Insan & Komuniti 24 Nov, 2020

Raub dilanda banjir! Amaran awal musibah daerah-daerah lain!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

MUSIM pejur atau tengkujuh telah bermula. Kebiasaannya pada awal bulan November sehinggalah ke tahun depan 2021. 

Ini bermakna, hujan lebat turun tidak berhenti-henti sehingga air di sungai utama dan anak sungai melimpah dan membanjiri kawasan rendah. Ini bermakna bagi penduduk yang tinggal di pesisir sungai dan kawasan rendah, saban tahun mereka berdepan dengan kejadian banjir. : KitaReporters


Pemandangan Sungai Dong dan Kampung Kuala Semantan yang mengalami banjir di bawah pemantauan dan analisis risiko kawasan serta lembangan sungai oleh Pasukan Amanah, Balai Bomba dan Penyelamat Raub. - Kredit foto: FB Balai Bomba dan Penyelamat Raub. 


Di Pahang, beberapa buah kampung di daerah Raub antara kawasan paling awal dilanda banjir setiap tahun dan memberikan petanda awal musibah itu akan melanda daerah lain.

Antara kampung, iaitu Kampung Durian Sebatang, Kampung Kampung Hulu Jelu, Kampun Pia, Kampung Bukit Pumpong, Kampung Ria, Kampung Sega dan Kampung Lepar, manakala mangsa berkenaan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kampung-kampung tersebut. 

Setakat yang dilaporkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga pukul 6 petang, pada 23 November 2020, seramai 120 orang daripada 29 buah keluarga dipindahkan ke PPS di balai raya kampung tersebut.

Kebajikan dan keselamatan mangsa di PPS dijaga oleh petugas JKM, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba dan Penyelamat, agensi kerajaan di bawah Jawatankuasa Bencana Alam Daerah, Pejabat Penghulu Mukim dan Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK).

Dalam pada itu, tekanan dan kesusahan mangsa yang ditempatkan di PPS Kampung Durian Sebatang, Kampung Bukit Pumpong dan Kampung Hulu Jelu sedikit terubat apabila mereka disantuni Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin pada 23 November 2020.

Ketika singgah di PPS di balai raya Kampung Durian Sebatang, Mukim Gali Satu, Shahiruddin yang diiringi Pengerusi JKKK, Mohamed Fuad Samsudin terus menyantuni serta beramah mesra dengan mangsa banjir kampung tersebut dan menyampaikan sumbangan barang makanan. 


Shahiruddin Ab. Moin (belakang, dua dari kiri) menyantuni mangsa banjir serta menyampaikan bantuan makanan di PPS Kampung Durian Sebatang, Raub pada 23 November 2020. - Kredit foto: FB Abdullah Zawawi Kamaludin


SHAHIRUDDIN AB. MOIN


"Kita berharap mereka (mangsa) bersabar dengan ujian Allah dan kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah sentiasa mengutamakan kebajikan makan minum, peralatan tidur, aspek keselamatan dan kesihatan semasa di pusat ini.

"Apapun, semasa tinggal di sini, kita perlu mematuhi amalan norma baharu dengan memakai mask, penjarakan sosial, etika kebersihan kerana kita masih dalam tempoh pemulihan pandemik COVID-19," katanya. 

Beliau juga melahirkan penghargaan terima kasih kepada semua petugas agensi kerajaan di bawah Jawatankuasa Bencana Alam Daerah, JKKK serta penduduk yang bertungkus lumus siang dan malam secara bergilir menguruskan pemindahan dan bantuan kebajikan kepada mangsa sejak ditempat di beberapa buah PPS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong.


Shahiruddin Ab. Moin (depan, tiga dari kiri) melawat kejadian tanah runtuh dan kerja gotong-royong yang dilakukan oleh penduduk di laluan masuk ke PPMS Hulu Lepar, Dong, Raub. - Kredit foto: Abdullah Zawawi Kamaludin.


Semasa program ziarah mangsa, Shahiruddin juga meninjau kejadian tanah runtuh akibat hakisan di jalan masuk ke Projek Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) di Hulu Lepar dan melihat kerja gotong-royong membersihkan laluan yang dilakukan oleh penduduk.


NORLIZA JUSOH


Sementara itu, mangsa banjir Kampung Hulu Lepar, Dong, Norliza Jusoh, 52, berkata, dia dan penduduk berdekatan Sungai Lepar kebiasaannya setiap akhir tahun dipindahkan ke PPS balai raya Kampung Durian Sebatang setelah banjir melanda.

"Tapi, semalam air sungai naik mendadak pada waktu malam dan kami segera diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa beruniform ke balai raya berdekatan.

"Saya cuma sempat membawa beberapa helai pakaian bersama anak-anak, manakala sijil peperiksaan, dokumen penting dan peralatan tidur basah ditenggelami air," katanya di PPS Kampung Durian Sebatang pada 23 November 2020. 

Bagaimanapun katanya, dia dan keluarga amat berterima kasih kepada semua petugas beruniform dan JKKK di PPS kerana memberikan layanan serta kemudahan yang selesa sambil berharap banjir segera pulih. 


Sijil peperiksaan, dokumen penting dan tilam yang tidak sempat diselamatkan oleh mangsa basah ditenggelami banjir di Kampung Hulu Lepar, Raub. - Kredit foto: Abdullah Zawawi Kamaludin


Kredit foto: FB Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri.


Dalam pada itu, laman sosial Facebook Agensi Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri yang memetik laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menyebut hujan lebat akan berterusan di negeri Pahang, iaitu di daerah Maram, Pekan, Kuantan dan Rompin.

Jabatan Meteorologi Malaysia memberikan maklumat kawasan bertanda kuning dalam peta Malaysia menunjukkan Amaran Cuaca Waspada berikutan hujan lebat dijangka berlaku sehingga Rabu, 25 November 2020. - KitaReporters

1
1
1
0
0
You will be interested