Sukarelawan Pejabat Parlimen Besut bersiap sedia menyerahkan barang basah kepada Pusat COVID-19 Daerah Besut
NASIB penduduk empat kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Terengganu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak pernah diabaikan sebaliknya kehidupan mereka terus mendapat pembelaan daripada pelbagai pihak.
Dengan berbaki selama tiga hari lagi pada (27 Februari 2021) jika keadaan penularan pandemik COVID-19 di kawasan tersebut menurun, mereka kemungkinan akan dibebaskan daripada kurungan pihak berkuasa.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan PKPD:
https://kitareporters.com/search?search=PKPD
Sukarelawan bertungkus lumus menyiapkan bungkusan makanan untuk penduduk di kawasan PKPD
Penduduk dari Kampung Darau, Awek, Padang Baloh dan Lepang Kejor mencatat sejarah apabila mereka dikenakan PKPD berkuat kuasa pada 14 Februari 2021 lalu menjadikan lokaliti pertama di daerah Besut dikenakan perintah berkenaan.
Berikutan itu, mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut apabila pihak berkuasa mengenakan sekatan bagi mengelak penularan COVID-19 ke tempat-tempat lain.
Susulan itu pihak berkuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi pelbagai agensi dan jabatan termasuk Kerajaan Negeri, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Besut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kesihatan , dan Jabatan RELA terbabit dalam pengagihan bantuan makanan kepada mereka yang terkurung itu.
Sebahagian bungkusan berisi makanan yang siap dimasukkan ke dalam beg plastik
Selain itu, Pejabat Ahli Parlimen Besut adalah antara agensi paling aktif dan kerap menyalurkan pelbagai bantuan kepada lebih 2,000 penduduk yang terkesan dengan PKPD tersebut.
Terbaharu,
pada Rabu 24 Februai 2021 pihaknya mengagihkan bantuan bahan basah termasuk
ikan segar dan keropok kepada penduduk empat kampung terbabit.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pengagihan bahan basah tersebut adalah fasa ketiga dilakukan sejak 14 Februari 2021 bagi meringankan beban penduduk menghadapi situasi PKPD.
Seorang petugas Pejabat Parlimen Besut menunjukkan bungkusan makanan yang siap dibungkus.
Sebelum ini, katanya, penduduk menerima agihan barang basah termasuk ayam, telur, ikan, tembikai dan nanas selain barangan dapur.
“Pengagihan
barangan tersebut dilakukan oleh sukarelawan yang ditugaskan menghantar dari
rumah ke rumah penduduk,” katanya. - KitaReporters