Insan & Komuniti 08 Jan, 2023

Lelaki Nigeria berbasikal ke Arab Saudi! Bayar nazar untuk tunaikan ibadat umrah! Ambil masa 2 tahun!

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this


DI MANA ada kemahuan di situ ada jalan!! Mungkin itu perkataan yang paling sesuai kepada seorang lelaki dari Nigeria yang sanggup menunggang basikal untuk menunaikan umrah.

Memetik saudimoment.com, pada 29 Disember 2022 lalu, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Aliyu Abdullah Bala mengambil masa hampir dua tahun untuk menyelesaikan misi ke tanah Arab untuk mengerjakan ibadah umrah.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan perjalanan mengerjakan umrah



Malah Aliyu melahirkan rasa syukur apabila dapat melihat sendiri Kaabah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Lebih membanggakan dia adalah individu pertama dari Nigeria yang melakukan perjalanan hebat untuk menunaikan umrah dengan menggunakan basikal pada zaman maju. 

Sementara itu di Arab Saudi, Aliyu disambut mesra oleh Duta Nigeria ke Arab Saudi, Yahya Lawa ketika tiba di Jeddah pada 8 Disember 2022 lalu. Malah Aliyu juga turut diberikan bantuan, bimbingan dan galakan daripada pihak kedutaan berkenaan.

Yahya berkata, pihak konsulat juga turut memberikan kemudahan kepada Aliyu sepanjang  berada di bumi Arab.

“Anak muda ini diberikan bantuan oleh pihak konsulat sepanjang berada di Mekah dan Madinah,” kata Yahya kepada Arab News.


Aliyu disambut mesra oleh Duta Nigeria ke Arab Saudi, Yahya Lawal ketika tiba di bumi Arab.


Aliyu memulakan perjalanan dari Jos di negeri Plateau, pada Februari 2021 semata-mata memenuhi nazarnya.

Sangat membanggakan Aliyu berjaya menghabiskan masa hampir dua tahun di jalanan bagi merealisasikan impiannya.

Bagi Aliyu dia sangat bersyukur kerana sepanjang  perjalanan ke umrah  kesihatan dirinya sangat baik walaupun melalui pelbagai cabaran.

Menerusi temu bual decara dalam talian yang diatur oleh Arab News, Aliyu berkata, mengerjakan umrah adalah impiannya selama ini.

“Saya sangat bersyukur kerana impian ini direstui Allah dan berjaya mencapai tanpa sebarang kecacatan,” katanya.

Dia juga tidak menyangka kerana diberikan kekuatan selain berani untuk meneruskan misi dalam melakukan umrah.

Malah dia juga tidak menyangka konsulat Nigeria di Arab Saudi banyak membantu dirinya untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

Katanya dia dijaga baik oleh pihak konsulat sepanjang di bumi Arab.



Lelaki itu mengakui pelbagai cabaran  yang terpaksa ditempuhi untuk menyelesaikan misinya termasuklah melintasi beberapa kawasan di Afrika termasuk melalui Chad Sudan sebelum tiba destinasinya.

Malah dia juga tidak terlepas berdepan pemberontak, penyamun selain terpaksa merentasi beberapa negara antaranya Belanda, Jerman, Republik Czech, Romania, Bulgaria, Turkiye dan Jordan sebelum tiba ke Arab Saudi.

Bagaimanapun perjalanan pulang ke tanah air Aliyu memilih untuk menaiki pesawat.

Inilah bukti keberanian yang sebenar sanggup melalui onak dan duri semata-mata mahu menunaikan nazar menunaikan ibadat umrah. - KitaReporters


Duta Nigeria ke Arab Saudi, Yahaya Lawal memberikan pelbagai bantuan dan sokongan sepanjang Aliyu berada di bumi Arab.

8
10
0
10
0
You will be interested