Insan & Komuniti 31 Jul, 2025

Opah Ngomel| Kalau tak mahu siar, sila buang dalam tong sampah! Buka peluang Johan menulis di Utusan!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai Stringer Berita Harian, Wartawan Berita Harian, Penyunting Harian Metro, Group Editor Majalah IBUBAPA. Emel: [email protected]

Share this

"SAYA buat nota kepada pengarang cerpen Utusan. Kalau tak mahu siar, sila buang ke dalam tong sampah. Selepas tu, terkejut juga kerana cerpen saya itu disiarkan. Malah masa itu juga, saya kena bersaing dengan penulis dan sasterawan  tersohor termasuk Shahnon Ahmad dan A. Samad Said untuk mendapat tempat di Utusan," kata Johan Jaaffar. - KitaReporters


Tan Sri Johan Jaafar (tiga kiri) bersama orang-orang kuat Utusan


"SAYA buat nota kepada pengarang cerpen Utusan. Kalau tak mahu siar, sila buang ke dalam tong sampah. Selepas tu, terkejut juga kerana cerpen saya itu disiarkan. 

"Malah masa itu juga, saya kena bersaing dengan penulis dan sasterawan  tersohor termasuk Shahnon Ahmad dan A. Samad Said untuk mendapat tempat di Utusan," demikian kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan,Tan Sri Johan Jaaffar ketika mencerita kisah pembabitan awal dalam bidang menulis dan mengenali akhbar Utusan sebelum beliau kemudian dilantik menjadi pengarang kumpulan media berkenaan.

Kata Johan atau lebih dikenali sebagai Tan Sri JJ, dia mula menulis masa di bangku sekolah rendah dan menghantar rencana ke Utusan Pelajar sebelum memberanikan dirinya menulis cerpen ketika belajar di tingkatan empat atau lima.  Johan kemudian menghantar cerpen dan rencana tulis tangan itu ke majalah Mastika dan Wanita.

Ketika itu, katanya, dia sangat berbesar hati apabila Pengarang Majalah Wanita diketuai Nik Rahimah Hassan yang dipanggilnya Kak Nik memberi perhatian dan menerbitkan hasil karyanya.

"Saya sangat terhutang budi pada Kak Nik kerana memberi semangat untuk menulis menghasilkan penulisan rencana. Manakala cerpen pula guru yang membimbing saya ketika itu adalah Zahari Affandi. 




"Lucunya kerana bersaing dengan tokoh penulisan masyhur masa itu, saya membuat keputusan menggunakan nama gelaran sebab kalau nama sendiri ,orang mungkin tidak percaya saya budak sekolah lagi tu. Nama samaran saya ialah JJ.

"Sebab itu juga ada suatu ketika itu, saya sisipkan nota, jika cerpen tidak disiarkan. Sila tong sampahkan. Sebelum ini tulisan saya tidak pernah disiarkan," katanya ketika bersembang santai dengan bekas wartawan Utusan Melayu di Forum Kenangan Utusan Melayu anjuran KitaReporters dan Malaysian Press Institute (Institut Akhbar Malaysia atau MPI) yang berlangsung di Tirai Ratu, Subang Jaya pada 28 Jun 2025 lalu.

Selain itu, Johan dapat tahu rahsia cerpen mudah disiarkan ialah dengan menulis karangan itu dalam setengah muka surat.

Catatan Mimbar Kata menyebut, sejak di bangku sekolah rendah, Johan telah melibatkan diri dalam bidang teater, iaitu pada sekitar tahun 1960-an dengan ikut serta dalam kegiatan sandiwara di kampung kelahirannya. 

Dengan rela hati beliau menjalankan kerja-kerja seperti menarik tali tirai dan mencari bahan-bahan untuk latar pentas. 

Apabila Johan belajar di sekolah menengah, beliau mula berlakon, menulis skrip dan mengarah drama untuk acara persembahan sekolah. 

Ketika menuntut di universiti pula, Johan bergerak bersama-sama Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA). Dari sinilah, Johan mula membina nama sebagai penggiat drama yang gigih dan berkemampuan. 


Terima kasih untuk sokongan.


Johan memasuki Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1977. Mulai Julai 1977, Johan bertugas sebagai Pegawai Penyelidik (Pegawai Perancang Bahasa) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 

Pada tahun 1988, beliau dilantik mengetuai Bahagian Majalah sehingga tahun 1990 apabila beliau berpindah mengetuai Bahagian Penerbitan Am. 

Semasa mengetuai bahagian tersebut, pada September 1991 Johan meninggalkan tanah air untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Nottingham, England dalam bidang Critical Theory. 

Sekembalinya ke tanah air. Johan meletakkan jawatannya di DBP pada Oktober 1992 kerana mendapat tawaran bekerja dengan Syarikat Kumpulan Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang Kumpulan dan tidak lama kemudian dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut. 



Johan yang menggunakan nama pena Jaafar Khan, JJ, Lanang Sejagat, dilahirkan pada 9 November 1953, di Sungai Balang Besar, Muar, Johor berkata, selama bertahun-tahun menulis, dia tidak pernah rasa bayaran sagu hati yang diterimanya RM15 hingga RM25 kerana jarak rumahnya ke pekan yang ada perkhidmatan perbankan atau kiriman wang jauh. 

"Dulu ketika di sekolah bertahun-tahun menulis dengan Utusan saya tidak merasa hasil duit itu kerana wang sagu hati itu dalam bentuk "money order" (kiriman wang) dan dekat kampung, belum ada pejabat pos. 

"Apabila ditawarkan kerja sebagai Pengarang Kumpulan Utusan, saya merasakan satu anugerah yang luar biasa kerana  itu berasa kembali ke tempat yang saya mula mengasah bakat.

"Saya sertai Utusan pada 1992 dan sangat terhutang budi kepada akhbar ini dan pencapaian terbaik kerana Utusan adalah universiti yang mengembangkan bakat saya. Sehingga kini, saya anggap menjadi sebahagian daripada Utusan adalah pengalaman luar biasa." katanya.


Johan (kanan) bersama bekas wartawan Utusan, Syahril A Kadir.


Ketika ditawarkan berkhidmat  dengan Utusan ada November 1992, Johan dianggap sebagai  'orang luar', daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dibawa masuk sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.  

Dia memikul tanggungjawab dengan mencorakkan perubahan terbaik dalam sejarah menjadikan akhbar Utusan, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia terus berpengaruh, lebih serius dan terus “laku”. Mingguan Malaysia kekal sebagai akhbar mingguan paling laris. 

Malangnya Johan memimpin Utusan Melayu hanya lima setengah tahun (1992-1998). Dia meletakkan jawatan pada 14 Julai 1998 sebagai Ketua Pengarang Kumpulan dan Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu. 

Beliau berkata, rakyat kena diberitahu betapa jeritnya sejarah perjuangan wartawan Melayu termasuk Mogok Utusan Melayu 1961 yang menjadi peristiwa bersejarah dalam industri persuratkhabaran negara. 

Mogok yang berlaku dari 20 Julai sehingga 21 Oktober 1961 selama 90 hari yang  membuat seorang wartawan  Said Zahari ditahan di bawah ISA selama 17 tahun kerana dia membantah campurtangan UMNO dalam kebebasan akhbar yang ditunjangi Utusan.

Said Zahari meninggal dunia pada 12 April 2016 diusia 87 tahun akibat serangan jantung.



Beliau menyifatkan Utusan adalah suara keramat orang Melayu yang kedua selepas akhbar  Jawi Peranakan (1876 – 1895) yang pertama diwujudkan oleh sekumpulan anak-anak muda yang baru pulang dari pengajian di timur tengah. Antara pengendali akhbar Jawi itu adalah penulis novel pertama negara, "Hikayat Faridah Hanum" karya Syed Sheikh Al-Hadi.

Susulan itu munculnya akhbar Utusan yang dicetak pada 1939 menjadi nadi perjuangan orang-orang Melayu dalam menuntut hak bangsa Melayu termasuk perjuangan memerdekakan negara daripada penjajah.

Sehubungan itu juga Johan mencadangkan forum diteruskan dari semasa ke semasa untuk menilai dari mana asal kita, ke mana arah hala tuju. 

Malah akhbar Utusan ini adalah "darah daging" dan getaran semangat perjuangan orang-orang Melayu dalam bentuk bahan cetakan ketika bangsa Melayu tidak ada saluran untuk meniup semangat perjuangan.


2003) Penerbitan akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi dihentikan pada 1  Januari 2003 dengan cetakan terakhirnya dikeluarkan pada hari sebelumnya,  iaitu pada 31 Disember 2002. Utusan Melayu yang diterbitkan dalam tulisan  Jawi bermula


Utusan Melayu - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas


Johan berkata angka 63 tahun penuh simbolik kepada Utusan kerana selepas 63 tahun Jawi Peranakan, lahirnya akhbar Utusan dan selepas 63 tahun itu juga akhbar Utusan Melayu (jawitelah dihentikan penerbitan pada 1 Januari 2003. Cetakan terakhir pada 31 Disember 2002. 

Beliau juga bangga jasa Utusan juga sangat luar biasa kerana daripada 14 Tokoh Wartawan Negara, enam orang daripada Utusan. Manakala daripada 15 Tokoh Sasterawan negara tiga orang berlatar belakang wartawan. - KitaReporters


Sebahagian bekas wartawan Utusan di Forum Kenangan Utusan di Subang Jaya.

8
8
0
10
0
You will be interested