Insan & Komuniti 23 Feb, 2020

KALAU KE BESUT CARI 'RATU SAMPAH" AZMAIZAN

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this
JIKA anda berkunjung ke Bukit Keluang atau Gunung Tebu, Besut dan ternampak kelibat seorang wanita muda bersama beberapa rakan mengutip sampah sambil mengisi ke dalam supit hitam jangan menganggap dia wanita tidak siuman. : KitaReporters.com

Aksi Azmaizan (dua dari kiri ) bersama Geng Supit Hitam di puncak Gunung Tebu, Besut, Terengganu.


Sebaliknya, penampilan seorang ibu muda muncul dalam khalayak ramai dengan membawa supit hitam sambil mengutip sampah yang ditinggalkan orang ramai terutama pelancongan yang beriadah di kawasan pusat rekreasi sekitar daerah Besut, Terengganu menarik perhatian pengunjung.

Tidak ramai wanita sanggup melakukan kerja mengutip sampah secara sukarela malah terpaksa bekorban masa meninggalkan anak dan keluarga pada setiap hujung minggu semata-mata kerana minat dan cintakan kebersihan alam sekitar.

Azmaizan Arshad, 34, dari Kampung Pak Damalik, Alur Lintah, Jertih, Terengganu, menjadikan hujung minggu atau cuti umumsebagai rutin kehidupan berada di lokasi pusat pelancongan sekitar daerah Besut untuk beramal dengan mengutip sampah yang dibuang merata tempat oleh pelancong.

Orang ramai mungkin menganggap itu kerja gila dan sia-sia, tetapi bagi Azmaizan atau lebih dikenali dengan panggilan “Ije” dia sanggup melakukan kerja seumpama itu kerana ia sebahagian aktiviti sosial.

Bagaimanapun, Ije tidak keseorangan melakukan aktiviti amal itu sebaliknya, dia bersama 10 wanita dan remaja lain menyertai aktiviti mengutip sampah dengan ahli kumpulan dikenali “Geng Supit Hitam”.

Geng Supit Hitam ditubuhkan pada 2016 di mana beliau sebagai pengasas kini mempunyai 30 ahli mewakili remaja lelaki dan perempuan yang menjalankan aktiviti mengutip sampah di pusat pelancongan sekitar daerah Besut dan Setiu.

Katanya, kumpulan itu sering menjalankan aktiviti di pusat pelancongan Bukit Keluang, Pulau Rhu dan Gunung Tebu di Besut dan Gunung Sarut di Setiu yang sering menjadi tumpuan pelancongan dari dalam dan luar negeri terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Aksi Azmaizan bersama supit hitam di puncak Bukit Keluang, Besut 


“Saya tidak malu melakukan kerja mengutip sampah, sebaliknya menganggap ia satu tanggungjawab sosial,” katanya.

Malah, ibu muda kepada tiga anak itu tidak malu apabila orang ramai menyebutnya wanita sampah ketika berhadapan dengan khalayak di lokasi pelancongan.

Beliau berkata, walaupun ada 10 wanita menyertai kumpulan itu, tetapi hanya beliau yang paling aktif turun padang bersama rakan lain sama ada mendaki gunung, bukit dan meredah laut untuk menjalankan aktiviti amal berkenaan.

“Saya gembira kerana suami amat memahamai kegemaran ini dan memberi semangat untuk meneruskan kerja sukarela itu bersama ahli kumpulan lain,” katanya.

Azmaizan selepas menjalankan aktiviti mengutip sampah


Ije memberi pos istimewa ketika berada di puncak Bukit Keluang, Besut


Ije berkata, kumpulan Geng Supit Hitam yang dianggotainya kini dikenali ramai kerana khidmat sosial yang sering dilakukan dan pernah mendapat pengiktirafan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu 

Katanya, untuk menjadi ahli kumpulan peserta mestilah mempunyai semangat kental, sanggup menghadapi pelbagai cabaran termasuk mendaki bukit, gunung dan meredah laut selain sedia menjalankan khidmat sukarela.

“Kami melakukan kerja secara sukarela tanpa mendapat imbuhan daripada sesiapa, tetapi jika ada pihak yang bermurah hati ingin membantu menyediakan supit hitam, adalah dialu-alukan,” katanya. - KitaReporters.com

295
32
12
15
10
You will be interested