Insan & Komuniti 29 Aug, 2024

Untung dia! Isteri sediakan bekal buat suami! Komited masak awal pagi! Demi eratkan kasih sayang!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

PASANGAN muda, Nurul Izzati dan suaminya, Hasrul bersama anak mereka, Adam.


MENIKMATI air tangan isteri ketika di tempat kerja hakikatnya mampu mengeratkan kasih sayang setiap pasangan yang telah berkahwin. Di samping dapat menjimatkan perbelanjaan harian, penyediaan bekal makanan untuk suami juga sebenarnya memberi segunung pahala buat si isteri.

Bagi Nurul Izzati Mohd Asri, 28, pada awalnya dia menyediakan bekal buat suami, Hasrul Hafeez kerana mahu berjimat dalam perbelanjaan keluarga. Namun, lama-kelamaan niatnya bertukar melakukan perkara itu kerana Allah semata-mata.

“Memang pada awalnya, saya mahu memastikan kami dapat berjimat kerana suami bertugas sebagai anggota polis bantuan di KLIA yang pastinya makanan di sana dijual pada harga lebih mahal.

“Selain itu, saya juga mahu makanan yang dimakan suami lebih bersih, halal dan selamat kerana penyediaannya dibuat sendiri di rumah. 


SALAH satu menu - nasi putih berlauk ayam merah dan rebus bendi bersama chilli flakes yang disediakan Nurul Izzati buat suaminya.


"Bagaimanapun, selepas beberapa ketika melakukan rutin penyediaan bekal tersebut, saya terfikir membuatnya kerana Allah.

“Dengan niat sebegitu, saya rasa lebih tenang walaupun terpaksa berpenat pada awal pagi untuk menyiapkan bekal buat suami,” ujar Nurul Izzati kepada KitaReporters.

Menurut anak kedua daripada lima beradik ini, biasanya penyediaan makanan dibuat berdasarkan menu yang diminta oleh suami.

“Jika menunya simple untuk dimasak, saya hanya perlukan 30 minit sahaja. Tetapi, jika menunya berat seperti nasi dan lauk, saya perlu bangun lebih awal untuk penyediaan,” jelas Nurul Izzati sambil memberitahu dia biasanya bangun seawal pukul 4.30 pagi setiap hari.


ANTARA menu sihat dan ringkas air tangan Nurul Izzati namun tetap menggamit selera buat suami tercinta.


Ditanya cabaran terbesar yang dihadapi dalam usahanya istiqamah menyediakan bekal buat suaminya, ibu kepada seorang cahaya mata bernama Adam Afeef itu berkata, masa adalah cabaran utamanya. 

“Sebagai seorang ibu kepada anak lelaki yang berusia 3 tahun, sudah tentu saya perlu membahagikan masa dalam menguruskan anak di samping menguruskan suami.

“Adakala jika anak meragam pada awal pagi, saya perlu bijak memujuknya agar ia tidak menghalang saya menyediakan bekal buat suami. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar,” ungkapnya.

Tambah anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu lagi, dia rasa bahagia apabila suami sentiasa menghargai usahanya menyediakan bekal untuk ke tempat kerja.

“Memang sejak awal perkahwinan, suami memang suka membawa bekal. Malah, suami sendiri yang memilih untuk membawa bekal ke tempat kerja hingga kini. 

"Saya gembira melihat reaksinya yang sentiasa teruja melihat setiap menu yang saya siapkan. Kemudian, apabila pulang ke rumah, dia suka melihat reaksi saya pula yang gembira apabila melihat bekal makanan habis dimakan,” tuturnya lagi.


NASI goreng bersama roti bakar dan seketul ayam panggang pasti mengenyangkan si suami.


Dalam melayari rumah tangga yang baru mencecah usia 4 tahun, Nurul Izzati sentiasa berdoa agar hubungan mereka kekal hingga ke syurga-Nya.

“Semoga Allah sentiasa menjaga dan memberi kebahagiaan buat kami sekeluarga. Buat para isteri di luar sana, yang mungkin jarang dapat memasak untuk suami dan keluarga, setiap daripada kita ada kelebihan dan kekurangan sendiri. Waktu kita mungkin berbeza dan terhad. Tetapi saya yakin, semua isteri pasti mahukan yang terbaik untuk keluarga.

“Buat permulaan, cuba apa yang termampu. Insya-Allah, lama-kelamaan pasti ia akan menjadi kebiasaan dalam menyediakan bekal makanan buat suami dan anak-anak. Paling penting, tinggikan pergantungan kita pada Allah.  

“Ingat, kita ini manusia yang lemah. Allah jua yang memberi kekuatan. Jika niat kita baik untuk menjadi isteri yang membahagiakan suami, pasti Allah akan bantu dengan cara-Nya yang tersendiri,” ungkap Nurul Izzati menutup bicara.  


BIHUN goreng putih bersama sandwic telur kelihatan begitu menyelerakan.


Melihat kesungguhan wanita ini untuk membahagiakan suaminya, penulis teringat pada salah satu hadis Nabi SAW yang bermaksud: 

"Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”

Moga setiap wanita yang bergelar isteri di luar sana sentiasa berusaha menjadi isteri solehah, sekali gus menjadi sebaik-baik harta buat lelaki bergelar suami. - KitaReporters


NURUL IZZATI sentiasa berdoa agar rumah tangga yang dibina akan berkekalan hingga ke akhir hayat dan bergandingan ke syurga-Nya.

12
10
0
11
0
You will be interested