Menjadi ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan melakukan pelbagai kerja sukarela tidak terhad kepada tugasan di lapangan sahaja, malah bermacam peranan lain yang seharusnya dilaksanakan untuk memastikan operasinya berjalan lancar.

Mohiadin Bahado memberi taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan dan operasi PJNH kepada mahasiswa UMPSA.
Sebagai
contoh ia termasuklah menyelaras program atau projek untuk komuniti, kebajikan
atau kemanusiaan seperti menyumbangkan di samping mengagihkan bantuan makanan
apabila mendapat infak serta kerjasama daripada individu dermawan, badan
korporat serta organisasi penderma.
Apabila menghadapi masalah kekangan kakitangan atau ahli sukarelawan pihak terbabit akan meminta NGO melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (SCR) mereka untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat terutama yang memerlukan pembelaan.

Mahasiswa UMPSA melayani warga emas PJNH menjamah makan tengah hari yang dimasak mereka secara bergotong-royong.
Justeru bagi
berkongsi pengalaman serta pendedahan mengenai peranan serta tugasan NGO,
Malaysian Relief Agency (MRA) membawa 25 sukarelawan iaitu dalam kalangan
mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai
Program Khidmat Masyarakat Sukarelawan Bersama Warga Emas di Pusat Jagaan Nur
Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, pada 27 November 2025.
Eksekutif
Sukarelawan, Latihan & Pembangunan Kemahiran MRA, Khairi Hazique Muhammad
Asri, berkata program anjuran MRA di PJNH itu adalah antara dalam usaha memberi
pendedahan kepada mahasiswa terbabit mengenai komuniti yang memerlukan
pembelaan serta sokongan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menurutnya, kepada mahasiswa itu kami menjelaskan walaupun warga emas berkenaan mendapat tempat berlindung dalam usia yang semakin lanjut dan uzur tetapi mereka masih memerlukan kasih sayang di samping disantuni dengan penuh mesra selepas disisihkan oleh ahli keluarga atau ketiadaan waris.

Mahasiswa UMPSA berganding bahu menyediakan makan tengah hari untuk dihidangkan kepada warga emas.
Tambahnya,
daripada situasi begini mahasiswa akan diberikan pendedahan bagaimana untuk
berkomunikasi dengan warga emas itu kerana pada pandangan mata kasar kelihatan
tenang, namun sesetengahnya tersimpan rahsia untuk diluahkan atau bercakap
dengan individu yang sudi mendengar rintihan mereka.
“Sebagai
ahli NGO kita akan merapati mereka ini dengan penuh kasih sayang, bertanya
khabar termasuk dari segi kesihatan, sejarah hidup mereka dan sebagainya yang
pada ketika ini mereka akan menunjukkan reaksi untuk berbual serta meluahkan
perasaan terbeku dalam diri.
“Walaupun
kita bukan pakar motivasi atau kaunselor ia bukan menjadi masalah kerana
mahasiswa dalam kalangan lepasan sekolah menengah bagi warga emas mereka
menggangap sebagai anak malah akan berasa seronok apabila dapat berbual mesra,”
ujarnya ketika ditemui pada program itu.
Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengurus PJNH, Kairul Ahmad; dan Guru Bahasa yang juga Pengarah Projek UMPSA untuk program berkenaan, Nur Anisnabila Dianah.

MRA berjaya memupuk budaya kerja berpasukan kepada mahasiswa UMPSA yang berpakat memasak menu makan tengah hari.
Pada program
berkenaan, MRA turut menyerahkan sumbangan pelbagai barangan asas keperluan
harian yang diinfak pelbagai pihak seperti beras, minyak masak, tepung gandum,
bihun dan sebagainya bagi meringankan bebanan PJNH menyimpan simpanan stok
bahan makanan untuk warga emas serta turut menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan.
Khairi
Hazique berkata, pada program berkenaan juga, mahasiswa UMPSA turut didedahkan
kepada aktiviti gotong-royong membersih lantai termasuk bilik warga emas serta
surau dengan mengemop, membuang sampah sarap dan kemudahan utiliti seperti
kipas angin, peti ais, manakala paling menarik mereka memasak bagi menyediakan
makan tengah hari untuk warga emas.
Jelas
beliau, aktiviti itu secara tidak langsung akan memupuk budaya berkerja secara
berpasukan kepada mahasiswa berkenaan sebagaimana menjadi amalan ahli NGO dalam
menjayakan sesuatu program atau projek kemasyarakatan apabila berganding bahu
dengan komuniti di kawasan terbabit.
“Sebagaimana dimaklumkan mahasiswa ini mereka mengharungi pengalaman kali pertama berkerjasama dengan NGO dalam program kemasyarakatan bagi menimba pengalaman serta mendapatkan pendedahan berkhidmat untuk komuniti yang memerlukan sokongan daripada orang luar.
“MRA tiada masalah untuk berkongsi pengalaman dan sebagainya dengan pelbagai pihak yang berminat dalam melakukan kerja atau tugasan sukarelawan membantu masyarakat dengan cara betul supaya ia menepati sasaran serta mendatangkan manfaat untuk semua pihak,” ujarnya.

Khairi Hazique Muhammad Asri (empat dari kiri) melakukan gimik penyerahan sumbangan kepada Mohiadin.
Sementara itu, Nur Anisnabila berkata, pendedahan yang diberikan oleh MRA itu ibarat satu empati kepada mahasiswa untuk menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain khususnya warga emas di PJNH yang terpinggirkan daripada orang tersayang terutama anak kandung.
Di samping
itu, tambahnya, program yang disusun oleh MRA itu juga memberi peluang kepada
mahasiswa memahami dan mengesan keadaan emosi orang lain iaitu warga emas
disantuni kerana berasa simpati dan cuba membantu menyelesaikan masalah apabila
berkesempatan beramah mesra.
“Program ini
memberi gambaran sebahagian realiti dunia kepada generasi baharu dalam kalangan
mahasiswa kerana masih ada lagi insan yang memerlukan bantuan serta sokongan
dan sekali gus melahirkan nilai kemanusiaan kepada mereka,” katanya.
Seorang
mahasiswa yang ditemui, Nur Farhah Ahmad Norddin, berkata sebagai NGO yang
berpengalaman luas, MRA berjaya mendedahkan kepada pelajar-pelajar mengenai kerja-kerja
kebajikan boleh dilakukan untuk membantu masyarakat atau komuniti memerlukan
bantuan dengan mendapat kerjasama pelbagai pihak.
“Walaupun pernah mengikuti program seperti ini ketika berada di sekolah menengah namun situasinya banyak berbeza malah memberikan peluang seseorang mahasiswa untuk bertindak dengan lebih baik bagi memuaskan hati mereka yang disantuni,” katanya. - KitaReporters

Ahli MRA bersama-sama mahasiswa UMPSA merakamkan kenangan selepas Program Khidmat Masyarakat Sukarelawan Bersama Warga Emas di PJNH, Beranang, Selangor.