Agihan Program Kongsi Rezeki kepada mereka yang memerlukan oleh sukarelawan Yayasan Maghfirah (YM) kepada salah seorang penerima yang terdiri orang kurang upaya, pada Ramadan tahun lalu, 2023. - Kredit foto: Ihsan Yayasan Maghfirah
MENERUSKAN tradisi berkongsi rezeki pada bulan Ramadan yang mulia, Yayasan Maghfirah (YM) terus merebut peluang untuk membantu golongan yang memerlukan menerusi Projek Kongsi Rezeki Ramadhan 2024.
Menjadi kelaziman kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini untuk membantu mereka yang memerlukan terutama asnaf, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).
Tahun lalu (2023), YM berjaya mengagihkan bantuan sebanyak RM313,466 kepada 10,609 asnaf di seluruh negara termasuk mengadakan Majlis Amal Maghfirah (MAM) berkonsepkan majlis berbuka puasa eksklusif bagi meraikan asnaf.
Penghuni Rumah Titian Kasih teruja menerima tajaan berbuka puasa oleh Yayasan Maghfirah pada Ramadan tahun lalu (2023).
Ketua Pegawai Eksekutif YM, Muhammad Shuib Norudin berkata, telah menjadi acara tahunan bagi setiap kali Ramadan kepada YM untuk berkongsi rezeki dengan sasaran tertentu.
“Bagi tahun ini YM sekali lagi mengambil peluang dan ruang untuk berkongsi rezeki dengan golongan tersebut dan melancarkan Kempen Raikan Ramadan 1445H menerusi ‘Berkongsi Rezeki, Manisnya Memberi’.
“Menerusi aktiviti tahunan ini kita telah menyasarkan lebih 20 projek dengan lebih 10,000 penerima terutama golongan memerlukan termasuk asnaf di negara ini.
“Kita juga menyasar agihan sebanyak RM500,000 bagi menjayakan kempen, kita yakin ia sekali gus memberikan kegembiraan golongan tertentu ini dalam untuk menyambut bulan Ramadhan dan Syawal, tidak lama lagi,” katanya dalam majlis pelancaran kempen Raikan Ramadan 1445H, di pejabat YM di Kajang pada 6 Februari 2024, lalu.
Lebih menarik Muhammad Shuib berkata, agihan bantuan YM ini tidak terhad di Lembah Klang semata-mata tetapi dilakukan meluas di seluruh negara akan dikendalikan kira-kira 1,000 tenaga penggerak Skuad Kita Bantu (SKB) yang terdiri 90 kakitangan dan lebih 800 sukarelawan YM yang pelbagai golongan.
“Sehingga kini dua agihan telah ditetapkan khusus Ramadan ini iaitu Projek Kongsi Rezeki dan Projek Jiwa Peduli yang akan digerak di beberapa kawasan yang telah diaturkan dan antara lokasi yang bakal diagihkan pek kongsi rezeki antaranya golongan asnaf, pusat anak yatim, pusat kebajikan, hospital terpilih dan juga pusat tahfiz.
"Manakala Projek Jiwa Peduli pula akan dijalankan dengan pelbagai aktiviti termasuk program Foodbank Ramadan, bantuan barangan asas ambang Ramadan, bantuan persedian raya dengan mengagihkan keperluan menyambut raya dalam bentuk pek persiapan untuk sambutan Syawal dan lain-lain,” katanya.
Beliau pada masa sama menjelaskan lebih unik bagi tahun ini apabila YM turut memperluaskan agihan bantuan ke luar negara seperti ke Turkiye, Kemboja, Tanah Suci Mekah, Indonesia dan juga Lubnan (Lebanon).
Anak-anak di sebuah sekolah tahfiz di Lembah Klang menerima manfaat daripada projek kongsi rezeki yang dijayakan yayasan maghfirah tahun lalu.
Sementara itu, ketua Pegawai Operasi YM, Siti Mariam Said Abdul Malek Shah pula berkata, pemilihan lokasi di luar negara itu dibuat mengikut keperluan utama terutama bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi terutama di Turkiye.
“Kita juga memilih tanah suci Mekah untuk membuat agihan terutama di perkampungan di pinggir terutama kepada penduduk miskin Mekah dan kesemua bantuan luar negara ini akan diagihkan dengan pek makan berbuka puasa,” katanya sambil menyasarkan agihan bantuan berganda melebihi sebelum ini bagi memastikan lebih ramai yang yang dapat dibantu.
Siti Nor mariam Said Abdul Malek Shah berkata, pihaknya menggalas tanggungjawab dengan menganjurkan Kempen Raikan Ramadan bagi membantu golongan yang memerlukan terutama asnaf.
Justeru dengan susunan yang strategik itu, YM membuka tawaran kepada orang ramai untuk mengambil peluang untuk berkongsi rezeki dengan tawaran enam pakej iaitu Infaq Ramadan Diamond bernilai RM1,000, Infaq Platinum bernilai RM300, Infaq Gold bernilai RM150, Infaq Silver bernilai RM60, Infaq Bronze bernilai RM50 dan Infaq Ramadhan RM30.
Mengambil berkat sempena kedatangan bulan suci mulia, YM menjemput orang ramai untuk berkongsi rezeki yang bukan untuk keberkatan di dunia tetapi sebagai penambahan imbangan untuk di alam ‘sana’.
Sumbangan boleh dibuat melalui website sedekahym.my atau melalui akaun bank Maybank 5622 6355 2802 atau menghubungi terus petugas YM menerusi talian 019- 6519663.
Jom kita bantu, kalau bukan kita siapa lagi! - KitaReporters
Sukarelawan YM menyampaikan pek buka puasa menerusi kongsi Rezeki 2023 kepada penduduk memerlukan di Bogor pada ramadan tahun lalu