Insan & Komuniti 13 Jan, 2021

Video| Yang ditunggu tak tiba! Anak-anak, isteri ditunggu Yaman tak akan tiba selama-lamanya!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

“Kini harapanku impian... Ikatan cinta di khayalan... Apa daya ku terus merana... Kerana yang ditunggu tak tiba.”  (Yang Ditunggu Tak Tiba--Saloma). Betapa sedih dan pedih di hati apabila yang ditunggu-tunggu dengan penuh harapan tidak tiba pada waktu dijanji, malah tidak akan tiba untuk selama-lamanya. : KitaReporters


Bandar Udara (Bandara) atau Lapangan Terbang Pontianak, Kalimantan, Indonesia. - Kredit foto: airmagz.com


Lagi cerita-cerita menyayat hati berkaitan nahas udara

https://kitareporters.com/search?search=nahas+udara


Inilah pilu hati yang dirasai seorang suami dan bapa, Yaman Zai, apabila mendapat berita isteri serta tiga orang anaknya adalah antara korban pesawat Sriwijaya Air 182 yang terhempas di Kepulauan Seribu, Jakarta, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang (Bandara) Soekarno-Hatta, Jakarta ke Pontianak, Kalimantan.

Kerana sedih hati yang tidak dapat dibendung, Yaman menangis bagai tidak dapat dikawal ketika berada di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak, di mana isteri dana anak-anaknya dijadual sampai pukul 4.15 petang waktu Indonesia Barat pada hari kejadian, 9 Januari 2021.



YAMAN ZAI tidak dapat menahan kesedihan apabila mengetahui isteri dan tiga anaknya terkorban dalam kemalangan pesawat Sriwijaya 182, di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak. - Kredit foto: Agensi.



Memetik laporan Kompas.comYaman yang berasal dari Pulau Nias, sebuah pulau di pantai barat Sumatera, menetap di Pontianak sejak setahun lalu atas urusan kerja dan dalam tempoh itu belum berkesempatan pulang bertemu keluarga.

Untuk menghilangkan rindu, dia meminta isteri dan anak-anaknya, termasuk yang baharu dilahirkan yang belum ditatapnya, datang ke Pontianak sambil makan angin.

Isteri dan anak-anaknya mengambil penerbangan Sriwijaya Air 182 (SJ182), yang berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada pukul 2.36 petang waktu Indonesia Barat.  

Namun takdir Allah menentukan mereka tidak dapat bertemu dengan Yaman kerana satu nahas udara melibatkan pesawat malang itu.

Penerbangan Jakarta-Pontianak biasanya mengambil masa lebih kurang 90 minit. Pesawat tersebut dijadual mendarat di Lapangan Terbang Pontianak pada pukul 4.15 minit waktu Indonesia Barat.

Namun pesawat tersebut tidak sampai ke destinasi. Begitulah juga penantian Yaman yang tidak berpenghujung. 


KAPTEN Afwan, juruterbang pesawat malang Sriwijaya Air 182 (SJ182) yang terhempas di Kepulauan Seribu, Jakarta pada 9 Januari.-Kredit Merdeka.com


Pada pukul 2.40 petang 9 Januari 2021, empat minit selepas berlepas, pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan.

Dilaporkan tidak ada panggilan kecemasan daripada kru pesawat, atau juruterbang, Kapten Afwan, sebelum terempas. 

Menurut data penerbangan, pesawat itu berada pada ketinggian 11,000 kaki atau 3,350 meter sebelum menurun kepada 250 kaki (76.2 meter) dan terputus hubungan.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) serta tentera Indonesia.

Pesawat Boeing 737-500 malang itu membawa 68 anak kapal serta penumpang, terhempas di sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang, di perairan Pulau Seribu, Jakarta.


PASUKAN mencari dan menyelamat daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) menunjukkan cebisan pesawat yang ditemui. - Kredit foto: Basarnas.


Yaman memberitahu, kali terkahir dia berhubung dengan isterinya ialah pada pukul 1.30 petang waktu Indonesia Barat. Ketika itu isterinya sudah berada di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, sedia untuk berlepas. 

Kerana jarak waktu penerbangan tidak lama, dia kemudian bergerak menujuk ke Lapangan Terbang Supadio untuk menunggu dan menyambut anak isterinya.

Sampai di lapangan terbang dia mendapat berita pesawat dinaiki isteri dan anak-anaknya putus hubungan dengan menara kawalan. Yaman kemudian berusaha menghubungi isterinya tetapi telefonnya tidak aktif, sehinggalah dia mendapat berita pesawat yang dinaiki anak-anak dan isterinya disahkan terhempas.

Betapa sedihnya hati Yaman kerana bukan sahaja tidak dapat berjumpa anak-anak dan isteri tetapi tidak dapat menatap jasad mereka untuk kali terakhir. Yang ditemui hanyalah cebisan jasad yang sukar dikenali. 

Semoga Allah memberi kesabaran dan mencucuri rahmat ke atas roh aruah isteri dan anak-anaknya. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested