Insan & Komuniti 06 Nov, 2024

Sembang-Sembang| Anak dipukau dan dirogol sampai mengandung! Namun kehidupan perlu diteruskan! - Ibu

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Bukan tak pandai jaga anak. Tapi takdir Allah tiada siapa tahu. Datangnya pula tanpa disangka.
Apa daya ibu bapa apabila anak diuji demikian rupa. Rasa malu terpaksa ditelan. Masa depan anak perlu diutamakan. Mahu tak mahu segala ujian diterima dengan lapang dada. Sambil tak lupa memohon keampunan daripada Allah SWT. 
“Kami akan berbuat sehabis baik untuk anak kami. Malu tolak ke tepi. Bukan salah  dia pun, keadaan yang menyebabkan dia jadi begini,“  kata Puan Zainab (bukan nama sebenar) dalam telefon kepada saya . 
Banyak kali juga saya perasan missed call nombor dia. Saya tidak jawab kerana takut scammer. Lagipun nombor bukan dalam simpanan saya. 
Namun Jumaat lalu dia telefon lagi. Memikirkan mungkin dia perlukan pertolongan saya menjawab panggilan tersebut. 



“Maaf puan saya ganggu. Puan penulis ruangan Sembang-Sembang dalam Utusan Malaysia kan?’” lembut dia bertanya. Saya mengiyakan. 
Dan bermulalah episode luahan hati seorang ibu yang anak perempuannya dirogol, kemudian mengandung dan telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan. 
“Luluh hati kami suami isteri semasa mendengar khabar buruk tersebut. Tapi apa nak buat. Anak tunggal perempuan pulak. Kami akhirnya membawa dia ke balai polis membuat laporan,” jelas Puan Zainab memulakan cerita.
Anak perempuan Puan Zainab berusia 23 tahun. Penuntut tahun  akhir sebuah kolej di ibu kota. 
Menurut Puan Zainab anaknya Hanita (bukan nama sebenar) berkenalan dengan seorang lelaki berusia dalam 30-an. Perkenalan tanpa diduga merubah sikap anak perempuannya itu. Dia mula melawan cakap, tak dengar nasihat dan kerap keluar rumah walaupun masa cuti semester. 
“Kami hairan dengan perubahan tersebut. Bila tanya dia mengaku ada teman lelaki. Saya syak ada yang tidak kena dengan anak saya apabila duit simpanannya dikeluarkan tanpa pengetahuan kami. 
“Bukan sedikit tapi puluhan ribu juga. Duit yang kami simpan untuk pengajiannya sejak sekolah rendah, “ kata  Puan Zainab. 


Setelah mengintip beberapa kali, akhirnya lelaki tersebut kami jumpa. Dia mengelak untuk bertanggungjawab. Kepada polis, kami bagi maklumat tentang lelaki tersebut dan kes yang menimpa anak kami. 

“Sayangnya anak saya sudah mengandung 3 bulan.  Saya menangis mengenangkan apa yang berlaku. Puas mendesak untuk tahu cerita sebenar tapi Hanita tak mahu bercerita. Dia mengaku ada melakukan hubungan seks dengan lelaki itu beberapa kali. 

"Pada masa sama, kami mendapatkan rawatan cara Islam untuk Hanita. Bukan nak tuduh sesiapa tapi saya yakin anak saya dipukau,“ cerita Puan Zainab

Setelah tiga kali rawatan, Hanita kembali sedar dan pulih. Dia pun tak tahu apa yang berlaku kepadanya. Juga tentang duit simpanannya yang telah diberikan kepada lelaki tersebut. 
Namun dia simpan segala mesej memujuk rayu lelaki tersebut sepanjang mereka berkawan. Sehingga kini lelaki itu telah menghilangkan diri. Menukar nombor telefonnya dan tidak lagi tinggal di alamat yang anak saya ada. 
Semoga pihak berkenaan menjalankan tugas mereka membawa lelaki tersebut ke muka pengadilan demi keadilan untuk anak saya. 
‘Saya dan suami ke kolej Hanita belajar. Kami ceritakan apa yang berlaku. Dan juga memohon cuti penangguhan untuk Hanita. Alhamdulillah. Selesai Dengan mudah. 
"Pemeriksaan kesihatan juga dibuat. Dan Hanita dihantar ke pusat perlindungan wanita untuk tempoh 6 bulan sehingga dia bersalin. “ tambah Puan Zainab. 


Sekarang  Hanita selamat bersalin seorang bayi perempuan yang comel. Dia akan keluar dari pusat itu tidak lama lagi dan akan menyambung pengajiannya.
“Syukur kepada Allah kerana memudahkan urusan Hanita. Syukur juga bayinya akan dijaga oleh pasangan suami isteri yang telah 15 tahun berkahwin tetapi tidak dikurniakan zuriat. Kemungkinan mereka akan menjadi ibu bapa kepada cucu saya itu,“ kata Puan Zainab lagi.
Segalanya Allah atur cantik. Walau menanggung malu Puan Zainab yakin ada hikmah di sebaliknya. Semoga lelaki yang menganiaya Hanita akan mendapat balasan setimpal. 
Sehingga kini jiran dan saudara mara tidak tahu kisah ini. Saya bukan malu tapi menjaga masa depan anak saya yang masih muda. Apa orang nak kata, katalah. Sebagai ibu saya tahu apa yang saya buat. 
“Hanya mereka yang melalui sahaja faham. Kalau ada orang kata alasan anak dipukau tidak munasabah, saya yakin anak saya tidak sedar apa yang berlaku kepadanya.  

"Bukan menegak benang basah tapi semua ujian Allah. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kami," kata Puan Zainab menutup cerita dan mengucapkan terima kasih kerana mendengar luahannya. “Terima kasih puan. Doakan kami ya”.



Saya kagum dengan ketenangan Puan Zainab dan suami menghadapi situasi ini. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. 
Semoga Hanita bertaubat atas kesalahannya dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut serta meneruskan pengajiannya sehingga tamat. 
Semoga bayi yang dilahirkan jatuh ke tangan orang yang baik-baik dan menjaga serta mendidiknya dengan penuh kasih sayang dan didikan dunia akhirat. 
Kepada ibu bapa semua, ada masa kita kena mengalah kepada keadaan demi kelangsungan hidup orang tersayang. Bertindak dengan waras. Sebaik langkah mengembalikan maruah yang tercemar mengikut saluran sah. Bukan dengan emosi. - KitaReporters

16
11
0
15
0
You will be interested