Media sosial hari ini bukan lagi sekadar ruang berhubung untuk berinteraksi. Ia sudah menjadi medan perbincangan, medan meluah perasaan, malah medan menghukum dan fitnah memfirnah. Dalam kepantasan dunia digital, jari kita sering bergerak lebih laju daripada fikiran.

Apa yang nampak marah, sensasi atau mengundang emosi terus dikongsi, tanpa disemak, tanpa fikir, tanpa peduli kesan kepada orang lain.
Justeru, di sinilah pentingnya literasi media dalam kalangan masyarakat.
Literasi media bukan sekadar tahu mengguna telefon pintar atau mempunyai akaun media sosial. Ia adalah keupayaan untuk menilai maklumat, berfikir secara kritikal dan bertindak dengan beretika sebelum mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita.
Hari ini, ramai yang membaca tajuk tanpa menyelami isi. Ada yang berkongsi video tanpa mengetahui konteks sebenar.
Ada juga yang menulis komen penuh cacian, makian, seolah-olah lupa bahawa di sebalik skrin itu ada manusia dengan pelbagai perasaan, keluarga, anak anak bawah umur, dan maruah orang orang tertentu.
Apabila adab diketepikan, kemanusiaan turut terhakis sedikit demi sedikit. Manusia hilang akhlak mulia dan budi bahasa yang baik.

Oleh demikian, untuk menilai sama ada sesuatu berita itu benar atau palsu, langkah paling asas ialah menyemak sumber.
Siapa yang menulis? Media rasmi atau akaun tanpa identiti? Berita yang sahih biasanya boleh ditemui pada lebih daripada satu sumber yang dipercayai. Jika hanya berlegar di grup WhatsApp atau akaun media sosial tertentu, kita perlu lebih berhati-hati.
Selain itu, pembaca perlu membaca keseluruhan berita, bukan sekadar tajuk. Tajuk sering direka untuk mencetuskan emosi marah, takut atau simpati, sedangkan isi mungkin tidak seperti yang digambarkan.
Tarikh dan konteks juga penting kerana berita lama yang dikongsi semula boleh mengelirukan dan mencetuskan salah faham dan fitnah
Namun, umum harus tahu bahawa literasi media bukan hanya tentang membezakan berita benar dan palsu. Ia juga berkait rapat dengan nilai kemanusiaan.
Soalnya, adakah wajar kita menyebarkan aib orang lain? Adakah perlu kita memaki hamun demi mendapatkan perhatian atau ‘like’? Adakah empati masih wujud apabila kita menaip sesuatu komen?

Menjadi pengguna media yang baik bermula dengan kesedaran bahawa setiap perkongsian membawa kesan. Kata-kata boleh menyembuhkan, tetapi kata-kata juga boleh melukakan.
Kita bebas bersuara, tetapi kebebasan itu datang bersama tanggungjawab.
Berbeza pandangan itu biasa, menghina dan merendahkan orang lain itu pilihan kita. Kata-kata dan ayat-ayat yang baik mencerminkan peribadi kita.
Dalam dunia digital hari ini, setiap individu sebenarnya adalah “editor” atau gatekeeper untuk diri sendiri. Kita memilih apa yang mahu dikongsi dan apa yang perlu dihentikan.
Kadang-kadang, tindakan paling beradab bukanlah memberi komen panjang, tetapi memilih untuk diam. Kadang-kadang, tindakan paling berperikemanusiaan ialah dengan tidak menambah luka pada orang lain.
Jika tidak pasti tentang sesuatu berita, jangan kongsi. Jika rasa marah, tangguhkan. Media sosial akan menjadi lebih sejahtera jika ia diisi dengan ilmu, empati dan adab.
Kerana akhirnya, teknologi boleh jadi canggih, tetapi tanpa kemanusiaan, kita hanya mencipta sesuatu yang kosong, bukan makna. - KitaReporters
