
Kerajaan menjalankan kempen membanteras scammers tetapi masih ramai masuk dalam perangkap penipu tersebut.
Nasihat tidak didengar, peringatan tidak diambil
peduli. Ini dianggap punca kenapa kes penipuan online oleh scammer masih
bermaharaja lela.
Hampir setiap hari ada sahaja laporan mengenai
orang ramai diperdaya oleh penipu yang mengakibatkan kerugian besar. Bukan sekadar
belasan atau puluhan ribu ringgit, tetapi ada yang mencecah ratusan ribu, malah jutaan
ringgit.
Yang menjadi mangsa kebanyakannya bukan sembarangan.
Ada doktor, peguam, jurutera, akauntan, pegawai tinggi, guru, pensyarah.
Mereka adalah golongan cerdik pandai yang bijak
berfikir dan tidak seharusnya mudah terpedaya oleh scammers. Tetapi
itulah realitinya. Scammers memang suka menjadikan kelompok ini sasaran
kerana berandaian mereka punya banyak wang.
Selain itu scammers juga bijak mengesan mereka yang baharu bersara dan mempunyai simpanan wang persaraan yang banyak. Golongan ini juga jadi sasaran mudah. Ramai terpedaya.

Waspada dengan tipu daya scammers. Jangan mudah panik dengan taktik scammers yang mahu mangsa berasa takut.
Kisah orang ramai menjadi mangsa penipuan sudah kerap dilapor dalam akhbar atau media sosial. Modus operandi mereka juga sudah diketahui, sudah ‘bocor’.
Kerana itu pihak berkuasa seperti polis sering memberi nasihat dan ingatan agar tidak terjebak dengan cara penipuan mereka.
Namun ia tidak berkesan, bagai mencurah air di
daun keladi. Penipuan yang menjerat orang lain, dan dilaporkan, tidak dijadikan iktibar. Nasihat
pihak berkuasa diabaikan. Akhirnya terperangkap ke dalam jurang penipuan.
Siapa yang membekalkan? Adakah dala kalangan pembekal talian yang tidak amanah membocorkan nombor dengan ganjaran tertentu?
Biasanya nombor yang terpapar pada skrin
telefon mangsa ialah nombor ‘pelik’ yang tiada dalam rekod mangsa. Apabila
diangkat dan dilayan, mulalah penipu masuk jarum dengan pelbagai penyamaran.
Misalnya daripada bank, mahkamah, kastam, imigresen, pejabat pos, Lembaga Hasil
Dalam Negeri (LHDN), polis dan lain-lain.
Kononnya mangsa ada melakukan kesalahan
jenayah, pengubahan wang haram, memiliki barang haram atau barang seludup (contraband),
barangan tidak diisytihar, tunggakan cukai, barangan ditahan kastam atau pejabat
pos dan macam-macam penipuan.
Nada suara mereka begitu meyakinkan sehingga menakutkan mangsa. Akibatnya yang menerima panggilan cepat panik, takut dan perasaan tidak tentu hala. Ini sering berlaku kepada wanita dan warga emas.

Institusi pengajian tinggi (IPT) pun mengadakan kempen banteras scammer kerana terdapat warga IPT pun masuk perangkap scammer.
Pemanggil kemudian memberitahu, mangsa tidak
perlu risau. Dia boleh membantu menyelesaikan masalah, dan kononnya menyambungkan
talian kepada pegawai atasan yang sebenarnya rakan sejenayah.
Mangsa yang panik mudah setuju wala pun yakin
memang tidak pernah melalukan kesalahan seperti didakwa oleh pemanggil. Rasa
takut telah ditanam oleh pemanggil, dan kerana itu sedia berbuat apa sahaja bagai
dipukau, termasuk ketika diminta memindahkan wang ke dalam akaun tertentu.
Bukankah pihak berkuasa sudah memberi nasihat
dan peringatan jika nombor tidak dikenali jangan dijawab, apatah lagi dilayan? Jangan cepat
panik apabila diasak oleh pemanggil kerana memang itulah cara mereka,
mewujudkan perasaan takut.
Seeloknya jika pemanggil memperkenal diri
daripada jabatan mana, beritahu dia semakan akan dibuat terlebih dahulu dan
putuskan sahaja talian. Usah dilayan dan beri dia peluang meracuni fikiran.
Jika mangsa sasaran tegas, atau sergah balik pemanggil, dia pun tidak berani untuk membuat panggilan lagi. Ambil ingatan, dalam urusan rasmi kerajaan atau swasta, mereka tidak akan melakukannya melalui telefon tetapi melalui surat rasmi.

Pada hemat penulis, sudah berkali-kali pihak
berkuasa memberi ingatan, dan terus memberi ingatan, dengan harapan orang ramai
akan jadikan panduan. Tetapi dalam keadaan diberi ingatan, masih ramai tetap jadi
mangsa penipuan scammers.
Memang benar pihak polis akan menyiasat aduan
mengenai penipuan online jika ada laporan. Tetapi proses siasatan rumit dan
mengambil masa. Peluang mendapatkan kembali wang kabur. Jadi bukankah lebih
elok beringat sebelum kena? - KitaReporters