Insan & Komuniti 15 Jun, 2020

Sadis dan tragis! Lelaki psikopat rogol, bunuh wanita jelita

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

MASIHKAH ada yang mengingati kes rogol dan pembunuhan Canny Ong Lay Kian, 27, oleh Ahmad Najib Aris, 27, pada 14 Jun 2003, kira-kira 17 tahun yang lalu? Sebenarnya, Ahmad Najib mungkin merupakan contoh klasik siapa itu psikopat atau individu yang mengalami gangguan keperibadian antisosial yang serius. : KitaReporters


Umum mungkin jarang sekali atau tidak pernah mendengar perkataan “psikopat”.

Apa itu “psikopat”? Adakah ia seorang yang mengalami ganguan mental (mental disorder) seperti skizofrenia, psikosis, bipolar atau gila?

Sebelum kita melihat contoh beberapa kes “psikopat” yang pernah berlaku di Malaysia adalah lebih penting kita mengenali siapa mereka ini.

Menurut Dr Robert Hare dalam bukunya Without Conscience: the Disturbing World of the Psychopats Among Us, mengungkapkan empat ciri karakter psikopat, iaitu:

1. antisosial (antisocial), 

2. peribadi yang sulit atau sukar diduga (borderline), 

3. pandai bersandiwara (histrionic) dan 

4. luar biasa egois (narcisstic).

Psikopat berasal dari perkataan psyche yang bererti jiwa dan rasa kesedihan yang membawa penyakit.

Penghidapnya juga disebut sebagai “sosiopat“ atau “orang gila tanpa gangguan mental“ kerana perilakunya yang antisosial dan merugikan orang-orang terdekatnya.

Menurut kajian terdapat satu peratus dari jumlah penduduk dunia menghidap gejala psikopatik ini. 

Penghidap ini sukar dikesan kerana mereka berada dalam kalangan kita sama ada di pejabat, pusat sukan dan rekreasi, pusat hiburan karaoke, atau bersama-sama dengan sahabat-sahabat, rakan-rakan, jiran tetangga, malah ahli keluarga seperti suami atau pasangan mereka.

Pakar-pakar perubatan dan ahli psikologis pula mentakrifkan ”psikopat” adalah individu mengalami gangguan keperibadian antisosial yang serius. 

“Psikopat” adalah individu menggunakan keperibadian palsu dan mengelirukan untuk berinteraksi dengan orang lain. 

Mereka kerap digambarkan sebagai pembunuh, perogol, pendera atau karakter jahat yang gemar menyeksa orang yang tak bersalah.

Mereka (psikopat) kelihatan normal dan seorang manipulatif serta bijak mendapatkan kepercayaan atau memperdayakan orang lain.

“Psikopat” lazimnya berpendidikan dan memiliki pekerjaan yang tetap serta mempunyai keluarga dan anak.

Inilah kenapa banyak orang yang tidak menyedari penderita “psikopat” sering menyembunyikannya dengan baik.

Penyakit mereka sukar dirawat atau dipulih buat masa ini.


Penulis ingin mengimbau kembali kisah lelaki “psikopat” bernama Ahmad Najib Aris, 27 tahun yang telah merogol gadis jelita bernama Canny Ong Lay Kian, 27 tahun dan membunuhnya pada 14 Jun 2003 antara jam 1 hingga 5 pagi berdekatan Taman Medan di KM11 Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.


Kisah malang ini bermula jam antara 9.45 hingga 10 malam pada 13 Jun 2003 apabila usai majlis makan malam keluarga Canny bersama sahabat-sahabat dan rakan-rakannya di sebuah restoran Monde di Kompleks Beli Belah Bangsar (BSC), Kuala Lumpur.

Ketika mangsa (Canny) dikatakan turun ke ruang parkir bawah tanah (basement) BSC untuk mengambil tiket parkir yang ditinggalkan di dalam kereta.

Sebelum itu, ibu (Pearly Visvanathan Ong) dan adikna (Elsie Ong) sedang menunggu di mesin pembayaran automatik.

Dua puluh minit berlalu, Canny masih tidak muncul dan menyebabkan ibu dan adiknya telah mengesyaki sesuatu telah berlaku.

Dengan perasaan yang tidak tenteram dan selesa, mereka berdua telah turun ke ruang parkir basement di mana kereta Canny diletakkan.

Namun, mereka tidak menjumpainya; dan dengan pantas mereka bergegas berlari mendapatkan Pengawal Keselamatan dan meminta untuk melihat rakaman kamera  litar tertutup (CCTV).

Hasil rakaman CCTV, jelas kelihatan seorang lelaki telah menculik Canny dengan memecutkan kereta proton Tiara warna ungu (plat WFN 6871) milik mangsa dengan melanggar palang penghadang  parkir menuju keluar meninggalkan kompleks tersebut.

Laporan polis telah dibuat oleh Pearly Visvanathan Ong (ibu mangsa) setengah jam kemudian di Balai Polis Brickfield, Kuala Lumpur.

Suspek dikenali identitinya sebagai Ahmad Najib Aris, sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak. 

Dia bekerja sebagai pencuci kabin kapal terbang dan berasal dari Perak dan menetap di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Kenderaan proton Tiara (plat WFN 6871) milik mangsa dirogol dan dibunuh oleh suspek.


Kronologi :

  1. Pada 14 Jun, jam 12.00 malam, dua anggota polis meronda bermotosikal telah menjumpai sebuah kereta Proton Tiara berhenti di tepi jalan berhampiran Kelana Jaya. Suspek dan mangsa (Canny) sedang berada di dalam kereta. Kedua-dua mereka telah diminta oleh pihak polis memberikan kad pengenalan untuk pemeriksaan dan pengecaman sebagai rutin harian tugasan anggota polis. Pada mulanya pihak polis menyangka mereka berdua-duan sedang berasmara.
  2. Dua anggota polis (tidak berpakaian seragam polis) mendapati Canny tunduk mendiamkan diri ketika menyerahkan kad pengenalan. Mangsa ada memberi dua isyarat tangan kepada polis tetapi tidak difahami.
  3. Suspek terus memecutkan kenderaan tanpa mengambil kembali kad pengenalan mereka kerana bimbang akan ditahan polis. Pihak polis telah melepaskan tembakan di tayar hadapan kereta ketika cuba melarikan diri.
  4. Sekali lagi suspek memberhentikan kereta dan cuba menukar tayar yang telah bocor akibat ditembak polis tetapi gagal. 
  5. Kemudian seorang wanita yang dikenali sebagai Aminah sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberhentikan keretanya di tepi jalan di hadapan bangunan Bali di Jalan Sungai Way,Petaling Jaya. Beliau melihat ada sebuah kereta berada kira-kira 20 kaki daripada kenderaannya.
  6. Pemandu (suspek) kemudiannya keluar dari kereta dan menghampiri Aminah untuk meminjam car jack. Ketika itu, Aminah sempat melihat ke arah kereta yang dipandu suspek. Dia ternampak seorang wanita Cina (Canny) dengan wajah dalam ketakutan. Canny sempat melambai ke arahnya seolah-olah meminta tolong. Sebaik sahaja suspek selesai menukar tayar dia terus memandu dan beredar dari lokasi tersebut.
  7. Canny Ong kemudiannya telah dirogol di dalam kereta di bawah jejantas dalam pembinaan berhampiran Taman Datuk Harun di Jalan Kelang Lama antara jam 1.00 - 5.00 pagi. (14 Jun 2003)
  8. Mangsa selanjutnya telah dibunuh dengan dua tikaman pisau. Tubuh Canny telah dihenyak ke dalam lubang sempit di tepi lebuh raya dan ditindih dengan dua tayar besar berisi simen.
  9. Pada 15 Jun 2003, suspek telah membeli dua botol petrol di sebuah stesen minyak Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Dia kembali semula ke lubang itu dan menjirus petrol tersebut dan membakar mayat mangsa sehingga rentung.
  10. Pada 17 Jun 2003, pengurus tapak binaan lebuh raya Projek Lebuh Raya Pantai Baru (NPE), Petaling Jaya menemukan mayat rentung hangus dan membuat laporan polis.
  11. Pada 20 Jun 2003, pihak polis telah membuat serbuan di rumah suspek di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Beberapa bahan bukti seperti baju dan seluar telah diambil.

Ahmad Najib Aris dibawa ke lokasi pembunuhan mendiang Canny Ong oleh pihak polis bagi melengkapkan kes siasatan dan pendakwaan sebelum dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.


Apa yang sangat mengejutkan dan menyedihkan ialah hasil siasatan pihak polis mendapati pembunuhan ini tidak dirancang dan tindakan suspek adalah spontan. 

Dalam erti kata lain, suspek melakukan jenayah rogol dan bunuh ke atas Canny hanya sekadar ‘suka-suka’ dan tiada motif.

Suspek tidak menunjukkan rasa bersalah, takut, sedih dan sebagainya.

Sebaliknya perwatakan suspek agak selamba, berani, di luar jangkaan dan sukar dipercayai.

Malah ketika beliau (suspek) dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 25 Februari 2005 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam; keadaannya seperti orang yang tidak terkesan dengan keputusan itu.


Menurut ketua peguam bela beliau, Hanif Khatri Abdulla, ”anak guamnya tidak akan membuat pengakuan bersumpah dan mengambil sikap berdiam diri di kamar tertuduh”.

Kisah pembunuhan ini berjalan selama tiga belas tahun serta mendapat liputan luas sama ada media dalam dan juga luar negara.

Pada 23 September 2016, riwayat Ahmad Najib Aris telah tamat di tali gantung pada jam 6 pagi selepas subuh pada hari Jumaat.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar tentang individu yang menghidap penyakit “psikopatik” dan awasilah orang-orang yang mencurigakan di sekeliling anda agar kisah sadis dan tragis ini tidak berulang lagi. - KitaReporters


Sumber:

https://hellosehat.com/hidup-sehat/psikologi/panduan-mengenal-ciri-ciri-psikopat/

https://indonesiaindonesia.com/f/34540-9-tanda-pria-psikopat/

https://ms.wikipedia.org/wiki/Psikopat

https://iamlejen.com/malam-indah-bertukar-menjadi-episod-tragis-ini-kisah-canny-ong-yang-dirogol-dan-dibakar-hingga-rentung/#.XuOhUkUzaM8

2
0
12
1
0
You will be interested