Insan & Komuniti 12 Nov, 2022

Syazlin Zainal tak sempat rai ulang tahun kelahiran! Maut selepas jatuh dari tingkat 22 pangsapuri!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Allahyarham Syazlin Suhaizan Zainal


SEORANG pelakon drama berusia 26 tahun dan juga pempengaruh sosial (social influencer) dikenali sebagai Syazlin Suhaizan Zainal disahkan meninggal dunia pada Khamis (10 November 2022), kerana terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri, di Taman Iskandar, Johor Bahru, Johor.

"Saya terkilan apabila membacanya. Arwah ingin menyambut dan meraikan ulang tahun kelahirannya tahun ini kerana tahun lalu tidak berkesempatan. Lagi empat hari sayang," tulis seorang rakan Allahyarham Syazlin Zainal berserta paparan mesej peribadi yang dimuat naik.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pempengaruh sosial


Berkongsi perkara tersebut menerusi Instagram Story, rakan Allahyarham Syazlin itu berulang kali membaca mesej peribadi yang juga merupakan perbualan terakhir mereka. 

Dalam perkongsian itu, hasrat Allahyarham Syazlin untuk menyambut ulang tahun kelahiran ke-26 tahun bersama keluarga pada Isnin 14 November 2022 ini tidak kesampaian, selepas dilaporkan meninggal dunia semalam (10 November 2022).

Ekoran insiden itu, kebanyakan rakan Allahyarham Syazlin meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi punca kematiannya. 

Kata mereka, biarlah ahli keluarga yang berkongsi mengenai punca kematian arwah apabila tiba waktu yang sesuai.

Sementara itu, abang kepada arwah mengucapkan terima kasih terhadap orang ramai yang menyampaikan ucapan takziah serta menghulurkan doa buat adiknya itu. Dia yang menggunakan nama Reza Zachary dalam Facebook meninggalkan komen demikian dalam laman sosial tersebut.

"Terima kasih di atas segala ucapan takziah dan doa-doa anda semua. Saya sebagai abang kepada arwah sangat bersyukur atas keprihatinan anda semua. Sama-sama kita doakan semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al Fatihah," tulisnya.



Allahyarham Syazlin pernah membintangi beberapa drama tempatan antaranya ‘Oh My Hantaran’, 'Sitik Tok', 'Dia Yang Ku Jadikan Suami', 'Takdir Yang Tertunda' dan 'Ada Yang Ngikut'.

Allahyarham Syazlin yang merupakan seorang pelakon dan selebriti media sosial itu dan merupakan anak bongsu daripada lima beradik juga anak perempuan tunggal dalam keluarganya. 

Difahamkan, jenazah kini masih berada di Johor dan punca kematian masih lagi dalam siasatan. 

Salam takziah buat keluarga Allahyarham Syazlin. Al-Fatihah. - KitaReporters

10
17
0
10
0
You will be interested