Insan & Komuniti 23 Jun, 2021

Terima kasih Masjid Al-Khairiyah! Susah dibantu, berjasa dihargai, bukan Islam turut disantuni!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Kredit foto: Masjid Al-Khairiyah


Masjid kini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat beribadah serta menuntut dan mendalami ilmu Islam semata-mata sebaliknya memainkan peranan lebih luas menyantuni kehidupan masyarakat setempat tanpa mengira bangsa dan agama.

Atas hakikat itu, Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, Batu Caves turut menjadi ‘frontliner’ yang tampil ‘menghulurkan tangan’ pada saat ramai orang amat terkesan ekoran pendamik Covid-19 yang melanda negara terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan golongan asnaf 

Golongan yang memerlukan menerima bantuan berupa barangan dapur serta barangan basah. - Kredit foto: Masjid Al-Khairiyah.


Sehubungan itu, Ahad, 20 Jun, 2021 lalu, Masjid Al-Khairiyah melalui program ‘Alkhairiyah Prihatin’ telah menganjurkan majlis penyerahan bantuan kepada pelbagai pihak yang terkesan, bukan semata-mata kepada umat Islam sebaliknya kepada semua yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurut Setiausaha Masjid Al-Khairiyah, Mohd Rohisham Mohd Ikhlak, melalui program itu, mereka mampu menyantuni seramai 500 orang yang terdiri daripada asnaf, pemandu teksi, pemandu e-panggilan (e-hailing), pemandu lori, pengawal keselamatan, penghantar makanan (food rider), peniaga kecil dan masyarakat setempat yang terjejas sumber pendapatan mereka sepanjang PKP dilaksanakan.

Selain barangan keperluan dapur dan barangan basah, bantuan berbentuk wang tunai turut disumbangkan. 



Penghantar makanan (food rider) turut menerima sumbangan wang tunai. - Kredit foto: Masjid Al-Khairiyah.


“Lazimnya bantuan barangan dapur dan basah kami khususkan kepada golongan asnaf dan masyarakat yang terjejas, sedikit sebanyak ia mampu meringankan beban mereka. Sementara itu untuk individu seperti pemandu teksi, e-hailing, penghantar makanan dan lain-lain, kami berikan sumbangan wang tunai.

“Bagi memastikan bantuan itu sampai kepada kumpulan sasar, para penerima perlu mendaftar terlebih dahulu dengan pihak masjid untuk disahkan mereka benar-benar layak. Ini penting kerana semua bantuan ini adalah sumbangan orang ramai yang berniat berinfak atau bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

“Satu hal yang saya mahu uar-uarkan adalah bantuan ini bukan untuk umat Islam semata-mata tapi terbuka kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama, jadi kami sangat mengalu-alukan mereka yang memerlukan untuk memohon.

“Selain program khas yang diadakan di masjid, kami juga menghulurkan bantuan pintu ke pintu kepada mereka yang memerlukan,” jelas Rohisham.



Bantuan yang diberikan bukan semata-mata kepada orang Islam sebaliknya terbuka kepada semua masyarakat tanpa mengiri bangsa dan agama. - Kredit Foto: Masjid Al-Khairiyah.


Malah, menurut Rohisham, bantuan itu  tidak terhad kepada komuniti Seri Gombak semata-mata sebaliknya dibuka kepada masyarakat daripada persekitaran taman berkenaan khususnya di kawasan Gombak.

Pihak masjid juga menyediakan bantuan barangan dapur secara ‘walk in’ yang dibuka pada pukul 2:00 hingga 2:30 petang setiap hari.

Masjid berkenaan turut menyantuni penceramah sebagai menghargai komitmen mereka menyampaikan pelbagai ilmu sepanjang dijemput menyampaikan kuliah serta kelas di masjid berkenaan sebelum ini.

“Sumbangan bulanan itu tidaklah terlalu besar namun ia sebagai penghargaan kami kepada mereka yang sama-sama mengimarahkan Al-Khairiyah sejak masjid ini ditubuhkan pada 2004,”katanya.

Selain bantuan berupa barangan dan wang tunai, Masjid Al-Khairiyah melalui program ‘Alkhairiyah Prihatin‘ ini turut menyediakan khidmat sanitasi secara percuma untuk kediaman atau premis yang berisiko atau terdedah kepada jangkitan Covid. 

Program yang berlangsung adalah kali yang ke-14 dilaksanakan oleh Masjid Al-Khairiyah sejak negara dilanda Covid. Sebelum ini, mereka turut menyantuni para petugas barisan hadapan, pihak penjara dan beberapa pihak lagi.

“Insya-Allah, kami akan mengadakan program ini setiap dua minggu sepanjang PKP dilaksanakan. 

"Pada masa sama, kami sangat mengalu-alukan para dermawan untuk terus menyumbang kepada tabung bantuan ini untuk kita sama-sama menyantuni masyarakat yang memerlukan,” ujar Rohisham. – KitaReporters 


5
0
0
0
1
You will be interested