Insan & Komuniti 28 May, 2025

Kita orang Malaysia, ma! Kita tolong jangan kira bangsa! Tolak rasis! Bukti perpaduan kekal utuh!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 


“ORANG putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke, orang biru ke, kita orang Malaysia kan?” Anda masih ingat dialog di atas?

 Ia diungkapkan oleh pelakon, Susan Lankester, menerusi filem ‘Mekanik’ yang turut dilakonkan oleh Allahyarham Azmil Mustapha sebagai teraju utama.

Filem arahan Othman Hafsham itu diterbitkan pada 1983, bermakna  sudah berusia 42 tahun. Namun, dialog yang dilontarkan oleh Susan itu tetap melekat di hati rakyat Malaysia sehingga sekarang.

Maksud ungkapan itu sangat mudah untuk difahami. Ia memberi mesej yang jelas iaitu apapun warna kulit, bangsa dan agama kita, mereka yang bergelar warga negara semuanya rakyat Malaysia.

Penulis kembali teringat pada dialog itu apabila mengenang kejadian yang berlaku pada Sabtu, 24 Mei, 2025 lalu.


PAK Teh Fruits menjadi tumpuan penggemar durian.


Pada petang hari kejadian itu, penulis bersama empat adik-beradik terdiri daripada dua abang dan dua adik ke Kampung Pelet, Penanti yang terletak dalam daerah Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang untuk membeli durian.

Di situ terdapat satu pusat jualan durian iaitu ‘Pak Teh Fruits’ yang memang menjadi tumpuan penggemar durian. Walaupun, terdapat pelbagai jenis buah dijual termasuk diimport dari luar negara namun menjadi tumpuan adalah durian.

Ketika kami sampai, hari sudah lewat petang namun barisan yang menunggu giliran untuk membeli masih panjang malah terdapat juga datang secara rombongan. Begitupun kami bernasib baik kerana diberi keutamaan untuk ‘potong queue’  atas tiket warga emas.

Selesai memborong durian, kami bertolak balik ke kampung kami, Kampung Relau, Bandar Baharu, Kedah, yang jaraknya kira-kira 50 kilometer. Ketika dalam perjalanan terdengar azan maghrib dilaungkan dari masjid berhampiran.


KEADAAN jalan Bukit Lengkok.


Kami mengambil keputusan melalui jalan pintas dari Ampangan Mengkuang, Bukit Mertajama ke Kulim, Kedah menerusi Bukit Lengkok. Walaupun keadaan jalannya agak mencabar, melalui lereng bukit, sempit, bengkang-bengkok macam ular kena palu dan sunyi serta gelap tapi ia dapat menjimatkan masa perjalanan.

Dalam perjalanan itu, kami mula berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan kenderaan yang dipandu adik saya. Ada bunyi yang mencurigakan, makin lama makin kuat dan keadaan kereta mula tidak stabil terutama semasa melalui selekoh.

Penulis meminta adik memperlahan kelajuan terutama ketika melalui selekoh yang tajam. Bimbang jika tak dapat dikawal, kereta itu boleh menjunam ke gaung. Tak dapat dibayangkan jika itu berlaku.

Kami syak tayar kenderaan itu bocor tapi tidak berani berhenti kerana dengan keadaan jalan bengkang-bengkok itu, amat berbahaya jika kami berbuat begitu. Silap haribulan, kami dirempuh oleh kenderaan lain terutama lori yang banyak melalui laluan berkenaan.


DALAM kegelapan malam dan hanya berteman lampu dari telefon bimbit, sekumpulan lelaki berbangsa Cina ini memberi bantuan menukar tayar yang bocor.


Tiba di jalan yang lurus tidak jauh dari sebuah perkampungan masyarakat Cina yang bernama Sungai Lembu, kami berhenti di bahu jalan untuk memeriksa apa sebenarnya yang berlaku ke atas kenderaan itu.

Memang benar, tayar depan sebelah kiri bukan lagi bocor tapi pecah. Wah! Ini betul-betul satu dugaan buat kami.

Dalam keadaan gelap malam itu, tentu sukar untuk kami menukar tayar, apatah lagi di tepi jalan, bimbang tragedi yang pernah menimpa beberapa pengguna jalan raya ketika menukar tayar berlaku ke atas kami pula.

Tapi, ketika kami masih dalam keadaan terpinga-pinga memikirkan apa yang patut dilakukan, seorang pemuda berbangsa Cina berlari-lari anak ke arah kami.

“Encik, jangan berhenti sini, kereta laju-laju, bahaya, nanti eksiden. Encik jalan depan sana sikit, masuk itu tepi ada kawasan lapang, lebih selamat,” kata pemuda Cina itu.

Rupa-rupanya tidak jauh dari tempat kami berhenti itu ada sebuah warung kopi. Terdapat beberapa orang sedang lepak di warung itu.

Kami menuruti saranan pemuda itu dengan mengalihkan kereta di sebuah kawasan lapang di depan warung berkenaan.


OPERASI tukar tayar yang bocor.


Walaupun berasa lebih selamat di situ, tapi hati penulis tetap curiga serta berprasangka negatif terhadap pemuda Cina itu. Macam-macam bermain dalam fikiran. Tidak pasti apa yang adik-beradik penulis fikiran tapi daripada riak muka mereka, penulis agak mereka juga masih was-was.

Kebiasaannya, bila berlaku kecemasan seperti itu, pasti ada yang mengambil kesempatan. Paling tidak, mereka akan memanggil trak tunda yang bersedia memberikan perkidmatan menunda kereta yang rosak dengan caj yang mahal.

Sebaik kereta diparkir, datang beberapa orang lelaki yang berada di warung menghampiri kami. Hati penulis makin cuak dan curiga. Apa yang hendak mereka lakukan?

Rupa-rupanya mereka datang untuk menghulur bantuan. Tanpa diminta, mereka ramai-ramai membantu kami menukarkan tayar yang bocor itu.

Malah, ada antara mereka sanggup balik ke rumah untuk mengambil peralatan memandangkan kereta adik saya itu tidak mempunyai peralatan yang lengkap untuk membuka dan menukar tayar.


PERSAHABATAN terjalin, kemesraan terukir. Kita Satu Malaysia.


Dari kerja jek kereta, buka tayar, keluarkan tayar gantian sehingga pasang semula tayar, semua dilakukan oleh mereka. Kami berlima lebih banyak memerhati dan membantu sikit-sikit.

Penulis yang tadinya berasa curiga dan berprasangka buruk mula berasa lega. Terbit rasa kesal pula menaruh syak yang bukan-bukan ke atas mereka.

Selesai tugasan, abang sulung saya menghulurkan sedikit wang sebagai tanda terima kasih tapi mereka menolak. Berulang kali kami meminta mereka menerima pemberian Ikhlas itu tapi mereka tetap menolak.

Malah, apa yang membuat penulis terharu, salah seorang daripada mereka yang memperkenalkan dirinya  sebagai ketua kampung di situ, berkata mereka ikhlas menolong kami.

“Hari ini kami tolong encik, nanti lain hari orang lain pula tolong kami,” kata lelaki itu sambil senyum. Terpancar keikhlasan pada wajahnya.

“Kita tolong jangan kira bangsa, kita semua rakyat Malayasia, ma. Kita jangan ikut orang politik, itu semua tak betul. Depa mai sini cakap Melayu jahat, nanti jumpa orang Melayu, depa cakap Cina jahat. Dia kasi kita lawan, itu tak baguih,” sambungnya.


PERPADUAN antara kaum menjamin keharmonian.


Ya, penulis bersetuju dengan lelaki itu. Walaupun bukan semua orang politik bersikap rasis tapi keghairahan segelintir orang politik memainkan isu perkauman demi meraih sokongan dan laba politik menyebabkan ada yang terpengaruh.

Apabila pemikiran sudah didoktrin sebegitu rupa, maka rasa saling curiga itu menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan rakyat negara ini.

Jika perkara ini tidak dibendung, ia akan menjadi barah yang membawa bahaya lebih besar kepada negara. Kita pernah melalui situasi itu dan kita tidak mahu ia berulang.

Justeru, orang-orang politik seharus lebih matang. Memperjuang nasib bangsa sendiri tidak salah tapi jangan sampai memercikkan api perkauman hanya kerana hendak meraih sokongan.


INISIATIF Harmoni MADANI mampu membudayakan amalan menyebarkan keharmonian. - Kredit foto: Twitter Aaron Ago Dagang 


Kami bersyukur dipertemu dengan orang-orang baik seperti mereka yang membantu tanpa mengira bangsa. Sebelum berpisah, kami saling bersalaman, kemesraan bertaut, persahabatan bermula. Sayang, terlupa pula bertanyakan nama mereka, cuma sempat merakamkan gambar sebagai kenangan.

Dalam perjalanan, masing-masing berasa sangat bersyukur serta tidak putus-putus memuji sikap mereka yang membantu kami. Dalam diam, timbul juga rasa malu dan kesal penulis kerana menaruh syak yang bukan-bukan ke atas mereka sebelum itu.

Kejadian itu membuktikan, bukan semua orang rasis. Sebagaimana kata Susan Lankester, orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke, orang biru ke, kita orang Malaysia kan? - KitaReporters

10
16
0
17
0
You will be interested