Kerajaan Madani akan terus memastikan pembangunan bandar seperti Kuala Lumpur tidak melahirkan kota yang “gersang budaya” dan tiada jiwa.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan memastikan bandar berkembang sebagai persekitaran yang lestari, hijau seraya berpaksikan nilai kemanusiaan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara, satu monumen yang menyaksikan beberapa nukilan bersejarah dalam usaha panjang pembentukan negara bangsa.
Seri Negara merujuk kepada bangunan bersejarah di Kuala Lumpur, yang merupakan sebahagian daripada Kompleks Carcosa Seri Negara, yang dahulunya dikenali sebagai King's House atau Rumah Tetamu Gabenor.
Ia dulunya berfungsi sebagai tempat penginapan rasmi untuk tetamu penting Kerajaan British dan kini menjadi tapak warisan yang dipulihara untuk tujuan muzium dan hotel butik.
Merupakan binaan kolonial era British, Seri Negara terletak berhampiran Taman Botani Perdana, berserta dengan bangunan bersebelahan, Carcosa.

Dalam ucapan perasmiannya, Anwar berkata bahawa penguasaan teknologi baharu sebagai pemacu kemajuan negara mesti dilaksanakan seiring dengan usaha memperkukuh jati diri bangsa, mengangkat sejarah serta memelihara warisan budaya tempatan.
"Pemuliharaan bangunan bersejarah seperti Seri Negara selain projek Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL), mencerminkan iltizam Kerajaan untuk menghidupkan semula aset warisan negara sebagai pemangkin ekonomi, pemerkasaan komuniti dan pembinaan identiti kota.
"Inisiatif ini bukan gebang kosong atau sekadar usaha fizikal memelihara tinggalan sejarah, tetapi sebahagian daripada visi besar untuk membentuk sebuah bandar raya yang bersih, maju, mesra alam dan berjiwa," jelasnya. - KitaReporters/Kenyataan Media
