Jacky Hunt-Broersma berjaya melakukan 92 larian maraton pada hari ke 92 misi 104 larian maraton dalam tempoh 104 hari. - Kredit foto: Runner's World.
Kekurangan fizikal tidak menghalang Jacky Hunt-Broersma untuk melakukan larian maraton di kawasan mencabar. - Kredit foto: Canadian Running Magazine.
SEORANG wanita yang kehilangan kaki kiri dari paras lutut ke bawah akibat kanser tulang sejak tahun 2002 tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai alasan untuk tidak melakukan sesuatu yang sukar dilakukan oleh insan normal dan usahanya itu menyaksikan namanya bakal tercatat sebagai pemegang rekod Guinness World Records (GWR) bagi katogeri larian maraton berturut-turut.
Pencapaian Jacky Hunt-Broersma, 46, yang berjaya melakukan 104 larian maraton dalam tempoh 104 hari secara berturut-turut dijangka memerlukan tempoh kira-kira tiga bulan dari tarikh dia melengkapkan larian pada 30 April 2022 lalu untuk disahkan dan diiktiraf oleh Guinness World Records.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan rekod dunia
Jacky yang merupakan kelahiran Afrika Selatan pernah dibesarkan di Kanada dan England memulakan misi larian maraton sejauh 42.164 kilometer yang biasanya memerlukan masa sekitar lima jam setiap hari selama lebih tiga bulan sejak pertengahan Januari 2022 lalu untuk melengkapkan sebanyak 104 larian maraton tersebut.
"Ia satu pengalaman yang hebat dan sebahagian daripada diri saya berasa gembira kerana berjaya melakukannya, namun sebahagian lagi fikiran saya mahu terus berlari.
"Saya amat bersyukur kerana larian ini memberi keyakinan untuk mengecapi semula kehidupan yang dibimbangi tidak mampu dinikmati semula sebelum ini dan saya juga mendapati tubuh badan saya semakin pulih selain merasakan lebih kuat berbanding apa yang dirasakan ketika melakukan misi 104 larian maraton ini," katanya dalam satu wawancara bersama The Associated Press (AP).
Dia yang disahkan oleh seorang doktor di Belanda pada tahun 2002 menghidapi penyakit 'Ewing sarcoma', iaitu sejenis kanser tulang yang jarang ditemui, mengakui berasa marah kerana menghidapi kanser serta malu dengan kekurangan yang dialaminya sewaktu usianya baru mencecah 26 tahun ketika itu.
Menurutnya, semua itu berlaku dengan begitu pantas dan bagi mengelakkan orang ramai mengetahui kecacatan yang dialami, dia terpaksa memakai seluar panjang selepas kehilangan kaki yang terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya hanya dua minggu selepas disahkan mengalami kanser.
"Hidup ibarat rollercoaster, semuanya berlaku dengan pantas. Untuk beberapa tahun saya mengalami masalah dengan perubahan fizikal yang dialami.
"Pada mula saya menjadi penyokong serta bersorak untuk suami saya yang menyertai pertandingan larian jarak jauh dan tidak pernah terfikir untuk membabitkan diri dalam acara tersebut kerana membayangkan ianya 'hanya untuk orang gila' ketika itu," katanya.
Namun menurutnya, segalanya berubah selepas dia membeli prostetik untuk pelari jarak jauh dan buat pertama kali pada tahun 2016 dia mendaftar untuk menyertai larian 10 kilometer sebelum bertukar kepada separuh maraton sejauh 21 kilometer dan seterusnya kepada maraton dengan jarak 42.164 kilometer selepas itu.
Bagi menjayakan misi larian maraton tersebut, Jacky terpaksa menempuh jarak larian sejauh 42.164 kilometer setiap hari sejak 17 Januari 2022 di laluan berdekatan rumahnya di Gilbert, Ariziona, Amerika Syarikat atau di atas treadmill di rumah.
Pada mulanya misi larian maraton tersebut hanyalah bertujuan untuk memecah rekod 95 larian maraton yang dicatatkan oleh Alyssa Amos Clark seorang pelari dari Bennington, Vermont, Amerika Syarikat pada tahun 2020.
"Tetapi pada bulan March 2022 cacatan Alyssa berjaya dipadam oleh seorang pelari Inggeris, Kate Jayden yang melakukan 101 larian dan situasi tersebut memaksa saya melakukan sekurang-kurangnya 102 larian sekiranya berhasrat mahu mengatasi cacatan Kate Jayden.
"Syukur saya berjaya melakukan 104 larian maraton dan berharap catatan ini akan disahkan dan mendapat pengiktirafan Guinness World Records.
"Saya berharap apa yang saya lakukan ini mampu memberi inspirasi kepada masyarakat di seluruh dunia untuk mereka mendorong diri sendiri terlepas daripada belenggu keterbatasan fizikal yang mereka alami," katanya. - KitaReporters
Jacky Hunt-Broersma terpaksa menempuhi halangan cuaca seperti panas terik ketika melakukan misi larian maratonnya. - Kredit foto: ESPN.