Insan & Komuniti 05 Jan, 2025

Bukan sekadar tempat beribadat! UPSI bantu transformasikan perpustakaan Masjid Jamek Tanjong Malim!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Masjid Jamek Tanjong Malim, Perak.


MASJID Jamek Tanjong Malim, Perak, dilengkapi dengan ruang perpustakaan, namun ia gagal berfungsi secara aktif dan profesional.

Masjid tertua di daerah Muallim itu yang dibina pada tahun 1926 dan dirasmikan oleh Sultan Iskandar Shah pada 15 Jun 1932 seharusnya mampu menjadi pusat pembudayaan ilmu dan bukan setakat tempat menunaikan ibadat.

Sehubungan itu, Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, diberi tanggungjawab melaksanakan transformasi ruangan dan pembangunan koleksi perpustakaan masjid itu dengan menggunakan peruntukan khusus daripada masjid berkenaan.

Ketua Pustakawan PTB, Noriha Muhammad berharap dengan transformasi perpustakaan masjid yang diberi wajah baharu, dilengkapi dengan buku terkini dan dekorasi yang menarik dapat melengkapkan lagi peranan masjid berkenaan.


Noriha Muhammad menyampaikan ucapan pada majlis perasmian berkenaan.


Pihak UPSI, katanya, turut menyerahkan sumbangan 50 naskhah buku terkini bernilai RM1,000 kepada pihak pengurusan masjid.  

“Transformasi atau penaiktarafan ini bertujuan untuk menjadikan peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan kerana masjid dan perpustakaan adalah nadi kepada keutuhan masyarakat serta melambangkan pusat perpaduan umat Islam,” ujarnya.

Menurut beliau, projek yang membabitkan 18 staf PTB itu turut disertai 20 pelajar daripada  Kelab Al-Mursyiddin Pusat Islam (AMC) UPSI  serta Kelab Sahabat PTB (KSPTB).

Manakala Pengerusi masjid itu, Mohd Subakir Ali, berkata usaha PTB dapat mengembalikan semula fungsi sebenar masjid sebagai tempat yang bukan sahaja menunaikan ibadat tetapi juga sebagai pusat pembudayaan ilmu.

Menurut beliau, ruang yang kecil pada ketika itu tidak dapat menampung jemaah yang semakin bertambah menyebabkan masjid baharu lebih besar di tapak sedia ada didirikan dengan peruntukan sumbangan RM18,000 daripada masyarakat setempat. 


Salina Samsudin melihat buku di Perpustakaan Masjid Jamek Tanjong Malim yang berwajah baharu sambil disaksikan oleh Dr. Safry Kamal Ahmad.


Sementara itu, ketika berucap pada majlis perasmian Program Bacaan Yasin Perdana, Penyerahan Kit SPM 2024 kepada enam sekolah menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang serta perasmian perpustakaan masjid berkenaan pada 30 Disember 2024, Ahli DUN Behrang, Salina Samsudin, berkata usaha murni yang dilakukan oleh PTB UPSI serta pengurusan masjid itu perlu dicontohi kerana ia mampu membentuk jati diri masyarakat.

Beliau melahirkan rasa gembira dengan transformasi yang dibuat oleh pihak PTB UPSI dan membuktikan keterlihatan universiti itu sebagai pakar rujuk dalam lapangan masing-masing.

“Saya menyarankan ahli jawatankuasa masjid menggerakkan pelbagai aktiviti pembudayaan ilmu supaya masjid ini dapat diimarahkan lagi bukan sekadar untuk solat sahaja tetapi penuh dengan aktiviti di samping memberi galakan generasi muda datang ke masjid,” katanya. 

Salina turut merasmikan nama baharu perpustakaan masjid berkenaan iaitu Perpustakaan Tuan Haji Zainuddin, seorang tokoh ulama tempatan yang banyak berjasa dalam pengurusan masjid itu.

Hadir sama pada majlis perasmian itu Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad serta Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman. - KitaReporters


Salina menyampaikan ucapan perasmian dengan mengharapkan usaha PTB UPSI dan masjid berkenaan wajar dicontohi.

13
9
0
14
0
You will be interested