Pada wajahnya, senyum sudah mula bersemi, menggantikan duka yang hampir dua purnama lalu meruntuhkan seluruh dunianya.
Dialah, Putri Qisya Izzat Mohamad Azim Izat, 12, yang kini yatim piatu selepas tragedi kemalangan maut di Sungai Korok, Jitra, Kubang Pasu meragut nyawa ibu bapa serta empat adik kesayangannya pada Julai 2025 lepas. - KitaReporters

TANGAN kecil itu menggenggam erat sekeping ‘pingat’ yang dihadiahkan oleh seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baru-baru ini.
Pada wajahnya, senyum sudah mula bersemi, menggantikan duka yang hampir dua purnama lalu meruntuhkan seluruh dunianya.
Dialah, Putri Qisya Izzat Mohamad Azim Izat, 12, yang kini yatim piatu selepas tragedi kemalangan maut di Sungai Korok, Jitra, Kubang Pasu meragut nyawa ibu bapa serta empat adik kesayangannya pada Julai 2025 lepas.

Hari ini, Qisya bukan sekadar sedang pulih malah dia memilih untuk bangkit.
Cuti sekolah pada pertengahan bulan depan, Qisya akan berdiri di hadapan ratusan pelajar lain dalam sebuah kem motivasi di Pulau Pinang. Bukan sekadar sebagai peserta kem tetapi menjadi suara, berkongsi kisah hidupnya dengan remaja sebayanya.
“Saya nak cerita pengalaman saya. Walaupun kita kehilangan, kita masih boleh kuat dan terus belajar. Saya nak kawan-kawan lain tahu, jangan cepat putus asa,” katanya, penuh yakin meskipun tubuh kecil itu masih sarat dengan kenangan yang amat menyedihkan.
Jadual pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak Baru itu kini padat persekolahan, tuisyen dan aktiviti kokurikulum, tetapi di celah-celah kesibukan itu, dia berusaha untuk sembuh dengan cara memberi semangat kepada orang lain.
Ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, menyifatkan langkah Qisya ke pentas seminar sebagai tanda keberanian yang sukar dijangka.
“Dia lebih kuat daripada kami semua. Walaupun masih ada masa dia sugul, Qisya belajar menukar air mata jadi kekuatan. Dia sekarang mahu menjadi cahaya kepada orang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jitra, Kubang Pasu.

Di sebalik luka yang belum sembuh sepenuhnya, Qisya kini muncul sebagai simbol tabah iaitu seorang kanak-kanak yang kehilangan hampir segalanya, tetapi memilih untuk memberi semangat kepada dunia.
Menurut guru al-Quran itu lagi, emosi remaja tersebut semakin pulih sejak kebelakangan ini dengan dorongan dan sokongan daripada pelbagai pihak.
“Saya juga sudah membawa Qisya menziarahi kubur arwah di Jerlun baru-baru ini buat kali pertama selepas dikebumikan. Alhamdulillah dia kelihatan lebih tenang sejak kebelakangan ini.
“Cuma ada waktu-waktunya seperti ketika nak pergi ke sekolah dan tidur saya perasan Qisya jadi sugul. Kami sekeluarga cuba menenangkan dia. Qisya kuat malah lebih kuat daripada kami semua,” katanya yang menatang anak saudaranya itu seperti anak sendiri.

Tambahnya, walaupun insiden tersebut sudah hampir dua berlalu namun masih berbekas dalam jiwa keluarga mereka.
“Memang masih terasa tetapi kami berusaha untuk teruskan hidup. Sungai Korok itu sampai sekarang kami tidak sanggup untuk lalu lagi, kami rela ikut jalan jauh jika mahu ke Jerlun menziarah rumah nenek Qisya,” katanya.
Pada 7 Julai lepas, negara dikejutkan dengan berita enam beranak maut dalam kemalangan tragis di Sungai Korok berdekatan Kampung Kemboja, Jitra di Kubang Pasu apabila kereta dinaiki mangsa ditemukan terhumban di dalam sungai itu.
Mangsa yang terkorban ialah Muhammad Azim Izat Ishak, 32; isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31; serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma'ira, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haidar.
Keluarga tersebut dilaporkan hilang sehari sebelum ini ketika dalam perjalanan pulang ke Jerlun setelah bermalam di rumah saudara mereka di Taman Seri Aman itu sehari sebelum kejadian. - KitaReporters
Kem motivasi yang bakal disertai Putri Qisya pada cuti sekolah bulan depan.