Insan & Komuniti 10 Dec, 2021

Video| 12 tahun didera, dihalau majikan! Wanita terbiar di jalanan! Diselamatkan rakan senegara!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this


SUDAH jatuh ditimpa tangga! Demikian nasib seorang wanita berasal dari Indonesia yang bukan hanya menderita 12 tahun didera majikannya di Arab Saudi tetapi hidup terbiar di jalanan selepas dihalau keluar.

Kesengsaraan hidup dilalui Munirah Jasim, 30, seorang Tenaga Kerja Wanita (TKW) berakhir setelah bertemu lelaki senegara dikenali sebagai Hanafi yang kemudiannya menyelamatkan wanita malang berkenaan daripada terus hidup merana di perantauan. 


Lagi kisah-kisah jenayah berkaitan kes penderaan


MUNIRAH JASIM. - Kredit foto: Tribunnews.com


Memetik laporan Tribunnews.com pada 6 Disember 2021 lalu, Munirah yang merupakan anak kelahiran Karawang, Jawa Barat, Indonesia berhijrah ke Arab Saudi sejak 24 April 2009 bagi mencari rezeki.

Selama tempoh bekerja, majikannya tergamak memberikan Munirah makan nasi basi, tidur di bilik mandi dan setelah wanita ini jatuh sakit hingga tidak mampu melakukan sebarang kerja dihalau pula keluar dari rumah

Sebatang kara di negara orang, wanita ini tiada tempat hendak mengadu dan dituju sehingga terpaksa menjalani kehidupan hari-hari mendatang di jalanan dan akhirnya ditakdirkan bertemu Hanafi yang juga bekerja di Arab Saudi di Riyadh

Sewaktu ditemui, Munirah kelihatan kurus kering dan tidak bermaya akibat sakit setelah melalui hidup yang terumbang-ambing.



Menurut Munirah, dia buntu tidak dapat hubungi sesiapa termasuk sanak-saudara kerana tiada telefon bagi meminta pertolongan dan kerana itulah jalanan menjadi satu-satunya pilihan yang ada buat dirinya.

"Sepanjang berada di jalanan, makan minum saya diberi oleh orang ramai yang bersimpati dengan nasib saya. Tiada apa mampu saya lakukan selain hanya berserah segalanya kepada takdir dan berharap semuanya akan berakhir.

"Syukurlah, dapat bertemu Hanafi yang membantu selamatkan saya dari semua kesengsaraan dilalui dan turut maklumkan kepada pihak kedutaan Indonesia di Arab Saudi. Seandainya tidak berjumpa dia, tentu saya terus sengsara serta tidak mustahil akan mati kebuluran di tepi jalan," katanya. 

Munirah mengaku selama bekerja, majikannya langsung tidak membenarkan dia keluar dari rumah selain sering mendera dan memberinya makan nasi basi setiap hari serta menyuruhnya tidur dalam bilik mandi yang pintunya dikunci dari luar.  


MUNIRAH JASIM (kanan).


Sementara itu, adik ipar Munirah iaitu Yanto, 35, berkata selepas kakak iparnya itu berada di Arab Saudi hanya dalam tempoh masa dua tahun terawal sahaja keluarga dapat menghubungi Munirah menerusi telefon majikan

‘’Apabila mahu bercakap dengan kakak ipar saya, pelbagai alasan diberikan majikannya termasuk memberitahu Munirah sedang sibuk bekerja ataupun sedang memasak.

"Selepas dua tahun kemudian, kami sekeluarga tidak dapat lagi hubungi langsung kakak kipar saya,’’ kata Yanto ketika ditemui di Pejabat Pentadbiran Palumbonsari, Kecamatan Karawang Timur, Kabupaten Karawang pada 6 Disember 2021.

Setelah terputus hubungan dengan Munirah selama 10 tahun, ahli keluarganya telah melaporkan beberapa kali di Perkhidmatan Tenaga Kerja Transmigrasi dan Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) tetapi tidak berhasil. 

Bagaimanapun, Yanto mendapat khabar dalam media sosial baru-baru ini, bahawa kakak iparnya telah ditemui Hanafi di jalanan Riyadh. 

Kini, pihak kedutaan Indonesia berusaha menghantar pulang Munirah ke kampung asalnya di Karawang dalam masa terdekat. -KitaReporters


MUNIRAH (kanan) bersama petugas di Pejabat Pentadbiran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Riyadh, Arab Saudi pada 6 Disember 2021. - Kredit foto: Tribunnews.com.

11
19
3
18
0
You will be interested