
Baru-baru ini, viral kisah seorang wanita dari Serdang, Selangor yang hilang secara tiba-tiba kerana terlalu tertekan. Beliau menjaga suaminya yang lumpuh akibat angin ahmar dan membesarkan lima orang anak, termasuk seorang anak istimewa yang menghidap autisme.
Peristiwa ini bukanlah kes terpencil, tetapi cerminan realiti senyap yang dihadapi ramai penjaga (caregiver) di negara ini -- khususnya di negeri Selangor.
Sebagai seorang ibu kepada anak OKU mental skizofrenia dan isteri kepada pesakit strok terlantar, penulis amat faham keperitan menjadi penjaga kepada pesakit.
Emosi terpendam, keletihan fizikal dan beban kewangan sering menjerat kami hingga ke hujung sabar. Penjaga juga manusia. Mereka perlukan rehat, ruang, sokongan dan pengiktirafan.

Anfaal Saari
Penulis menyambut baik kenyataan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari dalam media sosial yang menyatakan komitmen negeri untuk lebih prihatin terhadap penjaga.
Namun, keprihatinan itu perlu diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan. Ini antara cadangan yang boleh dipertimbang oleh kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban penjaga di Selangor.
1. Elaun Penjaga Sepenuh Masa -- Bantuan kewangan khas untuk penjaga yang tidak mampu bekerja kerana menjaga pesakit kronik atau berkeperluan khas.
Menjaga orang sakit dan OKU memerlukan banyak perbelanjaan. Bantuan kewangan dapat meringankan beban caregiver menjaga pesakit selain memudahkan pelbagai urusan penjaga dalam perkara yang melibatkan kewangan.
2. Cuti Rehat Penjaga (Respite Care) -- Menyediakan pusat jagaan sementara atau pasukan sokongan bergerak bagi memberi masa rehat kepada penjaga.
Jika pesakit terlantar dan tidak dapat kemana mana, pasukan pembantu or penjaga sementara dapat meringankan beban emosi penjaga dengan memberi khidmat menjaga pesakit untuk tempoh tertentu.
3. Saringan & Kaunseling Kesihatan Mental Percuma -- Penjaga juga terdedah kepada kemurungan dan keletihan emosi.
Sesi terapi dan kaunseling perlu dijadikan rutin, bukan pilihan. Bagi mereka yang tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana menjaga pesakit kronik, atau OKU, pasukan Kesihatan bergerak dapat ke rumah mereka memberi kaunseling kesihatan dan Kesihatan mental percuma,
Ramai caregiver terpenjara di rumah sendiri kerana menjaga pesakit sepenuh masa. Adakalanya untuk mendapat rawatan buat diri mereka juga sangat sukar.
Khidmat kesihatan bergerak seumpama ini sangat membantu meringankan mental dan fizikal penjaga.
4. Latihan Kemahiran Penjagaan -- Bengkel atau kursus asas penjagaan pesakit (fizikal dan mental) boleh memperkasakan penjaga dan memberi mereka lebih keyakinan.
Asas penjagaan pesakit dapat memberi ilmu kepada penjaga cara terbaik menjaga pesakit. Adakalanya penjaga kurang Kemahiran menjaga pesakit, disebabkan itu ianya menyukarkan proses penjagaan dan memberi tekanan kepada penjaga.
5. Pengiktirafan Penjaga -- Hari Penjaga Selangor, sijil penghargaan atau majlis tahunan adalah satu simbol sokongan moral yang sangat bermakna.
Pengiktirafan ini sangat penting bagi meningkatkan sokongan moral kepada penjaga. Kita sering lihat pengiktirafan diberi kepada mereka yang hanya terkenal atau influencer (pempengaruh) tetapi orang awam yang menjaga keluarga yang sakit sering terlepas pandang.
Pihak media seperti media milik negeri, Selangorkini mesti bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk memaparkan satu ruangan khas umpamanya “ Selangor Prihatin” bagi menulis kisah kecekalan dan ketabahan penjaga menjaga pesakit.

Walau bagaimanapun, dalam hal ini tidak cukup jika hanya kerajaan saja yang prihatin. Ahli keluarga dan komuniti juga harus memainkan peranan mereka membantu caregiver.
Kadangkala penjaga cuma perlukan seseorang yang sudi mendengar, menggantikan mereka sekejap, atau hulurkan bantuan kecil seperti membelikan makanan, membantu kerja kerja rumah, atau sekadar bertanya khabar. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
Ahli keluarga serta masyarakat setempat, seperti AJK surau, persatuan penduduk juga mestilah sama sama prihatin pada nasib penjaga yang bertarung seorang diri dan menderita dalam diam kerana menjaga ahli keluarga yang sakit.
Ada penjaga yang malu untuk meuar-uarkan masalah mereka menjaga pesakit. Justeru peranan pihak-pihak berkenaan sangat penting membantu kerajaan Selangor mengenal pasti mereka (penjaga) yang memerlukan bantuan dan sokongan moral.
Adakalanya sedikit yang kita buat adalah sesuatu besar bagi mereka yang sangat memerlukan perhatian kita.
Akhir kata, marilah kita sama-sama mengangkat martabat penjaga atau caregiver ini. Kerana apabila penjaga itu kuat dan terjaga, maka pesakit juga akan lebih terurus dan disayangi.

Kita sama-sama jaga yang menjaga. Ini bukan sekadar slogan -- ini seruan kemanusiaan kepada semua pihak untuk mereka (penjaga) yang telah banyak berbakti namun sering terlepas pandang kerana seperti kata Anfaal:
"Ramai dalam kalangan masyarakat kita menganggap penjaga itu kuat dan kita hanya fokus kepada mereka yang sakit. Tetapi dalam diam penjaga menanggung tekanan emosi dan kebimbangan serta adakalanya hilang arah. Penjagalah yang sering menyimpan segalanya seorang diri.
"Dalam system kita hari ini, penjaga jarang diberi perhatian, tiada ruang untuk berehat, tiada sokongan emosi dan bila mereka rebah, ramai yang tidak perasan.“ - KitaRdeporters