Insan & Komuniti 24 Jul, 2021

Latifah Sidek, srikandi badminton tak didendang! Kehilangannya sukar diganti! Takziah Misbun!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


Pemergian ke rahmatullah Datin Latifah Sidek pada Jumaat, 23 Julai, 2021, sudah pasti meninggalkan kesan mendalam kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek kerana bukan sahaja beliau kehilangan isteri sebaliknya turut kehilangan sumber inspirasi serta pendorong utamanya sebagai jurulatih.

Menurut laporan media, Latifah disahkan dijangkiti COVID-19 dan dimasukkan ke hospital kira-kira dua minggu lalu. Allahyarham kemudian meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada Jumaat, 23 Julai 2021. 

Pengorbanan Allahyarham Latifah terhadap kerjaya Misbun sangat besar. Beliau sanggup mengetepikan soal kesihatannya demi memastikan Misbun dapat menjalankan tanggungjawabnya kepada negara.

Walaupun sebagai isteri, sudah pasti beliau mendambakan perhatian penuh suami pada ketika berjuang melawan penyakit buah pinggang yang dihidapi sejak 2008 namun Latifah tidak pernah mengeluh apabila masa Misbun lebih banyak di gelanggang badminton berbanding di sisinya.

Malah, kadangkala mereka terpaksa berpisah dalam jangka waktu yang lama apabila Misbun mengiringi pemain kendaliannya ke pertandingan antarabangsa di luar negara.

Begitu pun Latifah amat memahami kerana bagi beliau amanah negara yang diletakkan ke atas Misbun lebih perlu diutamakan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan badminton

Walaupun tidak sihat namun Allahyarham Latifah sentiasa menjadi pendorong 

utama Misbun. - Kredit foto: Media sosial.


Ia adalah perlawanan yang getir dan penting bagi Chong Wei. Menjelang perlawanan separuh akhir itu, Misbun mendapat berita isterinya dimasukkan ke hospital.


Dalam satu laporan akhbar, Misbun pernah menceritakan isterinya selalu berkata,"Itukan kerja papa (melatih pemain), jalankanlah tanggungjawab itu."

Kata-kata inilah yang menjadi ‘tangkal semangat’ kepada Misbun walaupun mengakui beliau sentiasa risau dengan situasi isterinya dan jauh di sudut hatinya mahu sentiasa berada di sisi Latifah.

Seorang wartawan, Norbakti Alias yang membuat liputan Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China mengimbas pengalamannya melihat bagaimana Misbun berdepan dengan satu situasi sangat mencabar pada ketika anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei bakal berdepan jaguh Korea Selatan, Lee Hyun-il pada aksi separuh akhir sukan berkenaan.

“Ia adalah perlawanan yang getir dan penting bagi Chong Wei. Sebagai jurulatih, Misbun juga berdepan tugas berat untuk memastikan anak didiknya itu layak ke final buat pertama kali, apatah lagi harapan tinggi yang disandarkan negara kepada pemain itu.

“Namun, menjelang perlawanan separuh akhir itu, Misbun mendapat berita isterinya dimasukkan ke hospital kerana Latifah yang menghadapi masalah buah pinggang berdepan pula tekanan darah tinggi.

“Walaupun risau dengan keadaan isterinya, Misbun tetap meneruskan tugasnya sehingga Chong Wei mampu membawa pulang pingat perak dari Sukan Olimpik itu,” ujar Norbakti.


Misbun adalah jurulatih yang bertanggungjawab mendidik Chong Wei sehingga muncul sebagai pemain nombor satu dunia. - Kredit foto: Media sosial.


Sebagai wartawan yang mempunyai hubungan akrab dengan Misbun, Norbakti sempat menyelami perasaan jurulatih itu berdepan situasi berkenaan sebagaimana ditulis dan disiarkan dalam akhbar Berita Harian, sehari selepas kejayaan Chong Wei ke final Olimpik 2008.

Kita imbas kembali tulisan itu sebagaimana diluahkan Misbun kepada Norbakti:

“Saya anggap diri ini sudah melalui dugaan maksimum dalam Sukan Olimpik. Jika pada 1996, anak perempuan saya terkorban dalam kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum saya berangkat ke Atlanta, kali ini keadaan isteri saya (Latifah Sidek) yang kurang sihat akibat masalah buah pinggang tetap bermain di fikiran.

“Dia (Latifah) baru dimasukkan ke hospital akibat tekanan darah tinggi awal pagi Jumaat lalu dan saya tidak memberitahunya kepada sesiapa. Siapa yang tidak bimbang apa lagi dialah yang menjaga makan minum saya dan tempat saya meluahkan perasaan. 

 ”Tiada siapa yang tahu perasaan dalam hati saya ketika ini. Malah, apabila mengenangkan semua ini, ia boleh membuatkan saya menangis. Ini adalah ujian besar yang memerlukan saya membuat pengorbanan besar. 

 “Syukurlah isteri saya memahami tanggungjawab saya selama ini, biarpun jauh di sudut hati, saya mahu berada di sisinya dalam keadaan seperti ini.


Misbun dan Latifah meraikan ulang tahun mereka yang ke-34, baru-baru ini. - Kredit foto: Nusa Mahsuri


Kejayaan Chong Wei adalah satu kegembiraan buat saya biarpun di dalam hati, Allah sahaja yang tahu perasaan sebenar saya setiap kali fikiran melayang kembali kepada isteri saya"

“Sebab itu, setiap kali bila saya berada di Kuala Lumpur, saya pastikan dapat menghantarnya menjalani rawatan dialisis untuk mencuci buah pinggangnya walau sesibuk mana sekali pun saya mengendalikan latihan.

“Namun isteri saya selalu berkata,'Itukan kerja papa (melatih pemain), jalankanlah tanggungjawab itu.' Tapi, biarlah saya korbankan juga sedikit masa untuk dirinya kerana dia sudah terlalu banyak berkorban untuk diri saya seperti sekarang apabila terpaksa bersendirian di hospital tanpa saya. 

 “Mujur Chong Wei juga memahami situasi saya dan ada kalanya meminta saya menguruskan 'auntie' terlebih dulu sebelum melatihnya. Sikap memahami yang ada pada isteri dan Chong Wei sering membuatkan saya rasa terharu. 

 “Ia sememangnya memberikan kesan yang mendalam buat saya kerana ada masanya tumpuan agak berbelah bagi. Tapi, saya tidak boleh tunjukkan kepada Chong Wei kedukaan saya kerana ini boleh memberi kesan kepada persiapannya.

“Untuk berjaya, kita perlu ada fokus kepada apa yang mahu kita lakukan dan itulah juga yang saya terapkan kepada Chong Wei.

“Saya sekarang berada di Beijing dan fokus utama pastinya kepada persiapan Chong Wei agar mampu memenuhi impian awal saya yang tidak tercapai sebagai pemain iaitu menjadi pemain nombor satu dunia (ketika itu badminton tidak dipertandingkan di Olimpik).

“Kejayaan Chong Wei adalah satu kegembiraan buat saya biarpun di dalam hati, Allah sahaja yang tahu perasaan sebenar saya setiap kali fikiran melayang kembali kepada isteri saya,” luah Misbun sebagaimana dilaporkan oleh Norbakti.


Keakraban Misbun dan Chong Wei ibarat satu keluarga.


Misbun dan Latifah mendirikan rumah tangga pada 1987, dikurnikan enam cahaya mata, Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita dan Misbun Awalauddin.

Kini, isteri serta pendorong kepada Pengarah Teknikal Skuad Remaja negara itu sudah berangkat ke alam abadi, satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tapi juga kepada badminton negara.

Allahyarham bolehlah dianggap sebagai srikandi yang tidak didendang namun tiada siapa boleh menafikan peranannya melalui pengorbanan yang dilakukan. 

Al-Fatihah. - KitaReporters.


Norbakti, antara wartawan yang akrab dengan Misbun.

3
0
3
0
0
You will be interested