
Beberapa petugas MPT sedang mengutip sampah di Taman Mas, Taiping
Amalan kebersihan amat penting dalam memastikan persekitaran yang sihat. Justeru itu, penduduk di Taiping dinasihatkan supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat yang tidak dibenarkan oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT) seperti di tepi jalan dan di dalam parit atau longkang.
Ini kerana
perbuatan tersebut jika dilakukan, anda boleh dikenakan denda RM500 bagi
kesalahan tersebut.
Bagi
memastikan penduduk menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di tempat-tempat yang diharamkan,
MPT mengadakan Kempen Perak Bersih dan Sihat (Perak BEST) 2.0 iaitu Kempen
Memerangi Sampah Haram di Taman Mas, Taiping pada 1 Julai 2025.
Kempen itu merupakan satu inisiatif di bawah Local Agenda 21 (Agenda Lokal 21).
Inisiatif ini bertujuan membentuk kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan (PBT), masyarakat setempat dan sektor swasta dalam merancang serta mengurus kawasan persekitaran secara bersama ke arah pembangunan mampan dan peningkatan kualiti hidup.

Yang
Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya telah mengenal pasti
sebanyak 66 lokasi panas (hotspot) pembuangan sampah haram.
Menurutnya,
daripada jumlah tersebut, 58 tapak terletak dalam kawasan operasi MPT, manakala lapan
tapak lagi berada di luar kawasan operasi.
Katanya, sehingga kini, MPT telah berjaya menutup 14 lokasi dalam kawasan operasi. Lokasi-lokasi selebihnya sedang dipantau dan akan diambil tindakan susulan secara berperingkat-peringkat
“Kita turut
melaksanakan langkah kawalan dan pemantauan di kawasan yang dikena lpasti
sebagai tapak pembuangan sampah haram itu melalui pemasangan kamera litar tertutup
(CCTV).
“Antara lokasi terlibat termasuklah Taman Kota Jaya, Jalan Mata Kucing, Kampung Jambu, Jalan Lama Air Kuning dan Pasar Kamunting,” katanya lagi.
Selain itu,
pihak MPT juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan
kompaun terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah
haram.
Menurut
beliau, bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, sejumlah kompaun bernilai
RM42,500 telah dikeluarkan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak
RM17,480.00 telah berjaya dikutip sebagai bayaran kompaun.
“Kita semua
sedia maklum bahawa kebersihan adalah asas kepada kehidupan yang sihat dan
berkualiti.
“Namun begitu, kita berdepan dengan pelbagai cabaran, khususnya isu pembuangan sampah haram. Fenomena ini berlaku bukan sahaja di seluruh negara, tetapi juga di Taiping termasuklah di tanah-tanah kosong, tepi jalan dan berhampiran kawasan kediaman," jelasnya.

Khairul Amir berkata, masalah ini bukan sekadar mencacatkan pemandangan, malah turut mengancam kesihatan awam, mendedahkan kita kepada penyakit bawaan vektor serta memberi kesan buruk terhadap alam sekitar melalui pencemaran tanah dan air.
Sehubungan itu, MPT memandang serius isu ini dan mengambil inisiatif melaksanakan Kempen Memerangi Sampah Haram.
Usaha ini bukan sekadar bertujuan untuk membersihkan kawasan, tetapi lebih penting lagi untuk mengubah mentaliti masyarakat ke arah budaya kebersihan dan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.
Pada program tersebut diadakan aktiviti gotong-royong dan plogging yang dilaksanakan hanya simbolik, tetapi lambang kepada komitmen bersama dalam memastikan persekitaran yang bersih, sihat dan lestari.
Kempen ini
juga selaras dengan hasrat untuk memupuk rasa cinta kepada kebersihan dalam
kalangan warga Taiping dan memperkukuh gaya hidup sihat serta nilai
tanggungjawab komuniti terhadap alam sekitar.
“Saya menyeru kepada semua penduduk agar terus menyemai semangat cintakan kebersihan, tidak membuang sampah sewenang-wenangnya dan melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram kepada pihak berkuasa,” katanya. - KitaReporters