Insan & Komuniti 19 May, 2025

Tahu tak? Pak Lah seorang yang sentimental! Miliki Mini Cooper 1959! Digunakan untuk dating Endon!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this


MASYARAKAT selalu melihat Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah seorang Perdana Menteri yang berhemah dan lemah lembut tapi ramai mungkin tidak tahu di sisi lain bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu seperti manusia biasa ada minat dan hobi tersendiri.

Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009. Beliau berkahwin dengan Tun Endon Mahmood pada 1965, dan dikurniakan dua anak -- Kamaluddin dan Nori. Endon meninggal dunia akibat kanser payudara pada 20 Oktober 2005. Dan, pada 9 Jun 2007, Pak Lah berkahwin pula dengan Tun Jeanne Abdullah.

Pada tahun 2022, menantunya, Khairy Jamaluddin, memaklumkan Abdullah didiagnosis dengan penyakit demensia. Dan kesihatannya semakin merosot sejak 2024, sebelum meninggal dunia pada 14 April 2025 pada usia 85 tahun.


Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Ali Rustam, menaiki kereta model M4422 sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50, kereta yang sama dinaiki Tun Abdul Razak ketika perarakan kemenangan sempena Tanah Melayu mendapat kemerdekaan dari pihak British.


Siapa sangka susuk tubuh yang bersopan santun, tenang dan penyayang itu meminati malah memiliki kereta-kereta klasik selain sport antaranya Morris Minor, Mini Cooper edisi 1959 selain Alfa Romeo dan Mercedes-Benz 190SL

Ketika menjadi Perdana Menteri, Pak Lah menerima sebuah model 1:3 kereta konsep Proton PM5 daripada Proton. Model ini direka pereka Proton, Saharudin Busri, dan dibina berasaskan pelantar Lotus M250 Concept. Ia kereta sport berkonsepkan "2+2" dengan reka bentuk unik dan hanya satu-satunya di dunia.

"Pak Lah paling sukar Mini Cooper kerana kenderaan itu ada nilai sentimental, malah pernah digunakan ketika "dating" dengan Tun Endon. Ya, kereta tu terlepas kepada orang lain tapi syukur ada pihak membantu mendapatkan semula dan kini masih ada dalam simpanan.



Datuk Jefridin Atan


"Jika balik dari luar negara, Pak Lah suka memandu kereta sendiri malah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, berlaku kejadian beliau tidak dapat dikesan sehingga keadaan kelam kabut orang mencarinya.

"Rupanya Pak Lah memandu kereta ke rumah mentua (ibu Tun Hendon) malah beberapa kali beliau memandu sendiri ke mesyuarat dan majlis tertentu," kata bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Tun Abdullah, Datuk Jefridin Atan selepas Seminar Tun Abdullah Ahmad Badawi: Menelusuri Denai Kepimpinan Berjiwa Terbilang di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 13 Mei 2025.

Seminar itu turut dihadiri, Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi) UKM, Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani; dan Pengarah Institut Islam Hadhari (IIH), UKM, Profesor Datuk Dr Fariza Md Sham.


Mini Cooper 1959, kereta yang mempunyai nilai sentimental kepada Tun Abdullah.


Minat Pak Lah terhadap kereta klasik mencerminkan sisi peribadinya yang menghargai nilai sentimental dan estetika. Sikap yang sederhana dan tidak suka menonjolkan diri menjadi sebab mengapa koleksi keretanya tidak banyak diketahui umum.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ahli Dewan Undangan (DUN) Kukup mengakui Pak Lah meminati kucing. Ada dua ekor di rumah yang dipelihara anaknya, Nori dan menjadi tabiat beliau bermanja dan membelai haiwan itu lima atau 10 minit sebelum ke pejabat.

"Di pejabat, beliau suka melayan tetamu. tak kira ada temu janji atau tidak. Kadangkala saya tetapkan jumlah tetamu berjumpanya sebab banyak mesyuarat dan urusan lain tapi Pak Lah ada naluri semula jadi dan tahu masih ada tetamu yang mahu berjumpanya.


Jefridin tidak mampu menahan sebak apabila bercerita mengenai kisah-kisannya bersama Pak Lah terutama cerita mengenai keluarga.


"Jika ada orang mengata beliau, Pak Lah hanya senyum. Beliau kata, "tak pa, tak pa" malah jika sesiapa menceritakan keburukan orang lain di depannya, beliau akan buat diam dan macam tertidur. Apabila terbangun dia akan kata, "Dah habis ka?".

"Sebelum mendapat dimensia, saya selalu jumpa beliau dan kami akan ke perpustakaan untuk bercerita mengenai pelbagai hal terutama keluarga.

"Pak Lah tidak suka kongsi hal-hal peribadi dengan sesiapa hatta isteri sendiri, contoh saya pernah beritahunya mengenai masalah kewangan tapi Tun kata takpa, Allah ada dan saya hanya berserah kepada Allah," katanya dan secara tiba-tiba Jefridin menangis teresak-esak dan tanpa diminta air mata membasahi pipinya.


Jefridin (dua dari kiri) bersama Dr Fariza Md Sham (dua dari kanan), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh (kiri) dan bekas Penerbit Kanan TV3, Noraini Tahir.


"Bab ni saya memang tak boleh tahan bila teringat cerita Pak Lah mengenai hal-hal keluarga, memang menyentuh hati kerana beliau amat mementingkan keluarga dan selalu ingatkan saya jaga keluarga.

"Selain itu, ramai ingat sebagai PM, Pak Lah tentu banyak duit dan kumpul harta tapi hakikatnya Tun Abdullah tiada apa-apa. Beliau tak akan ambil duit jika bukan miliknya.

"Selalu juga pihak tertentu memberi derma untuk parti, Pak Lah tidak tolak tapi cek itu akan ditinggalkan di atas meja tanpa ditunaikan. Apabila saya masuk ke pejabatnya, saya kumpulkan berpuluh-puluh cek dan saya tanya macam mana ni tapi Pak Lah kata "tak apa la" . Inilah manusia yang berkhidmat penuh ikhlas, bukan untuk mengumpul kekayaan," katanya.  


Selain pembentang oleh beberapa tokoh yang rapat dengan Pak Lah, Seminar Tun Abdullah Ahmad Badawi: Menelusuri Denai Kepimpinan Berjiwa Terbilang turut menyediakan pameran buku-buku sejarah berkaitan bekas Perdana Menteri kelima itu.


Allahyarham sering menasihatinya supaya jangan bergaduh dengan orang apabila masuk politik dan jaga keluarga. Beliau juga tidak suka staf di bawahnya meminta projek malah untuk dapat gelaran Datuk pun Pak Lah tak akan menyokong permohonan itu.

"Ketika berusia 32 tahun, saya dicadangkan menerima gelaran Datuk tapi apabila Menteri Besar Negeri Sembilan telefon Tun memaklumkan perkara itu, beliau spontan memberitahu Tok Mat, Jefri tak payahlah ambil gelaran Datuk sebab dia muda lagi.

"Tapi, alhamdulillah, saya dapat gelaran Datuk juga kurniaan Sultan Pahang. Syukur saya dapat mengenali dan bekerja dengan beliau, satu anugerah besar Allah berikan kepada saya dan tidak diberikan kepada orang lain," katanya sambil tersenyum.  


Jefridin dan Dr Fariza Md Sham bergambar dengan pembentang jemputan dan peserta Seminar Tun Abdullah Ahmad Badawi: Menelusuri Denai Kepimpinan Berjiwa Terbilang.     


Sementara itu, selain ucaptama Jefridin bertajuk Pembangunan Modal Insan, pembentangan lain disampaikan Pengarah Pengasas International Institute of Science Diplomacy & Sustainability (UCSI-IIS DS), Prof. Emeritus Tan Sri Zakri Abdul Hamid bertajuk Biodiversiti dan Bioteknologi,

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali pula menyampaikan ceramah bertajuk, Lima Koridor Ekonomi.

Pembentang lain ialah Prof. Dr Zulkiple Abd Ghani dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertajuk Memperkasa Pendidikan Islam,  Dr Fariza Md Sham (Legasi Gagasan Islam Hadhari), Profesor Emeritus Datuk Mohd Yusof  Othman dari Institut Islam Hadhari, UKM (Sains dan Islam) dan Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari, UKM, Dr. Izham Hakimi Redzan (Hikmah dan Pesanan Untuk Generasi Muda). - KitaReporters


21
27
0
15
0
You will be interested