AJALNYA belum tiba… mungkin itu yang boleh diperkatakan tentang seorang lelaki yang masih bertahan meskipun hampir 24 jam terdampar di perairan Whangamatā, Coromandel, utara New Zealand.
Lebih mengejutkan apabila lelaki itu hanya menggunakan pantulan matahari daripada jam tangan sepanjang lebih 23 jam di lautan luas bagi mendapatkan pertolongan.
Agensi berita newshub.co.nz yang memetik Polis Whangamata, Sarjan Will Hamilton berkata, lelaki yang tidak dinamakan itu berhasrat memancing secara solo namun agak tidak bernasib baik apabila terjatuh ke laut daripada botnya setinggi 40 kaki pada 2 Januari 2024, kira-kira 55 kilometer, utara New Zealand.
Sepanjang berada di lautan itu, lelaki itu menyedari terdapat seekor jerung mendekatinya namun bernasib baik apabila Binatang itu beredar tidak lama kemudian. - Foto kredit: NZ Herald
Selepas jatuh ke laut, lelaki itu dihanyutkan arus ketika cuba berenang ke Kepulauan Alderman.
“Lelaki malang itu mengharungi malam yang sejuk di lautan, terlalu letih untuk terus berenang namun hanya menggunakan pantulan daripada jam tangan dipakaikan,” kata Hamilton.
Sepanjang berada di lautan itu, lelaki itu juga menyedari terdapat seekor jerung mendekatinya namun bernasib baik apabila binatang itu beredar tidak lama kemudian.
Bagaimanapun pada keesokan harinya, keadaan lelaki itu disedari tiga lelaki yang memancing di kawasan itu apabila melihat pantulan luar biasa dari dalam air.
Ketiga-tiga pemancing itu kemudian memutuskan untuk menyiasat apa yang berlaku sebelum menemukan seorang lelaki yang terdampar keletihan di lautan.
Mereka kemudian nekad membantu menariknya ke bot sebelum diberikan rawatan segera.
Lelaki yang tidak dinamakan berjaya diselematkan oleh tiga lelaki muda yang menyedari terdapat pantulan luar biasa sebelum mendekati apa yang dilihatnya. - Kredit foto: IG @sunnyskyzonline
“Ia adalah satu keajaiban bahawa lelaki itu masih hidup selepas mengharungi detik mencemaskan hampir 24 jam sendirian.
"Tanpa tindakan pantas dari tiga orang pemancing yang menyelamatkan, ini pastinya akan membawa kesan yang tragis,” kata Hamilton.
Lelaki itu yang akhirnya berjaya diselamatkan mengalami hipotermia dan keletihan yang teruk menyebabkan dia terus dirawat oleh pasukan ambulans St John apabila dia tiba semula di darat di Whangamatā Marina.
Semestinya kesungguhan tiga lelaki muda sangat membawa erti kepada lelaki berkenaan kerana bukan sekadar membawa ke daratan tapi lebih hebat adalah menyelamatkan nyawanya. - KitaReporters