
Sejak dilancarkan pada Mei 2023, Rapid KL On Demand (ROD) semakin mendapat sambutan. ROD adalah perkhidmatan van yang beroperasi atas permintaan (on-demand) yang ditawarkan oleh Rapid KL, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad.
Perkhidmatan ini membolehkan pengguna menempah perjalanan melalui aplikasi dan van ROD akan menjemput dan menghantar penumpang di lokasi yang ditetapkan, termasuk kawasan perumahan, ke stesen pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Perkhidmatan ini bertujuan untuk menyelesaikan isu pengangkutan "first mile, last mile" dengan memberikan alternatif perjalanan yang lebih fleksibel.

Manakala pada Jun 2025, perkhidmatan ROD telah diperluas dengan penambahan 13 zon dan pelancaran aplikasi tempahan baharu.
Perkhidmatan ini kini meliputi lebih banyak kawasan di sekitar Lembah Klang, termasuk laluan baharu di sekitar stesen MRT Kwasa Sentral, Subang Bestari, Subang Skypark Terminal, serta laluan di sekitar Kajang dan Putrajaya.

Tambang serendah RM1 menyebabkan ia semakin mendapat sambutan. Sungguhpun begitu masih ada penumpang merungut kerana terpaksa menunggu lama sehingga 30 minit.
Namun ia adalah pilihan masing-masing. Mungkin perkhidmatan ini sesuai untuk orang yang tidak mengejar masa.

Begitu juga dengan adab ketika menaiki van ROD. Sebagaimana
anda tertib ketika menggunakan perkhidmatan kenderaan awam lain, begitu juga
ketika menaiki van ROD ini.
Perkongsian seorang pemandu (kapten) van ROD mengenai perkhidmatan ini mungkin boleh dijadikan panduan buat ramai orang yang masih belum tahu.
Menurut pemandu yang dikenali sebagai Taza Rahman atau Kapten Mustang ini, penumpang sering membuka sendiri pintu van sedangkan sudah tertulis dilarang buka pintu.

“Antara perkara yang anda perlu tahu apabila
menempah ROD adalah tentang sistem pintu. Bagi menjaga kelancaran dan
keberkesanan sistem pintu, anda sebagai penumpang perlulah mematuhi arahan yang
ditunjukkan. Semoga bermanfaat,” pesannya.
Jelasnya lagi, larangan itu dikenakan kerana di bahagian pemandu sudah disediakan butang khas untuk membuka pintu.
Ia bermaksud, urusan buka dan tutup pintu van adalah tanggungjawab pemandu. Jadi, sebagai penumpang, anda hanya perlu menunggu pintu dibuka.
“Di sistem papan pemuka, kapten van ada butang khas membuka pintu untuk anda. Anda hanya perlu tunggu kerana kapten ingin memastikan keselamatan anda dan penumpang lain yang berada di dalam terlebih dahulu. Kemudian baharu pintu dibuka,” jelasnya.

Dalam ruangan komen, ada netizen berkongsi pengalaman suaminya ketika menggunakan perkhidmatan ini. Menurut suaminya, pintu van sering rosak kerana ramai penumpang melanggar arahan.
“Patutlah laki aku bebel van ni banyak rosak bahagian pintu. Penumpang rentap buka macam van lama. Inikan van automatik. Tenang dan sabar, nanti pintu buka sendiri,” ceritanya.

Manakala bagi yang belum pernah atau baru nak cuba perkhidmatan ini, perlu ingat untuk menggunakan ROD anda perlu menempah dalam aplikasi dan bukannya menahan tepi jalan seperti anda menahan bas.
Semoga maklumat ini dapat membantu dan mengurangkan kerosakan yang dialami. - KitaReporters
