Insan & Komuniti 18 Feb, 2021

Kisah inspirasi! 1 hari jadi pilot kapal terbang! 6 hari pilot lori! Usah duduk bersedih lagi

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this

Kredit foto: Rohanis Shukri


TIDAK pernah membayangkan dirinya akan mengalami kemerosotan gaji sehingga 80 peratus, seorang juruterbang pesawat komersial tetap berjuang demi sesuap nasi.

"Sejak penularan Covid-19, gaji harian diterima berkurang hingga 80 peratus kerana syarikat penerbangan terjejas teruk," kata Kapten Izzat Hakimi Izham Nawi yang berusia 30 tahun baru-baru ini.

Walaupun masih bergelar juruterbang pesawat, namun beliau terpaksa mencari pekerjaan sampingan bagi menampung kehilangan lagi 80 peratus pendapatan asalnya itu ketika dunia sedang berhadapan pandemik Covid-19 ini.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan juruterbang:

https://kitareporters.com/search?search=juruterbang



Justeru, beliau memanfaatkan enam hari untuk bertugas sebagai 'pilot' lori membawa muatan perabot ke seluruh Semenanjung Malaysia, manakala sehari dalam seminggu pula beliau menerbangkan pesawat komersial seperti biasa.

Situasi begini dihadapi Izzat Hakimi sejak Mac 2020 lalu apabila pendapatannya sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan tempatan berkurang dengan cukup besar akibat pandemik Covid-19.

“Sebelum menjadi pilot lori, seminggu saya ‘terduduk’ dan bersedih di atas apa yang berlaku. Saya kemudiannya bangkit kerana mahu mengubah nasib diri,”  katanya ketika dihubungi pihak media.


Lori tiga tan yang digunakan untuk penghantaran perabot. - Kredit foto: Rohanis Shukri


Sebelum bergelar 'pilot' lori selama enam hari seminggu, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini pernah mencuba-cuba untuk menjadi 'rider' penghantar makanan.

Walau bagaimanapun, beliau terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti seminggu kemudian kerana berasakan ia tidak serasi dengan jiwanya.

Katanya, sepanjang bertugas sebagai penghantar makanan, berlaku tiga kes kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan penghantar makanan menyebabkan dia turut bimbang.

“Saya beralih arah menjadi penghantar perabot dan pada peringkat awal, saya menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Saya melakukan pekerjaan ini secara bersendirian namun ada ketikanya, terpaksa meminta bantuan pelanggan jika perlu mengangkat perabot bersaiz besar. 

“Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah berbuka puasa di jalan raya sepanjang Ramadan lalu dan bekerja sehingga jam 4 pagi pada malam Aidilfitri,” katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor. 


Izzat Hakimi (kiri) dibantu oleh rakannya yang juga merupakan juruterbang menyusun perabot pelanggan sebelum membuat penghantaran. - Kredit foto: Rohanis Shukri


Walaupun ketika permulaan beliau menceburi bidang ini, perkhidmatannya kurang mendapat sambutan, namun hampir setahun ini ia sudah mula menampakkan hasil yang baik buat Kapten Izzat Hakimi sekeluarga.

Ia sekali gus memaksa beliau mengembangkan perniagaan itu dengan membeli sebuah lori tiga tan.

“Ini membolehkan saya menghantar barangan dalam kuantiti lebih banyak, malah tidak menang tangan menguruskannya.

“Kini saya dibantu lima rakan yang ada di antaranya masih bertugas sebagai juruterbang selain ada yang diberhentikan sebagai rakan kongsi perniagaan,” katanya.

Mengakui upah yang diterima ketika menjadi 'pilot' penghantar perabot ini tidak setanding dengan kerjaya asal beliau, namun sedikit sebanyak ia mampu memberi nafkah terhadap keluarganya sendiri serta mampu membantu rakan-rakannya yang hilang pekerjaan.



“Walaupun upah atau gaji yang dibayar mungkin tidak sama sebagai juruterbang namun ia cukup untuk membeli barangan keperluan harian untuk anak serta keluarga,” katanya yang turut dibantu abangnya dalam pembelian lori berkenaan.

“Saya tidak pernah malu menjadi pemandu lori yang memakai baju-T sebagai uniform rasmi harian. Saya juga tidak kekok dengan pekerjaan ini. Ada pelanggan mengetahui latar belakang saya sebagai juruterbang dan mereka gembira dengan usaha ini,” katanya.

Menurut Izzat Hakimi, dia tetap akan meneruskan perniagaan berkenaan jika sektor penerbangan negara kembali pulih, malah bertekad mahu jenama Pok Jak Transporter & Services terus berkembang. - KitaReporters


2
3
0
1
0
You will be interested