari kedamaian

17
9
2
12
0
You will be interested