Insan & Komuniti 07 Oct, 2021

Sudah lama Ibu Khaty buat kerja amal! Kini ada Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan! Abon join sekali!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

Melakukan kerja-kerja amal bukanlah perkara baharu bagi Ibu Khaty.


SETIAP kali nama Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty diperkenalkan sebagai juri program Gegar Vaganza, beliau akan memberitahu si polan ini kirim salam kepada si polan itu. Nama-nama yang disebut oleh penyanyi lagu Ku Sangka Siang Kiranya Malam itu memang wujud kerana beliau sudah lama dalam bidang seni, pasti mengenali ramai orang.

Khaty atau selesa membahasakan diri sebagai Ibu bila berbicara, adalah seorang yang mudah didekati walaupun statusnya sebagai penyanyi tersohor. Sikap merendah dirinya itu jelas kelihatan bila beliau berkunjung ke tempat atau melawat mereka yang memerlukan bantuan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Khadijah Ibrahim

Ibu Khaty dan Akhmarulizam Ahmad yang aktif dalam Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan


Ibu Khaty, 62, tidak kekok untuk menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran baharu walaupun bersama dengan orang yang baru pertama kali dikenali. Sikap mudah mesra dan tenang menyantuni orang sekeliling sudah lama diamalkan oleh penyanyi tersebut.

Menurut Khaty, beliau sudah bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat kerana sering mengikut keluarganya melakukan kerja amal.

“Kerja-kerja amal ini bukan perkara baharu, Ibu sudah lakukan kerja-kerja membantu orang ini sejak 45 tahun lalu bersama Allahyarham abang, Latif Ibrahim serta kedua-dua ibu bapa. Cuma dulu, Ibu lebih senang melakukan kerja-kerja itu secara diam. Sekarang ini saja, kita terpaksa menguar-uarkan kepada orang ramai, bukan untuk mendapat nama tapi bagi mengelak prasangka buruk.

“Bila Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan ditubuhkan, Ibu cakap pada Nik, jangan bimbang kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu sesiapa saja yang memerlukan pertolongan, di mana saja mereka berada. 

"Ibu akan menghubungi sahabat  di Sabah, Sarawak atau rakan-rakan dalam bidang seni suara untuk membantu dan menderma sebanyak mungkin untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya yang ditemui pada Program Sumbangan Kasih Ehsan di Surau Ibadurrahman PPR Kampung Limau, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Memasak adalah kepakaran Ibu Khaty, sering menyumbang masakannya kepada petugas barisan hadapan.


Pada program tersebut, 20 orang ibu tunggal menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas, selain itu kediaman mereka juga turut disanitasi oleh pihak Coway

Selain menyumbang peti sejuk dan pasu bunga untuk kegunaan surau, Khaty turut menjamu para jemputan dengan masakan air tangannya. Malah Abon selaku pengacara majlis juga tidak mahu ketinggalan dalam bersedekah turut memberi roti buatan isterinya kepada penerima sumbangan.

Selaku penasihat untuk Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan, Khaty berkata, kerja-kerja amal mereka akan diteruskan ke merata tempat, selagai ada permintaan.

“Di masa akan datang, siapa saja yang perlukan pertolongan, tolong uar-uarkan apa yang kami lakukan di sini kerana kami bukan main-main tapi serius. Sekarang Abon kena ikut ke mana saya pergi. Dulu sama-sama turun Bagan Datoh, satu kegembiraan buat kami sebab dapat bantu orang.

“Insya-Allah bantuan tidak akan putus. Akhmar (Akhmarulizam Ahmad) selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan akan beritahu Ibu siapa yang perlu bantuan. Dia yang pergi cari siapa yang perlu bantuan dan kemudian bagi maklum balas kepada Ibu. Selain menghulur bantuan kepada asnaf, kita juga membantu OKU, ibu tunggal, anak-anak yatim dan sebagainya.


Khaty bersama Akhmar dan Abon sering bekerjasama dalam melakukan kerja-kerja kebajikan.


Kalau ada tempat yang memerlukan Ibu memasak, Ibu akan masak untuk beri mereka makan. Macam rumah anak yatim, bila bulan Ramadan, kita masak bubur lambuk dan bagi, hari raya pun macam tu. Dalam melakukan kerja-kerja kebajikan ini, biarlah orang yang kita bantu itu rasa puas dan selesa dengan bantuan yang kita sampaikan,” katanya yang tak pernah berkira tentang tenaga dan wang ringgit.

Jelas Khaty, beliau lebih selesa dapat turun padang bertemu dengan orang yang ingin dibantu daripada menyalurkan sumbangan wang menerusi akuan. Baginya cara itu boleh mengeratkan lagi ukhwah sesama insan

“Persatuan kita ada akaun dan semua teratur. Kalau ada orang nak menderma kepada Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan, boleh buat. 

"Selalunya Ibu lakukan secara individual dalam kalangan rakan-rakan rapat. Alhamdulillah setakat ini belum ada kawan-kawan yang menolak bila Ibu kata nak buat program kebajikan. Ibu tak pergi kepada korporat sebab terlalu ramai yang buat.

“Kita ni terlalu upclose and personal sebab kita pergi ke rumah orang yang menerima bantuan dan bercakap dengan mereka. Kita tak ada salurkan duit dalam akuan penerima. Ibu lebih selesa berjumpa secara bersemuka. Pada yang ingin sama-sama membantu Pertubuhan NIQ Ehsan melakukan misi kebajikan, silalah tampil. Jangan risau, pertubuhan ini berdaftar,” katanya yang merangka untuk menjayakan program Back to School juga bagi membantu keluarga kurang upaya menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka. - KitaReporters


Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan Malaysia turut menyumbang peti ais untuk kegunaan jemaah Surau Ibadurrahman di PPR Kampung Limau, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

16
16
0
16
0
You will be interested