MUNGKIN kita tidak dapat jangkakan pada usia 9 tahun mampu meraih kekayaan mencecah jutaan Ringgit Malaysia. Namun dengan adanya revolusi zaman sehingga penggunaan media sosial menjadi sebuah tempat 'lubuk rezeki', maka tidak mustahil kanak-kanak juga mampu memperoleh pendapatan mencecah tujuh angka. : KitaReporters
Lagi kisah-kisah berkaitan Youtuber:
https://kitareporters.com/search?search=youtuber
Ia telah mula berlaku ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun yang telah muncul sebagai salah seorang dalam senarai bintang yang memiliki pendapatan tertinggi dalam aplikasi Youtube untuk tahun 2020 ini.
Menurut senarai yang disiarkan oleh media Forbes, Ryan Kaji yang berasal dari Texas, Amerika Syarikat telah berjaya memperoleh AS$29.5 juta bersamaan RM119 juta melalui Youtube. Kanak-kanak berusia 9 tahun tersebut telah berjaya mengumpul sekitar 41.7 juta pengikut dalam saluran YouTube miliknya bernama 'Ryan's World'.
"Dia terkenal dengan video-video 'unboxing' barangan yang baru dibelinya, di mana dia mengeluarkan mainan dari bungkusannya dan menyemak keadaan barang berkenaan sambil melakukan rakaman video. Kanak-kanak itu sekarang mempunyai pelbagai jenis barang berjenama - mainan, pansel, berus gigi, dan lain-lain yang dibelinya melalui beberapa jenama ternama seperti Target, Amazon dan Walmart dengan kos perbelanjaan yang dilakukannya mencecah $ 200 juta pada tahun lalu. Ini termasuklah permainan siri Nickelodeon yang disebut Ryan's Mystery Playdate," lapor Forbes.
Saluran YouTube milik Ryan telah berjaya memperoleh 12.2 bilion tontonan (setakat laporan Forbes), dan saluran Youtube berkenaan cukup terkenal bagi mereka yang ingin menyaksikan pelbagai jenis video mainan dan permainan, proses 'unboxing' kotak permainan dan beberapa permainan berbentuk cabaran.
Menurut Hindustan Times, ini bukan kali pertama Ryan mendahului senarai bintang dengan bayaran tertinggi YouTube, sebaliknya Ryan yang mula membuat video pada tahun 2015 juga mendahului senarai berkenaan pada tahun 2018 dan 2019 yang lepas.
Salah satu video Ryan yang paling banyak ditonton di Youtube adalah seperti "Huge Eggs Surprise Toy Challenge". Video ini juga telah mencatatkan sejarah apabila menjadi antara 60 video teratas yang paling banyak ditonton dalam laman web dan telah ditonton lebih daripada 2 bilion kali.
Sebuah laporan oleh Times Now mengatakan bahawa Ryan telah menandatangani perjanjian untuk rancangan bersiri di Nickelodeon TV yang dianggarkan bernilai jutaan dolar.
Bukan hanya Ryan, ibu bapanya juga Youtuber yang aktif di laman media sosial berkenaan. Mereka bersama-sama mempunyai sembilan saluran yang berbeza di platform di mana masing-masing mempunyai sebilangan besar pelanggan dan banyak tontonan. - KitaReporters
Kredit foto: Yahoo.com