NAMA Sugu Pavithra tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejak lebih sebulan lalu, nama wanita yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu ini cukup mesra pada bibir ramai termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terutama bagi penonton laman sesawang video YouTube. : KitaReporters
Kesederhanaan S Pavithra, 28, memasak dengan dibantu oleh suami, M. Sugu, 29, berjaya menarik minat ramai, tambahan lagi menu yang disediakan itu adalah masakan harian yang biasa dihidangkan.
Tidak mahu ketinggalan untuk turut merasai bahang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berbaki sehari dua sahaja lagi, Pavithra merancang untuk memasak menu istimewa iaitu rendang ayam kampung.
Mengakui tidak pernah memasak hidangan tersebut, Pavithra memberitahu telah belajar cara-cara memasak makanan itu daripada seorang rakannya yang berbangsa Melayu.
"Raya kedua nanti saya mahu masak rendang ayam kampung. Ini kali pertama saya nak masak rendang.
"Saya belajar cara memasak dengan rakan dan resepinya pun sudah ada.
"Saya juga mahu buat nasi impit dan kuah kacang untuk raya nanti. Saya rasa itu menu yang semua (orang Melayu) akan buat semasa hari raya.
"Saya akan videokan untuk semua penonton (YouTube) Melayu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sebuah ladang di Sungai Siput, Perak baru-baru ini.
Pavithra bersama nota kiriman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diterimanya baru-baru ini.
Menurut ibu kepada dua anak itu, dia dan suami merancang untuk menjamu hidangan yang dimasaknya itu kepada rakan-rakan, namun terpaksa akur dengan keadaan negara yang sedang memerangi wabak Covid-19.
"Kita sekarang masih dalam PKP, jadi tidak boleh panggil rakan-rakan (ke rumah).
"Kami ada rancang untuk buat jamuan tapi kita tunggu keadaan reda dahululah," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai keadaan dirinya yang semakin dikenali, Pavithra berkata, keadaan itu agak kekok baginya dan suami, namun lama-kelamaan ia menjadi biasa dan menyeronokkan.
Katanya, dia tidak pernah berasa terganggu dengan perhatian luar biasa yang diberikan, meskipun keadaan itu adalah pertama kali bagi mereka sekeluarga.
"Sebelum dikenali, rutin harian kami macam orang biasa, pergi kerja dan balik duduk di rumah. Macam itulah setiap hari.
"Namun selepas dikenali, saya rasa dapat layanan istimewa apabila ada yang mahu bergambar sama dan mereka juga beritahu bangga dengan saya.
"Kadang-kadang rasa berdebar dan tidak selesa bila nak ditemu ramah sebab pertama kali, tapi sekarang ini saya sudah biasa.
"Memang seronok dan gembira," ujarnya.
Pasangan suami isteri yang mula bergelar YouTuber sejak 28 Januari 2020 itu begitu pantas menambat hati masyarakat berbilang kaum di negara ini yang tertarik dengan video masakan dalam bahasa Melayu.
Sehingga Jumaat, 22 Mei 2020, akaun YouTube dengan nama 'Sugu Pavitra' itu mempunyai hampir 600,000 pelanggan dan setiap video yang dimuat naik pastinya ditonton oleh ratusan ribu penonton. - KitaReporters
"Kami hanya orang biasa,tidak pernah berharap akan dapat hadiah daripada PERDANA MENTERI. Kami ucapkan Terima kasih kepada Perdana Menteri kita Tan Sri Muhyiddin Yasin."